Samsung Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan telefon pintar terbaharu bersama tiga lagi gajet merangkumi jam pintar, fon telinga nirwayar dan tablet S7.

Bertempat di Sentul Depot, Kuala Lumpur, media diberikan pengalaman eksklusif kesemua peranti berkenaan mengenai pelbagai fungsi terkini yang mengagumkan menerusi beberapa segmen yang dibahagikan mengikut platform.

Luke Au

Sebagaimana umum mengetahui, dibawah siri Galaxy Note20, tiga peranti diperkenalkan dibawah keluarga ini, iaitu Galaxy Note20 4G, Galaxy Note20 5G dan juga Galaxy Note20 Ultra.

Galaxy Note20 hadir dengan skrin 6.7-inci Infinity-O dengan kadar segar semula 60Hz, dijana Exynos 990, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 128GB. Ia turut dilengkapi bateri 4300mAh, dilengkapi tri-kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel, dan sokongan kalis air IP68.

Galaxy Note20 Ultra pula hadir dengan skrin 6.9-inci Dynamic AOLED, dijana cip Exynos 990, memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Ia dilengkapi bateri 4500mAh, tri-kamera belakang dengan sensor utama 108-megapixel, dan turut dilengkapi sokongan kalis air IP68.

Ketiga-tiga peranti ini hadir dengan ciri S-Pen pada bahagian kiri peranti berbeza dengan penawaran siri Note sebelum ini yang menyertakannya pada bahagian kanan. Ketiga-tiga model peranti ini ditawarkan dengan storan 256GB sahaja.

Harga peranti:

  • Samsung Galaxy Note20 4G : RM3899
  • Samsung Galaxy Note20 5G : RM4299
  • Samsung Galaxy Note20 Ultra: RM5199

Pengalaman S-Pen turut dinaik-taraf melalui siri Galaxy Note20 baharu ini, termasuk kemudahan mengawal peranti tanpa menyentuh skrin, selain kadar kejituan yang lebih baik.

Samsung juga turut menaiktaraf aplikasi Samsung Notes dengan sokongan sync antara PC dan peranti, selain memudahkan pengguna menambah nota pada fail PDF.

Siri Galaxy Note 20 juga menyokong rakaman video 8K, selain turut dilengkapi sokongan DeX.

Ketua Pemasaran Produk, IT dan Perniagaan Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, Luke Au berkata, kesan akibat wabak pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia kini memilih untuk bekerja dari rumah.

Beliau berkata, pengenalan Samsung Galaxy Note 20 adalah tepat pada masanya kerana peranti ini memiliki pelbagai ciri pintar yang mampu membantu mempermudahkan urusan harian khususnya mereka yang sentiasa memerlukan peranti yang boleh berfungsi sebagai phablet atau tablet.

Ciri S Pen Note20 kini dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman menulis pada skrin yang lebih baik seolah-olah sedang merasai seperti menulis dengan pen sebenar di atas kertas.

Selain itu, aplikasi nota juga boleh disambungkan terus kepada tablet S7 atau perisian Windows pada komputer.

Dalam sesi khas bersama media itu, antara ciri yang menarik perhatian penulis ialah meskipun telefon pintar Note20 anda tertinggal dirumah, anda masih boleh menjawab panggilan telefon di tab S7 yang sudah disambungkan dengan peranti berkenaan. Ciri ini adalah yang terbaharu ditawarkan Samsung.

Menurut Samsung, versi S Pen pada siri Note20 ini adalah lebih responsif yang mana tindak balas pergerakan S Pen lebih laju iaitu sepantas 9ms. Malah, anda juga dapat mengawalnya tanpa perlu sentuhkan S Pen ini pada skrin peranti.

Fungsi ini dinamakan sebagai Air Gesture, yang membolehkan pengguna kembali ke muka hadapan peranti, melakukan aksi back dan pergi ke skrin multi-tugas dengan melakukan lakaran di udara menggunakan S Pen serta pelbagai lain aksi yang boleh dilakukan.

