13 artis terkenal menunjukkan bakat mereka dalam menghasilkan arca eksklusif Arteon berdasarkan kepada hasil seni pameran ‘18@8 Turning Points’ oleh Wei-Ling Gallery.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan firma seni terkenal, Wei Ling Gallery hari ini mengumumkan kerjasama melibatkan seramai 13 orang artis Malaysia sempena pelancaran Arteon R-Line serba baharu.

Kerjasama penting ini memberi peluang kepada para pengumpul dan peminat untuk memiliki model-model skala kecil Arteon yang telah diubah oleh para artis tersebut menjadi arca yang unik.

Hasil seni tersebut akan dijual menerusi lelongan dan hasilnya disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Arteon merupakan model utama Volkswagen yang menawarkan kombinasi sempurna di antara reka bentuk avant-garde dengan pengendalian dinamik. Namanya menjadi refleksi sebenar penampilannya – ‘Art’ menggambarkan tentang garis-garis sebuah
fastback yang harmoni dan penuh emosi.

Manakala ‘eon’ pula mengiktirafnya sebagai sebuah model premium Volkswagen. Cukup
cantik walau dilihat dari mana-mana sudut sekali pun, Arteon menjadi titik tolak kepada perubahan buat jenama berkenaan sebagai model pertama generasi Volkswagen yang memiliki reka bentuk ekspresif dan menarik perhatian.

Ia dilihat tepat pada masanya kerana projek Arteon merupakan lanjutan daripada pameran “18@8 Turning Points” yang dijalankan oleh Wei-Ling Gallery. Pameran tersebut diadakan dengan matlamat meneroka pendekatan estetik, teknikal dan falsafah berbeza 13 orang artis terlibat yang diserlahkan menerusi hasil seni menarik berasaskan kepada ideologi ini.

Artis-artis terkenal Malaysia yang mengambil bahagian dalam projek ini termasuklah Anurendra Jegadeva dan Ivan Lam. Mereka baru-baru ini mewakili Malaysia dalam acara Venice Art Biennale kali ke-58, di samping Hamidi Hadi, Yau Bee Ling dan Choy Chun Wei.

Mempunyai hubungan langsung dengan karya seni asal artis daripada Turning Points, hasil kerja seni Arteon tampil menyerlah dan berani.

Karya Arteon oleh Anurendra Jegadeva diinspirasikan daripada ‘A Garland for My Father’ yang dipersembahkan dalam bentuk potret bapanya yang dikelilingi oleh kotak-kotak lampu, menampilkan foto-foto lama ahli keluarga bersama Volkswagen Beetle mereka.

Pendekatan unik lukisan ‘The Yearning Realm’ oleh Wong Chee Meng yang terdiri daripada lapisan-lapisan imej pula membentuk satu ilusi menerusi penggunaan lensa merah dan biru.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter yang berkongsi keterujaan beliau terhadap projek ini menyatakan bahawa kehadiran Arteon R-Line serba baharu dan kerjasama ini memberi peluang kepada jenama Volkswagen untuk berhubung dengan para peminat seni.

“Sebagai sebuah kumpulan, Volkswagen terus memberi sokongan ke atas seni dan budaya di seluruh dunia dan kami telah menjalin kerjasama dengan bakat-bakat seni tempatan. Wei-Ling sememangnya satu nama yang cukup terkenal dalam kalangan warga seni di sini dan luar negara.

“Kami teruja untuk menyokong inisiatif ini bukan hanya untuk meningkatkan kefahaman orang ramai tentang pengaruh seni di dalam hidup kita menerusi produk terkini Volkswagen. Tetapi turut menyumbang sesuatu yang bermakna sempena Bulan Kesedaran
Kanser Payudara.

“Arteon ialah satu karya seni bergerak dan mesej ini telah berjaya disampaikan menerusi setiap arca ini. Dedikasi semua artis dan proses pemikiran berjaya menjadikan model-model skala ini menjadi hasil seni yang cukup mengagumkan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Galeri, Lim Wei-Ling berkata, sememang sesuatu yang menggembirakan untuk melihat Volkswagen memberi sokongan kepada seni di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Di negara seperti di Malaysia yang mana pendedahan terhadap seni adalah terhad, inisiatif dan kolaborasi seperti ini membolehkan kami meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya peranan yang dimainkan oleh para artis.

“Artis merupakan pemerhati zaman kita – mereka mendokumentasi, merakam dan memelihara zaman yang mereka lalui menerusi hasil seni mereka.

“Setiap karya seni ini direka untuk pameran ‘Turning Points’ yang menjadi refleksi peribadi semua 13 orang artis yang terlibat dalam projek ini. Kisah-kisah yang dipersembahkan melalui karya ini sangat memberi inspirasi, ekspresif dan menyentuh perasaan.

Menerusi kerjasama dengan Arteon, semua artis telah menghasilkan seni kereta yang unik
dan sememangnya sangat berharga untuk disimpan kerana ia ‘hanya satu seumpamanya’ di dunia.

“Kami rasa berbesar hati dan gembira kerana dapat bekerjasama dengan Volkswagen untuk melelong hasil seni Arteon dalam usaha meningkatkan kesedaran serta mengumpul
dana untuk BCWA.”

Kesemua 13 arca Arteon kini boleh dilihat dan dibida secara dalam talian di www.arteonartcar.com atau di Wei-Ling Contemporary The Gardens Mall melalui temujanji dengan menghubungi talian 03-22828323.

Bidaan akan ditutup pada 1 Oktober 2020, jam 5pm. Arteon R-Line serba baharu ditawarkan pada harga RM225,490 dan hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Dengan pengecualian cukai jualan sekarang, harga runcit cadangan bagi Arteon R-Line serba baharu sehingga 31 Disember 2020 ialah RM220,043.28.

SENARAI PENUH ARTIS

1. Anurendra Jegadeva
2. Cheng Yen Pheng
3. Chin Kong Yee
4. Cheong Kiet Cheng
5. Choy Chun Wei
6. Cheong Kim Chiew
7. Chen Wei Meng
8. Hamidi Hadi
9. Ivan Lam
10. Rajinder Singh
11. Sean Lean
12. Wong Chee Meng
13. Yau Bee Ling