Sekali pandang, rekaan Toyota Corolla baharu ini mirip kepada model ‘abangnya’ Camry khususnya bahagian hadapan dengan bahagian bamper yang paling terserlah.

Bagaimanapun, selepas dilihat lebih terperinci, bahagian hadapannya lebih tirus dan tidak selebar seperti model Camry menjadikan rekaannya lebih sporty sesuai dengan pengguna dan citarasa pemandu yang memandu sedan ini terdiri daripada eksekutif muda yang bergaya.

Sebagai sebuah kereta sedan dalam segmen C, Corolla generasi ke-12 ini diletakkan sebaris dengan pesaing terdekatnya Honda Civic 1.5 liter namun sedikit kelebihan apabila model ini menggunakan enjin yang lebih berkuasa iaitu 1.8 liter dan tentu sekali terpaksa membayar sedikit lebih kepada cukai jalannya.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd, selaku pengedar, pengimport dan pemasang kenderaan Toyota di negara ini tentu sekali mempunyai sebab tertentu untuk terus menggunakan jenama Corolla ini meskipun ia lebih dikenali sebagai Corolla Altis.

Rekaan

Jika dibandingkan dengan rekaan terdahulu, Corolla baharu ini tampil lebih bergaya dengan perubahan besar dibahagian hadapan dan belakang. Jika bahagian hadapan seumpama model Camry yang ditiruskan sedikit manakala bahagian belakang pula hampir seakan model Lexus.

Gabungan kedua-dua rekaan ini menjadikan model sedan yang cukup popular satu ketika dahulu ini tampil menarik dengan garis badan yang kelihatan aerodinamik.

Varian yang dipandu uji Prebiu.com ini adalah varian tinggi 1.8G berharga RM134,505 (beza RM10,000 dengan 1.8E) dan jika dilihat dari luar, kelainannya cuma pada lampu utama iaitu 1.8G menggunakan unit Bi-LED automatik dan rim (17 inci pada 1.8G dan 16 inci pada 1.8E).

Manakala kelainan lain ialah butang tukaran pedal pada stereng dipadankan pada varian 1.8G dan pakej keselamatan terkini iaitu Toyota Safety Sense yang membantu kenderaan dipandu dengan lebih selamat serta diyakini di jalan raya.

Sebenarnya, tidak terlalu sukar untuk memandu Corolla ini kerana kebiasaannya kereta Jepun tidak terlalu teknikal berbanding kereta buatan Eropah lain yang mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

Enjin

Sebagaimana dua varian yang ada pada Corolla baharu ini, kedua-dua varian ini dilengkapi kuasa enjin yang sama, ia mampu menghasilkan kuasa 137 hp pada 6,400 rpm dan 173 Nm tork pada 4,000 rpm kepada roda hadapan.

Transmisi yang digunakan ialah jenis CVT 7-kelajuan, dengan enjin 4-silinder, 16 injap DOHC dan Dual VVT-i.

Bagi anda yang gemar memandu secara santai dan lebih kepada keselesaan, boleh menggunakan mod Eco yang menjimatkan penggunaan bahan api manakala jika mahukan pemanduan sporty tekan sahaja butang Sport yang akan mengubah ciri karektor kereta ini.

Sebaik butang Sport ditekan, panel meter yang berwarna biru akan bertukar ke warna merah bagi menunjukkan identiti berbezanya.

Andai kata tidak cukup dengan ciri Sport, pada bila-bila masa gunakan sahaja butang pedal tukaran gear 7 kelajuan dibelakang stereng yang dilengkapi pada varian 1.8G ini. Hebat bukan!

Sebagaimana slogan baharu Corolla iaitu ‘Unspoken Class’, ternyata memang ada ciri tersembunyi yang perlu anda ketahui mengenai model ini.

Model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C baru, serta suspensi belakang yang ditukar daripada torsion beam kepada double wishbone. Suspensi hadapan adalah jenis MacPherson dan kedua-dua bahagian dipasang dengan stabiliser.

Sistem suspensi yang diperbaharui ini memberikan tahap pengendalian kereta lebih baik, stabil dan keseimbangan antara keselesaan serta prestasi.

Tahap pusat graviti kereta ini lebih rendah menjadikan kurangnya olengan ketika mengambil selekoh dan kenderaan lebih stabil.

