Perlumbaan maya anjuran Toyota akan bermula lagi September ini dengan beberapa siri pusingan kelayakan, separuh akhir serta perlumbaan kemuncak dengan format empat-saingan.

Empat pusingan kelayakan dalam talian yang terhad kepada 180 peserta setiap pusingan, akan berlangsung sepanjang dua hujung minggu berturut-turut, iaitu pada 3-4 September dan 12-13 September, dijangka melibatkan seramai 720 pelumba.

Pusingan kelayakan akan menggunakan litar Fuji Speedway di Jepun dengan jentera
lumba GR Supra RZ.

20 pemandu terpantas kemudiannya akan layak ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan pada 26 September di ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam.

Pusingan separuh akhir itu bakal menyaksikan dua perlumbaan berasingan bakal berlangsung dengan meminjam lokasi maya di Jepun. Pertama, perlumbaan dengan 22 pusingan di Kyoto Driving Park menggunakan jentera lumba prototaip TS050 Hybrid, dan kedua menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 di litar Suzuka sepanjang 5.8 km dengan saingan 18 pusingan.

10 pemandu terpantas kemudiannya akan menempah tempat ke pusingan akhir pada 27 September di lokasi sama, di mana saingan untuk muncul juara dan memenangi hadiah utama bernilai RM20,000 akan ditentukan daripada empat perlumbaan sengit melalui himpunan mata di setiap pusingan.

Perlumbaan pertama akan menyaksikan pelumba memandu GR Supra RZ di liter Autodrome Lago Maggiore di Itali (15 pusingan); perlumbaan kedua di Autopolis Racing Course Jepun dengan jentera FT-1 Vision Gran Turismo (18 pusingan); perlumbaan ketiga dengan jentera TS050 Hybrid di Circuit de la Sarthe di Perancis (10 pusingan); sementara perlumbaan keempat dan terakhir di litar Spa-Francorchamps Belgium menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 dikuasakan oleh Toyota (18 pusingan).

Disifatkan sebagai satu daripada siri perlumbaan dalam talian tempatan yang menawarkan habuan lumayan, Kejuaran Toyota GR Velocity Esports menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, RM10,000, RM7,000, RM5,500 dan RM4,500 bagi lima pelumba terbaik.

Tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali diadakan, Piala Asia GR Supra GT 2020 yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) pada Oktober 2020.

Acara berkenaan bakal menyaksikan pelumba dari Malaysia bersaing dengan pelumba terbaik dari Thailand, Singapura, Filipina dan India.

Sementara itu, hadiah tunai bernilai RM4,000, RM3,500, RM3,000, RM2,500 dan RM2,000
turut menanti pemenang di tempat ke-6, 7, 8, 9 dan 10 untuk Kejuaran Toyota GR Velocity Esport. Hadiah RM500 juga akan diberikan kepada peserta yang menduduki tangga ke-11 hingga 20.

Dengan RM70,000 tersedia untuk dimenangi, semua pelumba akan berpeluang untuk menerima wang tunai tambahan bernilai dari RM450, RM200 dan RM100 yang akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap empat pusingan akhir nanti.

Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports Musim Ketiga ini turut akan menampilkan perlumbaan pertunjukkan 10 pusingan melibatkan pelumba dan selebriti yang bersaing di dalam Toyota Vios Challenge dan Toyota Gazoo Racing Festival.

Pelumba TGR akan berentap di dalam perlumbaan 10 pusingan menggunakan Toyota GR Supra Racing Concept di litar Fuji International Speedway sepanjang 4.5 km, sementara barisan selebriti pula akan menggunakan jentera TS050 Hybrid di dalam perlumbaan 17 pusingan di Tokyo Expressway.

“Perlumbaan perlu diteruskan, walaupun dalam keadaan norma baru pasca-pandemik, walaupun perlumbaan sebenar yang melibatkan Toyota dijangka tidak akan kembali sehinggalah suku pertama tahun 2021.

Tempoh lima bulan sebelum ini memberi ruang kepada UMWT untuk merencana aktiviti perlumbaan maya kami dan membawakan semangat lumba Gazoo serta sukan perlumbaan kepada orang ramai,” kata Ketua Pegawai Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing, Akio Takeyama.