Jualan sebanyak 11,935 unit pada bulan September bersamaan dengan penambahan sebanyak 12.5% berbanding dengan tempoh sama tahun 2019

Momentum jualan Proton berterusan dari bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan ke-empat berturut-turut.

Jumlah jualan pada bulan September sebanyak 11,935 unit adalah kedua tertinggi bagi tahun 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9% berbanding dengan Ogos dan 12.5% berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2019.

Proton telah menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran sebanyak 21.6% dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia.

Tiga model Proton mempunyai jualan terbanyak untuk segmen masing-masing. Sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen masing-masing pada bulan ini. SUV terlaris di Malaysia, Proton X70, telah mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020.

Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, status yang Proton yakin akan dapat dikekalkan sehingga akhir tahun.

“Setelah Kadar Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kita boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia telah mencapai kestabilan buat masa ini.

“Proton berasa lega dan yakin kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita telah kembali ke tahap penjualan yang lestari,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu.