Ikutkan jadual yang diberikan kepada Prebiu.com, pandu uji Volkswagen Passat 2.0TSI Elegance terbaharu ini sepatutnya dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 15 Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, akibat PKP dilaksanakan, semua sesi pandu uji ditangguhkan sehingga satu tarikh diputuskan dan akhirnya penulis mendapat semula slot berkenaan pada September ini.

Passat baharu atau Passat 2020 ini tampil dengan profil hadapan dan belakang, serta rekaan lampu signatur yang serba baru, namun sedikit perubahan pada bahagian dalaman khususnya skrin panel meter digital sepenuhnya.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Passat 2.0TSI Elegance baharu di Malaysia, hanya empat bulan selepas ia diperkenalkan di pasaran Jerman pada September lalu.

Passat yang sudah memasuki generasi kelapan adalah model kenderaan dalam segmen D ini, pertama kali diperkenalkan pada acara Geneva Motor Show dengan mensasarkan kenderaan sedan untuk keluarga atau eksekutif.

Apa yang menariknya, Passat 2020 ini dikuasakan oleh enjin 2.0TSI yang telah dipertingkatkan dan ia menjadi model pacuan roda hadapan pertama Volkswagen di Malaysia yang menggunakan kotak gear tujuh kelajuan klac basah berkembar (DSG).

Penambahbaikan utama lain termasuklah lampu hadapan dan belakang baharu serta sistem infotainmen yang lengkap bersama ciri App-Connect.

Enjin

Di bawah hud, Passat baharu dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu dan telah ditambah baik. Ia mampu menjana kuasa yang mengagumkan sehingga 190PS dan dan tork 320Nm.

Menjanjikan gabungan terbaik di antara prestasi dan penjimatan, Passat baharu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.5l/100 km, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar seperti yang dijelaskan oleh WLTP (Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Selari Dunia).

Ketika kunci diserahkan, meter digital minyak menunjukkan kereta ini boleh dipandu sejauh 800 kilometer, namun sesekali ia meningkat kepada 830 km.

Bagaimanapun, selepas pedal minyak dikerah sedikit, bacaan meter minyak turun sedikit dan dibantu oleh sistem henti/mula, maka kereta ini sebenarnya mampu memberikan penjimatan bahan api sekiranya dipandu dengan berhemah.

Daripada segi prestasi, kuasa enjin ini memang tidak menghampakan manakan tidak suntikan turbo Passat ini bertindak responsif setiap kali pedal minyak ditekan.

Infotaimen

Passat baharu menawarkan ketersambungan pintar di hujung jari anda. Digital Cockpit bersaiz 11.7” baharu dan telah ditambah baik menawarkan kejelasan yang luar biasa, terima kasih kepada paparan warna transistor filem nipis (TFT) beresolusi tinggi yang sama seperti telefon pintar premium.

Jika model terdahulu kita dapat melihat panel-panel plastik di sekeliling panel meter kokpit namun kali ini ia kelihatan besar dan boleh diubah mengikut kesesuaian.

Ia menawarkan pelbagai fungsi, selain memaparkan grafik 2D dan 3D untuk tujuan navigasi serta media. Enam pandangan skrin boleh ubah pula menawarkan aspek personalisasi ke satu tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Sistem infotainmen jelas mengagumkan – skrin sentuh bersaiz 9.2 inci itu kini lebih mudah dioperasi dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pada model sebelum ini, tombol pada skrin digital sesentuh itu jelas kelihatan namun kali ini, skrin berkenaan rata sepenuhnya sekali gus tampil kelihatan elegan dan eksklusif.

Ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat buat pertama kalinya di Malaysia.

Ciri-ciri lain termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan yang luas menerusi skrin paparan sentuh kapasitif, tiga port USB-C beriluminasi dan ketersambungan Bluetooth untuk penstriman audio dan peranti mudah alih.

Luaran

Dengan penampilan yang lebih mantap dan dinamik, Passat baharu merupakan hasil penambahbaikan ke atas satu konsep reka bentuk yang telah terbukti.

Rekaan baru profil hadapan dan belakang membezakan Passat baharu dengan model terdahulu. Perbezaan lain termasuklah perkataan “Passat” yang dilekatkan pada bahagian belakang dan rim aloi “Liverpool” bersaiz 18 inci yang menarik. Saiz tayar yang membaluti kereta ini ialah 235/45 R18.

Karekter Passat diserlahkan lagi dengan lampu signatur yang telah direka semula – sistem lampu utama LED IQ Light sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan di hadapan dan belakang dan rekaan lampu belakang LED – melengkapkan lagi penampilan keseluruhan model terlaris di seluruh dunia ini.

Yang menarik ialah gaya baharu lampu isyarat membelok jenis dinamik seperti mana digunakan oleh model Golf R-Line yang pernah dipandu uji Prebiu.com sebelum ini.

Ruang kabin

Ruang dalaman Passat baharu menyenangkan pandangan mata dengan pelbagai material baru dan elemen reka bentuk menarik yang mencipta ambien lebih mewah serta bergaya.

Antara aspek yang telah dinaik taraf ialah kemasan pintu rekaan baru, 30 pilihan warna lampu ambien dan stereng multi fungsi dibalut kulit.

Stereng itu dilengkapi butang multi fungsi yang ergonomik untuk kemudahan dan ketersambungan dengan satu sentuhan butang sahaja.

Keselesaan sememangnya satu keutamaan, jadi tempat duduk Passat baharu dibalut dengan kulit lembut dan 12 talaan secara elektrik bersama sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon untuk semua penumpang. Ciri baru yang turut dipasang ialah pelindung cahaya matahari cermin belakang kuasa.

But seluas 586 liter memberikan cukup ruang kepada pemandu dan penumpang untuk meletak bagasi mereka.

Pada model terdahulu, sebuah jam diletakkan ditengah-tengah papan pemuka, namun pada model Passat baharu ini, ia digantikan dengan tulisan Passat bersama butang lampu isyarat kecemasan.

Keselamatan

Keselamatan merupakan aspek penting pada semua kenderaan Volkswagen. Jadi, ciri baharu yang ada pada Passat ialah Side Assist dengan Rear Cross Traffic Alert, lengkap bersama jarak pengesanan 18 darjah sehingga 50 meter.

Ketika memandu, Sistem Pemantauan Titik Buta pada Passat baharu memastikan kereta sentiasa berada dalam laluannya, dengan jarak pengesanan mencecah 70 meter.

Ciri kemudahan yang turut ditambah ialah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dengan alat pengesan bersepadu pada keempat-empat unit tayar. TPMS berfungsi memantau bacaan tekaan setiap tayar berdasarkan kepada kehendak pengguna.

Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Sietem Brek Anti-Kunci (ABS) and Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

Warna dan varian

Passat Elegance baharu didatangkan enam warna dan dua kemasan. Warna-warna metalik terdiri daripada warna biru (Aquamarine Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver) dan coklat (Tamarind Brown).

Harga 

Sempena pengecualian cukai jualan, harga jualan Passat 2.0TSI Elegance tanpa insurans ialah RM182,878.64.

Kesimpulan

Sepanjang hujung minggu memandu sedan ini, model ini menawarkan banyak kelebihan bukan sahaja ruang dalaman dan but belakang yang besar dan luas tetapi turut menawarkan tahap penjimatan bahan api yang baik.

Faktor ini mungkin disebabkan rekaan badan kereta ini yang aerodinamik mampu mengurangkan pergeseran angin sekali gus menjadikan kereta ini meluncur laju di lebuh raya.

Jika dipandu secara berhemah tentunya memberikan lebih penjimatan dan apa yang menyeronokkan apabila memandu kereta berlogo VW ini ialah pengendaliannya adalah setanding dengan model pesaing di luar sana.

Sistem keselamatan kereta ini juga antara yang terbaik dengan dilengkapi enam beg udara keselamatan manakala ruang keselesaan penumpang belakang dipadankan dengan bidai yang boleh diturunkan pada bila-bila masa.