Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) telah menjalankan bancian dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mendapatkan maklum balas pengguna mengenai perkhidmatan yang mereka langgan.

Hasil bancian menunjukkan ramai pengguna tidak berpuas hati terhadap kualiti kelajuan internet mereka kerana tidak seperti yang dijanjikan oleh Telco.


 
Melalui bancian CFM itu juga mendapati kebanyakan responden mempunyai lebih daripada satu isu perkhidmatan telekomunikasi. Antaranya ialah kualiti liputan rangkaian di dalam rumah dan tiada sebarang penambahbaikan ketara terhadap masalah aduan dilaporkan.

“Bancian ini dijalankan semasa PKP, memandangkan semua orang bergantung kepada sambungan internet untuk berhubung dan bekerja dari rumah.

Isu ini tidak sepatutnya berlaku kerana Telco telah bersetuju untuk memberi perkhidmatan seperti yang telah dijanjikan kepada pengguna yang melanggan. Telco harus lebih proaktif dalam menambahbaik perkhidmatan mereka,” kata Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff.

Mohana berkata, “CFM kini sedang dalam proses meminda untuk memperkukuh kod industri GCC dengan kerjasama MCMC bagi memastikan hak pengguna dilindungi.

Antara perkara yang akan diperkemas dalam GCC ialah terma dan syarat kontrak perkhidmatan, pemberian ringkasan maklumat perkhidmatan, dan pengguna bekeperluan khas.”

CFM sentiasa menyarankan pengguna untuk melaporkan aduan kepada Telco masing-masing dengan menyertakan maklumat terperinci mengenai masalah yang dihadapi. Jika masalah tersebut masih tidak diselesaikan, laporkan kepada CFM melalui portal aduan bersepadu bersama MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/.
 
Sementara itu, ada beberapa cara yang boleh dilakukan pengguna untuk membantu menyelesaikan kelajuan internet yang perlahan. Rujuk portal CFM di http://www.consumerinfo.my/basic-faq-how-to-troubleshoot-your-wi-fi-network/