Kemeriahan bulan kemerdekaan dapat dirasai di KPJ Sentosa KL Specialist Hospital dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan.
Pembabitan kakitangan hospital, orang awam, pesakit dan doktor memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan. Kelahiran bayi merdeka merupakan salah satu memori terindah bagi sambutan kali ini.
Pasangan suami isteri, Mah Kang Chye dan Yap Wen Yee, tidak menyangka anak pertama mereka selamat dilahirkan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada jam 10.23 pagi.
Bayi seberat 2.96kg itu telah disambut kelahirannya oleh Dr Lam Num Fatt, pakar sakit puan KPJ Sentosa KL Specialist Hospital. Mereka juga menerima tempat duduk bayi secara percuma oleh pihak hospital.
“Saya tidak sangka dia akan lahir pada 31 Ogos kerana sepatutnya pada 1 September 2020. Kami berasa bangga kerana dia lahir pada hari kemerdekaan Malaysia”, kata Mah Kang Chye dan isterinya.
Selain itu, aktiviti sambutan kemerdekaan diraikan pada hari yang sama di hospital dengan acara pemotongan kek berbentuk bendera Malaysia dan agihan kek cawan kepada pesakit-pesakit di KPJ Sentosa KL. Kibaran bendera dan nyanyian lagu ‘Jalur Gemilang’ memecah kesunyian di pusat dialisis, KPJ Sentosa KL.
Pesakit-pesakit dialisis turut berasa bangga dan terharu dengan inisiatif yang telah diambil oleh pihak hospital untuk meraikan Hari Kemerdekaan bersama mereka. Kek cawan juga diagihkan ke semua pesakit di setiap tingkat hospital dan kakitangan yang bertugas pada hari itu.
Malah, semangat kemerdekaan dirasai terlebih awal oleh kakitangan hospital dimana aktiviti mendaki Bukit Tugu, Kuala Lumpur dilakukan terlebih dahulu. Gambar berkumpulan dirakam dihadapan tugu negara yang merupakan salah satu tugu peringatan pejuang-pejuang tanah air pada zaman dahulu.
Eksekutif Pemasaran KPJ Sentosa KL, Muhammad Danial berkata, “aktiviti pendakian ini merupakan kerjasama dengan Kelab Sukan dan Rekreasi KPJ Sentosa KL bagi mempromosikan kesihatan diri dan semangat kemerdekaan. Selain itu, ianya dapat merapatkan hubungan kakitangan hospital dengan orang awam”
Tambahnya lagi, sumbangan bendera Malaysia dan gel pembasmi kuman turut diberikan kepada pengunjung-pengunjung Tugu Negara. Malah, setiap peserta mengikuti kesemua langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh pihak Taman Tugu dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengekang pandemik COVID-19.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web kpjsentosa.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Instagram dan Youtube KPJ Sentosa KL Specialist Hospital iaitu @kpjsentosakl atau boleh terus menghubungi Syarifah Aini di talian 011-23561990.