Jika anda masih ingat dengan ‘tagline’ Volvo For Life’ yang begitu sinonim dengan aspek keselamatan termaju malah ada juga mengelar kereta Volvo ini seumpama sebuah kereta ‘kebal’ dan macam-macam lagi gelaran.
Begitulah pelbagai persepsi diberikan kepada pengeluar kereta terkemuka dari Sweden ini dalam terus berinovasi menghasilkan kereta-kereta yang bukan sahaja dianggap selamat malah dipadankan dengan teknologi automotif terkini.
Kini, meskipun Volvo (hanya kenderaan penumpang) dimiliki sepenuhnya oleh Geely dari China, aspek keselamatan masih menjadi keutamaan malah kehadiran beberapa model terkini membuktikan rekaan Volvo semakin menarik dan menawan.
Prebiu.com yang pernah memandu uji model XC40 T5 R-Design pada tahun lalu, diberi peluang sekali lagi untuk menguji abangnya iaitu XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus, iaitu sebuah SUV saiz sederhana yang cukup mewah.
XC60 yang dibina di atas platform yang sama dengan XC90, S90 dan V90, adalah antara SUV paling selamat di dunia kerana ia mencapai skor Euro NCAP setinggi 98 peratus untuk keselamatan penumpang dewasa dan 95 peratus dalam kategori kenderaan off-road besar.
Rekaan Luaran
Melihat kepada rekaan luarannya, Volvo XC60 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu XC60 T5 Automatik AWD, XC60 T8 Twin Engine Inscription dan T8 Twin Engine Inscription Plus yang berbeza daripada segi kuasa enjin dan spesifikasi.
Bagi model XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus yang dipandu uji Prebiu.com ini, perbezaan paling ketara ialah tentu sekali tanda harganya lebih mahal iaitu bermula dari RM326,120 (harga dirujuk dilaman web Volvo Car Malaysia, selepas ditolak cukai jualan) berbanding RM316,390 bagi varian XC60 T8 Twin Engine Inscription.
Walaupun kedua-dua varian itu memiliki daya kuasa enjin yang sama, namun sedikit perbezaan dalam dilihat daripada segi luaran dan dalaman misalnya, varian lebih mewah Inscription Plus ini dibaluti kekemasan krom pada rekaan badan luar manakala sistem bunyi audio pula jenama Bower & Wilkins.
Jika nak disenaraikan ciri-ciri yang membezakan varian ini tentu sekali panjang, lebih baik rujuk kepada laman web rasmi Volvo Cars Malaysia.
Pujian harus diberikan kepada rekaan badan Volvo XC60 ini yang nampak lebih menawan dan sedikit lebar dengan jalur garisan badan yang lebih aerodinamik berbanding model XC60 yang terdahulu dilihat sedikit ‘keras’.
Antara ciri menarik ialah
- Lampu hadapan LED bercirikan ‘tukul Thor’ dengan fungsi Active Bending Lights
- Bumbung suria panaromik
- Gril hadapan dengan bilah menegak
- Kemasan perak untuk dua lubang angin di kiri dan kanan bamper hadapan
- Kemasan sisi krom pada bahagian pintu siap dengan tulisan Inscription
- Ekzos kembar kiri dan kanan dengan kemasan krom
- Roda aloi lebih besar 19 inci dengan 10 bilah, dan tayar bersaiz 235/55 R19
- Soket Plug In Hybrid pada bahagian sisi kiri hadapan
- Kamera warna 360 darjah
- Tombol gear Kristal oleh Orrefors
Ketika dipandu perlahan, sistem stereng elektronik SUV ini cukup ringan sekali gus memudahkan pemandu ketika memarkir kereta ini ataupun ketika membuat pusingan ‘U’, namun sistem stereng ini berubah menjadi sedikit berat apabila kenderaan ini mencecah kelajuan tinggi menjadikannya lebih stabil.
Apa yang penulis perasan ialah ketika model ini dipandu pada waktu malam, sistem lampu hadapan LED dengan fungsi Active Bending Lights cukup inovatif kerana ia turut memberikan suluhan kepada laluan gelap di sebelah kiri seolah-olah lampu utamanya terpecah kepada ‘dua’.
Enjin
Perkara pertama yang harus diberikan pujian ialah tahap bunyi enjin yang cukup rendah dan ini dapat dirasai ketika enjin SUV ini dihidupkan apabila seolah-olah tiada bunyi enjin langsung kedengaran.
XC60 T8 ini dipadankan dengan enjin 2.0L 4-silinder dan disebabkan SUV ini ialah sebuah Plug In Hybrid, ia turut dilengkapi dengan motor elektrik (87 hp dan 240 Nm) untuk menjana roda belakang.
Apa yang menarik ialah SUV mewah bersaiz sederhana ini mampu menghamburkan kuasa kuda setinggi 407 hp dan daya kilas setinggi 640 Nm melalui sistem transmisi lapan kelajuan automatik.
Terdapat 5 pilihan mod pemanduan disediakan:
- Constant AWD (all wheel drive)
- Pure (Eco Drive)
- Hybrid
- Power (sporty)
- Off Road (laluan lasak)
Meskipun SUV ini ialah model hybrid yang menggunakan kuasa motor bateri sebesar 10.4 kWh terletak dibonet belakang, ia mampu bergerak dengan kuasa bateri sejauh 45 kilometer tanpa menggunakan bahan api.
Ciri ini cukup sesuai jika anda memang sentiasa mahukan sebuah SUV untuk kegunaan harian ke tempat kerja, menjadikan tahap penggunanan bahan apinya sangat rendah.