Telefon pintar keluaran Samsung yang terbaru ini juga menyokong untuk membuat sambungan kepada Windows.

Sambungan secara nirwayar ini menjadikan proses pemindahan fail menjadi lebih mudah dan pantas tanpa perlu menggunakan kabel dan juga pendrive untuk memindahkan fail.

Anda boleh memindahkan fail daripada telefon pintar ke komputer riba Windows dengan cara “Drag & Drop” sahaja.

Selain itu, fungsi lain yang membantu anda untuk memudah dan meningkatkan produktiviti harian adalah sokongan Samsung DeX. Fungsi Samsung DeX ini boleh disambungkan secara nirwayar dan melalui sokongan ini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk menggunakan televisyen sebagai skrin kedua tanpa perlu risau anda hilang kawalan pada peranti.

Bagi yang gemar bermain game, Samsung Galaxy Note20 menerima sokongan Game Booster, malah, skrinnya juga mampu untuk memaparkan paparan yang lebih terperinci dan menyokong untuk menghasilkan paparan sehingga 8K video pada kadar 24fps.

Dengan gabungan hebat antara komponen dalam peranti ini, ia sedikit sebanyak membantu anda untuk mendapatkan pengalaman permainan yang lebih lancar, tidak mengalami masalah lengah masa sekali gus meningkatkan prestasi permainan anda.

Sementara itu, Samsung Galaxy Buds Live hadir dengan rekaan seakan “kekacang”, turut hadir dengan sokongan sistem pembatalan hingar aktif.

Fon telinga ini hadir dengan binaan tiga mikrofon untuk memudahkan anda membuat panggilan telefon dengan jelas.

Galaxy Buds Live hadir dengan bateri bertahan sehingga 6 jam untuk sekali pengecasan, dan boleh bertahan sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecasan.

Menariknya, selain penggunaan kabel untuk mengecas, Galaxy Buds Live turut menyokong pengecasan secara nirwayar. Di Malaysia, Samsung Galaxy Buds Live dijual pada harga RM699.

Mengenai jam tangan pintar terkini, Samsung Galaxy Watch3, dilengkapi skrin 1.2″ dan 1.4″ masing-masing dari keluarga SAMOLED dengan resolusi 360×360 pixel.

Cip Exynos 9110 dipadankan pula dengan 1GB RAM dan storan 8GB, Ini ialah cip yang sama seperti yang digunakan pada Galaxy Watch Active2 dan Gear Sport sebelum ini.

Peranti ini dilengkapi GPS, barometer, accelerometer, pengimbas nadi dan ECG. Kedua-dua jam pintar ini kembali menggunakan bezel berputar untuk navigasi dan kemampuan kalis air IP68.

Harga jualan Galaxy Watch3 ialah RM1,699 untuk model 41mm dan RM1,799 untuk model 45mm.

Di Malaysia pra-tempahan dibuka dari 6 hingga 20 Ogos 2020. Mereka yang melakukan pra-tempahan akan menerima pengecas nirwayar bernilai RM239 secara percuma.

Model 45mm ditawarkan dalam warna Mystic Black dan Mystic Silver manakala model 41mm pula ditawarkan dalam warna Mystic Bronze dan Mystic Silver.

Sementara itu, pra-tempahan Galaxy Note20 Ultra di Malaysia akan menerima Galaxy Buds Live bernilai RM699, pensteril UV peranti bernilai RM299 dan pengecas nirwayar mudah alih bernilai RM209 secara percuma manakala pra-tempahan untuk Galaxy Note20 pula akan menerima Galaxy Buds+.

Bagi mereka yang memilih untuk tidak mahu melakukan pra-tempahan, jualan terbuka akan berlangsung bermula 21 Ogos 2020 di semua cawangan Samsung Malaysia.