Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Gerak Kerja JR2.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita UMNO Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini telah mempelawa wanita akan diberikan peluang untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi membantu kemenangan BN.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid turut menyentuh bahawa Wanita UMNO mempunyai ramai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan dan mampu memberikan sumbangan besar kepada kemenangan BN pada 26 September.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, daripada pengamatan beliau, kesiapsiagaan UMNO Sabah amat luar biasa, di samping Wanita UMNO dan BN yang sentiasa gigih menjalankan tugas mereka.

“Selari dengan perkembangan positif ini, saya dengan rasa rendah diri mengucapkan terima kasih di atas kesudian dan pengamatan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang akan memberikan Wanita UMNO peluang untuk menjadi calon bagi membantu kemenangan BN kali ini.

“Sehubungan itu, saya juga berasakan penuh harapan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN memberi peluang pada ramai calon wanita yang bakal diketengahkan untuk menjadi calon PRN Sabah menepati dengan kehendak acuan pengundi Sabah, sekali gus menyumbang kepada kemenangan BN sebagai kerajaan baharu,” katanya.

Beliau yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berkata, peluang ini adalah suatu cabaran kepada Wanita UMNO Sabah serta jentera wanita secara keseluruhannya kerana harapan yang diberikan adalah satu amanah dan kebertanggungjawaban yang besar.

“Yang pastinya, saya yakin kerana ramai bakal calon Wanita UMNO mempunyai latar belakang yang baik, kepimpinan dan ketrampilan yang mesra kepada pengundi dan rakyat, calon wanita juga mempunyai semangat juang yang tinggi serta paling penting, insyallah bakal calon ini adalah calon yang diterima pengundi dan calon yang boleh menang,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Wanita UMNO akan sentiasa membantu Presiden selaku Pengerusi BN serta Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah BN PRN Sabah.

Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO tidak akan sesekali berundur dalam setiap pertempuran kerana sejujurnya, kami sentiasa berada di barisan depan parti bagi menjelaskan setiap isu semasa dan menangani sebarang persepsi yang tidak betul.