Ketika penulis menerima kunci kereta ini, tahap bahan api yang ditunjukkan pada panel meter digital SUV ini ialah 710 km. Mengikut spesifikasi standard kereta ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5.3 saat sementara halaju maksimum ialah 230 km/j.
Keseronokan memandu uji XC60 ini benar-benar dapat dirasakan ketika meratah selekoh dan bukit menuju ke Cameron Highlands apabila sistem enjin dan stereng bertindak responsif.
Sebagaimana ciri sebuah kereta ‘kacukan’ enjin petrol dan hibrid, maka setiap kali pedal brek ditekan, motor elektrik akan bertukar fungsi dan menjadi sebuah dinamo yang membekalkan tenaga elektrik. Jadi, anda harus bijak mengendalikan kereta ini jika dipandu dalam keadaan agresif.
Malah ketika menuruni, mendaki bukit atau mengharusi kesesakan teruk, pemandu tidak perlu kerap menekan brek meskipun gear berada dalam kedudukan ‘D’ kerana XC60 ini akan berada dalam keadaan statik dan SUV ini akan hanya bergerak jika pedal minyak ditekan.
Ciri ini memberikan kelebihan dan keselesaan kepada pemandu kerana kaki tidak perlu sentiasa menekan brek sebagaimana kereta menggunakan transmisi automatik. Dapatlah kaki kanan ini berehat sedikit. Hebat bukan!
Rekaan Dalaman
Cukup mewah dan bergaya. Dua perkataan yang mampu digambarkan apabila melangkah masuk ke ruang kokpit pemandu dan kerusi penumpang yang dibaluti kerusi kulit jenis Charcoal yang lembut malah tulisan Inscription turut tertera pada bahagian pelapik kepala.
Rekaan kerusi juga cukup selesa dengan menyokong keseluruhan tubuh badan bagi keselesaan maksimum kepada semua penumpang khususnya sistem kawalan kerusi elektronik kepada pemandu dan penumpang hadapan.
Skrin bersaiz 12 inci yang terletak ditengah-tengah papan pemuka menjadi tumpuan kerana segala tetapan boleh dilakukan malah paparan imej kamera ketika mengundur dapat dilihat 360 darjah.
Bilah penyaman udara yang besar dihadapan manakala ditepi tulang pintu bagi penumpang belakang cukup selesa. Tidak dilupakan tombol gear unik yang diperbuat daripada kristal sepenuhnya oleh Orrefors menjadikan XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus ini cukup eksklusif.
Butang mod pilihan pemanduan juga terletak berhampiran tombol gear manakala brek parkir hanya perlu menekan butang sahaja.
Bahagian perehat tangan juga selesa dengan ruang meletak minuman disediakan dan jika tidak mahu nampak bersepah, tutup sahaja untuk kelihatan lebih kemas.
Bagi tujuan keselamatan, pemandu juga boleh mengawal butang audio atau memilih siaran radio di stereng selain butang kawalan untuk auto cruise.
Ciri Keselamatan
- BLIS™ Blind Spot Information and Cross Traffic Alert
- Keyless entry with mini remote control and hands-free power boot lid opening and closing
- Remote control shell
- WHIPS™ whiplash injury protection system
- SIPS™ side impact protection system
- Tempered side windows
- Inclination sensor for Alarm
- Oncoming Lane Mitigation
- Intelligent Driver Information System (IDIS)
- Emergency Brake light and Hazard Warning
- Dual-stage airbags, driver and front passenger
- Alarm
- Interior motion sensor for Alarm
- Without blocked lock mode
- Private locking
- Power child safety lock
- Double locking
- Central lock switch with diode in front and rear doors
- Alarm Logic Base
- Temporary Mobility Kit
- Warning Triangle
- Lane Keeping Aid
- Inflatable Curtain
- Belt minder all seats
- Passenger airbag cut-off switch
- Safety belts with pre-tensioners and load limiters
- Road Sign Information
- Indirect TPMS, Basic Algorithm
- Isofix – outer position rear seat
Kesimpulan
Kesempatan memandu uji SUV ini dilaluan bandar, lebuh raya dan kawasan berbukit cukup mengujakan kerana sistem penyerap hentak hidraulik mampu memberikan tahap pengendalian yang baik dan keselesaan maksimum.
Jika terlanggar lubang pun tidak dirasakan sangat malah tahap bunyi bising kabin yang rendah menjadikan perjalanan jauh cukup selesa. Untuk lebih seronok bumbung suria panaromik boleh dibuka untuk memberikan pencahayaan malam.
Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus varian CKD ini yang dipasang di Shah Alam, dijual pada harga bermula dari RM326,120. Harga ini disebabkan oleh pelepasan cukai jualan kenderaan yang diumumkan kerajaan berikutan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada industri automotif tempatan.
Bagi anda yang mahukan sebuah SUV yang bersaiz sederhana tetapi memiliki ciri kemewahan dan keselamatan termaju, Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus adalah pilihan yang ‘secocoknya’.
Segala ciri yang dipadankan ini bukan sahaja menepati ciri-ciri pengguna masa kini malah tahap penggunaan bahan api juga harus diberikan perhatian khususnya jika mod pemanduan hibrid diaktifkan sepanjang masa.
Satu lagi ciri yang penulis gemari ialah kamera mengundur 360 darjah yang bertindak balas dengan sensor di sekeliling. Sensor ini akan bertindak membrek kereta ini secara automatik sekiranya mengesan kehadiran objek atau kenderaan dibelakang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ketika pemandu sedang mengundurkan kenderaan ini.