Acara tahunan yang paling dinanti-nantikan, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), terus menjadi tuan rumah kepada pemain industri global dengan mematuhi norma-norma baru.
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020, dilancarkan hari ini oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang berlangsung bermula pada 14 hingga 17 Oktober.
Pelancaran ini seterusnya menjadikannya platform maya pertama yang dipimpin oleh sesebuah negeri untuk memberi inspirasi kepada pemain-pemain industri dalam usaha untuk menjalankan perniagaan dengan mematuhi norma-norma baru.
Menawarkan peluang tanpa sepadan, SIBS Virtual mengumpulkan pemain industri dari seluruh dunia untuk membantu ahli-ahli perniagaan memperkukuh dan merangsangkan semula perniagaan mereka dengan menyediakan platform perkongsian pengetahuan, pemadanan perniagaan untuk semua pengunjung perdagangan.
“Norma-norma baru ini telah membuatkan kita merangka kembali strategi dan rancangan dalam menjadikan SIBS sebagai sidang kemuncak yang harus dihadiri di rantau ini.
“Sebagai contoh, walaupun kita tidak dapat bertemu secara langsung, penggunaan teknologi telah membolehkan kita meneruskan hubungan dan komunikasi dengan komuniti perniagaan yang lebih besar serta bakal-bakal rakan strategik dan pihak yang berkepentingan,” kata Dato’ Teng Chang Khim, Ahli Majlis Eksekutif, Kerajaan Negeri Selangor.
SIBS Virtual 2020 akan mempunyai tiga komponen utama dalam sidang kemuncak tersebut; Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor ASEAN dan Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.
Program empat hari dalam talian ini bakal menawarkan antaranya pameran maya, webinar, persidangan, jalinan rangkaian dalam talian dan peluang-peluang pemadanan perniagaan.
Selangor terus mengambil peranan sebagai kuasa ekonomi serantau di sebalik cabaran-cabaran semasa dan prospek pertumbuhan ekonomi yang kurang memberansangkan, dengan sumbangan lebih dari 24 peratus kepada KDNK Malaysia setiap tahun.
Amirudin berkata selama bertahun-tahun, pentadbiran ini telah menempuh pelbagai dugaan, dan menghadapi cabaran bagi menjadikan Selangor sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan dan perniagaan di rantau ini.
“Oleh itu, pandemik COVID-19 adalah satu lagi cabaran yang harus kita lalui dan, inshaAllah, kita akan dapat melakukannya, dengan sokongan kuat daripada semua pihak.
“Saya sangat berharap anda semua akan mendapat manfaat dari SIBS 2020, yang bakal menawarkan akses yang lebih besar dan tempoh yang lebih lama hingga Oktober 2021, Virtual SIBS akan membolehkan anda memanfaatkan pelbagai peluang dengan cara yang lebih mudah, di mana semua orang boleh mengakses dari keselesaan kediaman mereka sendiri” katanya.
Sementara itu dalam sidang media secara maya dengan wartawan, Teng berkata, menuju ke hadapan, kerajaan Selangor turut memberi fokus kepada sektor teknologi dan perkhidmatan khususnya ketika ini ramai yang bergantung kepada telefon pintar untuk mendapatkan sebarang maklumat.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau menjelaskan dalam pelan 5 tahun, Selangor sudah menggalakkan banyak sektor menceburi bidang perdagangan elektronik (e-dagang) khususnya dalam mendepani revolusi perindustrian 4.0.
“Antaranya mendigitalkan sektor pengurusan sumber manusia dan melatih 600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (IKS) membangunkan bidang peruncitan elektronik (e-merchant) masing-masing,” katanya.
Justeru katanya, apabila bidang ini berkembang, sektor lain seperti logistik dan pengangkutan juga akan mendapat limpahan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di Selangor.
Dalam pada itu, Teng dalam ucapannya berkata, SIBS2020 akan terus mempunyai tiga komponen utama iaitu Selangor International Expo (SIE), membabitkan ekspo perdagangan makanan dan minuman (F&B).
Ekspo itu membabitkan 300 pempamer daripada sejumlah 12 negara termasuk Indonesia, Filipina, India, Taiwan, Jepun, Thailand, Vietnam, Spain, Singapura, New Zealand, Itali dan Malaysia.
Belau berkata, peserta pameran ini akan menunjukkan pamplet dan video produk masing-masing dalam gerai pameran yang direka secara digital.
“SIE 2020 akan terus menyediakan platform hubungan rangkaian kepada peserta pameran ini dari Oktober 2020 hingga Oktober 2021,” katanya.
Komponen kedua ialah Selangor ASEAN Business Conference (SABC) yang membawa bersama penceramah, pemimpin perniagaan, persatuan berkaitan perdagangan dan pembangun polisi perdagangan daripada pelbagai bidang dan sektor ekonomi dari ASEAN dan negara rakan lain.
Sementara itu, Teng berkata, Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) akan diadakan dengan tema “How SME can Thrive in the Battle of Digital Transformation?”.
SDEC juga akan melancarkan anugerah Top E-Commerce Merchant Awards 2020, yang memberi pengiktirafan kepada peruncit elektronik tempatan yang berjaya, kreatif dan inovatif.
Beliau berkata, meskipun unjuran ekonomi kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk COVID-19, Selangor menyaksikan pelaburan terus asing dan domestik memainkan peranan penting kepada kejayaan negeri ini.
“Sejak lima tahun lalu, Selangor berjaya menarik lebih daripada RM57.42 bilion or (USD 13.8 billion) nilai jumlah keseluruhan pelaburan menerusi lebih daripada 1,222 projek pembuatan.
“Menerusi pelaburan ini juga, kira-kira 80,157 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dan ketika pandemik ini dikesan, bagi tempoh enam bulan pertama 2020, sbeanyak 122 projek pembuatan diluluskan dengan jumlah pelaburan sehingga RM3.4 bilion.
“Beberapa lagi projek pelaburan kini sedang diperingkat akhir dan kita berharap menjelang akhir tahun ini, kita akan mengumumkannya,” katanya lagi.
Virtual SIBS 2020 akan berterusan sehingga 2021, seterusnya membolehkan para usahawan untuk terus menggunakan platform ini setelah empat hari secara fizikal tersebut.
SIBS 2021 dijadualkan kembali pada 7 – 10 Oktober 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Virtual SIBS 2020, lawati www.selangorbusinesshub.my