Penulis dapat merasakan sendiri apabila kereta ini dipandu pada selekoh tajam dan tindak balas sterengnya lebih responsif namun masih mengekalkan tahap keselesaan kepada pemandu serta penumpang.

Ciri Keselamatan

Paling menarik Corolla ini berbanding pesaing terdekatnya ialah Toyota Safety Sense yang menjadi pakej keselamatan terkini dan memberikan pengalaman pemanduan yang jauh berbeza serta selamat.

Pakej Toyota Safety Sense termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Automatic High Beam (AHB) dan Blind Spot Monitor (BSM).

Selain itu, ciri seperti tujuh beg udara, pengesan jarak depan dan belakang, TPMS, VSC, TRC, ABS, EBD, BA dan HAC yang diberi secara standard untuk kedua-dua varian ini.

Ciri LDA misalnya, akan memberi bunyi amaran dan terasa berat pada stereng sekiranya kereta ini tiba-tiba tidak berada dalam lorong garisan. Ciri ini amat bagus sekiranya pemandu mungkin dalam keadaan mengantuk atau tidak fokus kepada pemanduan.

Paling terbaik ialah setiap kali mahu menukar lorong, sila aktifkan penggunaan lampu isyarat dan ciri ini pula masih boleh ditutup menggunakan butang pada sebelah kanan roda stereng.

Pengalaman memandu sebuah kereta buatan Eropah sebelum ini dengan ciri Pilot Assist memberikan keyakinan kepada penulis untuk mencuba ciri ini yang turut dilengkapi pada Corolla terbaharu ini.

Ciri Adaptive Cruise Control amat mudah digunakan dengan hanya menekan dua butang pada bahagian kiri stereng untuk mengaktifkannya dan anda boleh memilih tiga tahap jarak dengan kereta di hadapan.

Ketika dicuba pada laluan lebuh raya dengan kelajuan ditetapkan iaitu 100 km/j, kereta ini akan bergerak sendiri tanpa menekan pedal minyak atau brek.

Ketika sistem ini diaktifkan, radar pada kereta ini akan memberikan maklumat semasa keadaan persekitaran jalan raya dan jika ada kereta yang lebih perlahan di depan, sistem ini akan memperlahankan kenderaan secara sendiri.

Ciri semi autonomous ini atau pandu sendiri ini yang bertindak balas menerusi komputer akan mengaktifkan brek dan menurun atau meningkatkan kelajuan secara sendiri sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada pemanduan masa kini.

Selain ciri keselamatan ini, varian 1.8G juga hadir dengan beberapa aksesori lain seperti pengecas tanpa wayar, pengelap cermin automatik, panel paparan informasi MID 7.0 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit, brek parkir elektronik, penghadang cahaya cermin belakang, perakam video depan dan belakang serta paparan panoramik 3D.

Kesimpulan

Bagi anda yang memang setia dengan jenama Toyota, memiliki sebuah Corolla baharu ini dianggap berbaloi khususnya varian 1.8G yang mempunyai lebih banyak kelebihan khususnya ciri keselamatan Toyota Safety Sense berbanding varian 1.8E.

Andai kata ruang bonet belakang tidak mencukupi untuk membawa barang yang panjang, penyandar kerusi tempat duduk belakang boleh direbahkan secara rata. Ciri ini amat praktikal malah penumpang belakang juga mendapat corong penyaman udara tersendiri.

Rekaan panel instrumen dengan ciri skrin sentuh yang terletak ditengah-tengah papan pemuka juga mudah dicapai dan kelihatan kemas selari rekaan terkini generasi baharu Toyota, namun rekaannya dilihat terlalu ringkas.

Bagaimanapun, disebalik kesempurnaan tentu ada kekurangan. Apa yang mungkin boleh diperbaiki pada model akan datang mungkin rekaan perehat tangan ditengah konsul yang boleh dilebarkan sedikit lagi bagi keselesaan pemandu.

Spesifikasi Corolla Altis

  • Kod enjin : 2ZR-FE
  • Jenis : 4-silinder, sebaris, 16-injap DOHC dengan Dual VVT-i
  • Kuasa maksimum: 103kW pada 6,400rpm
  • Tork makslmum : 172 Nm pada 4,000rpm
  • Tayar : 225/45 R17
  • Kapasiti bahan api : 50 liter
  • Harga : RM134,505.00 (selepas ditolak cukai jualan)