Pandemik wabak COVID-19 memberikan kesan kepada ekonomi dan memaksa industri kecil dan sederhana untuk beroperasi secara dalam talian.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu untuk mengurangkan penyebaran wabak itu, kebanyakan IKS beralih menggunakan kaedah digital.

Ahli Majlis Eksekutif, Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata ini berikutan PKP menyebabkan pergerakan terbatas, pejabat ditutup dan menjejaskan proses penyampaian bekalan.

Bagaimanapun, untuk terus beroperasi dalam krisis semasa ini, IKS melaksanakan beberapa langkah termasuk menggunakan pendekatan perdagangan elektronik, konsep O2O, penghantaran makanan dan dompet tunai (E-Wallet) dalam perniagaan masing-masing.

Pengumuman terbaharu kerajaan yang melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober ini memberikan pelajaran berguna kepada semua IKS agar sentiasa bersedia menggunakan teknologi digital dalam operasi harian.

“Walaupun ia mungkin agak sukar kepada peniaga tradisional dan peniaga kecil untuk mencari kaedah singkat beralih kepada digital, IKS terbabit boleh mengguna pakai tiga strategi utama misalnya berfikir besar, bermula kecil dan berskala pantas dengan hasilnya memuaskan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor ke-5 secara maya di sini, hari ini.

From left, Dato’ Hasan Azhari, Chief Executive Officer of Invest Selangor Berhad; Dato’ Teng Chang Khim, Selangor State Executive Councillor (EXCO) for Investment, Industry and Commerce and SMEs’; Yong Kai Ping Chief Executive of SITEC and Goh Boon Peng Director of SITEC Academy

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari, Ketua Pegawai Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping dan Pengarah SITEC Academy, Goh Boon Peng.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) berkata, perniagaan digital bukan projek yang dilaksanakan ‘sekali sahaja’ tetapi adalah satu perjalanan yang komprehensif.

Justeru, pemilik perniagaan perlu mempunyai pemikiran yang tepat untuk menggunakan pendekatan terbaik dalam usaha menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Katanya, salah faham mengenai proses pendigitalan yang mahal tetapi sebenarnya ia memberikan manfaat seperti meningkatkan produktiviti, pengekalan pelanggan yang lebih baik dan mewujudkan sumber baharu dalam perolehan atau pertumbuhan.

Teng berkata, adalah tepat pada masanya apabila Majlis E-Dagang dan Teknologi Maklumat Selangor (SITEC) menganjurkan persidangan ini dengan fokus tema ‘Bagaimana IKS Mampu Berjaya Dalam Berdepan Transformasi Digital?”.

Ini adalah persidangan digital kedua IKS dianjurkan SITEC sejak bekerjasama dengan MDEC pada sidang Kemuncak Digital IKS pada Ogos lalu.

Sebanyak lebih 1,000 peserta mendaftar secara dalam talian untuk persidangan hari ini, menunjukkan minat mereka kepada transformasi digital.

Teng berkata, kerajaan Selangor juga menjadi perintis melaksanakan inisiatif bagi menyokong IKS seperti melancarkan PRODUTK-program digital tenaga kerja tiga bulan percuma yang membolehkan syarikat melaksanakan operasi perniagaan secara selamat.

“Ia dibina dengan ciri merekod kehadiran, pemantauan dengan GPS menerusi web dan aplikasi, jadual kerja, laporan suhu, penjejakan kontak dan analitik,” katanya.

Untuk mengiktiraf sumbangan IKS dan menggalakkan dialog antara industri serta kerajaan negeri, persidangan ini juga menjadi hos kepada beberapa siri dialog industri dengan menemubual 10 kapten industri di Selangor.

“Kita akan menerbitkan temubual video meliputi pelbagai industri seperti e-dagang, runcit, pelancongan, industri hotel, makanan dan minuman, pertanian dan perikanan, pengiklanan, filem serta logistik.

“Fokus temubual ialah kisah kejayaan IKS Selangor, pelan pasca pemulihan COVID-19 dan bagaimana inisiatif mesra IKS kerajaan Selangor yang menyokong mereka. Ia juga menyediakan platform komunikasi kepada industri untuk berkongsi cabaran,” katanya.

Beliau berharap, temubual ini akan membawa semua industri dan pemegang saham bekerja rapat khususnya IKS, Dewan Perniagaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Episod pertama dalam temubual bertajuk “Kesan COVID-19 ke atas Sains dan Teknologi di Malaysia” yang akan disiarkan pada 20 Oktober (Selasa).

Teng turut melancarkan pertandingan 5th Malaysia Top E-Commerce Merchant Award yang dianjurkan oleh SITEC dan disokong oleh MATRADE, MDEC, MAGIC, SME Corp, IA Alliance dan Pikom.

Anugerah tahunan ini akan mengiktiraf peniaga elektronik yang dinilai berdasarkan kepada kreativiti dan inovatif mereka menjalankan kempen jualan dalam talian daripada hasil keseluruhan jualan.

Hadiah wang tunai telah digandakan kepada RM40,500 iaitu hadiah tunai keseluruhan dan hadiah lain berbanding sebelumnya. Terdapat dua kategori anugerah iaitu Top E-Commerce Merchant Award dan Selangor E-Bazar Merchant Awards.

Setakat ini, sebanyak 141 syarikat mengambil bahagian dalam pertandingan Top E-Commerce Merchant Awards. Peserta akan dinilai oleh barisan pakar industri dalam 5 kategori iaitu produk, platform, promosi dan penglihatan, potensi perniagaan, jualan dan tempahan ketika peraduan jualan dalam talian diadakan.

Pemenang terdahulu Top E-Commerce Merchant Awards termasuk Sally Fashion, Printcious, Sea Gamer Mall dan Hermo.