Sebanyak 13,216 unit jualan pada bulan Julai adalah yang tertinggi sejak Jun 2012
Jualan kereta di Malaysia terus meningkat pada bulan Julai di mana gabungan antara insentif jualan tanpa cukai dan permintaan pengguna telah mendorong kenaikan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi dalam tempoh 13 bulan.
Proton turut memperoleh keuntungan dari peningkatan penjualan tersebut selepas jenama automotif Malaysia sekali lagi menguasai pasaran yang menyumbang sekitar 63.2% jumlah jualan pada bulan ini.
Dengan jualan sebanyak 13,216 unit, kutipan pada bulan Julai merupakan yang terbaik bagi tahun 2020 setakat ini dan merupakan jumlah jualan bulanan tertinggi sejak Jun 2012.
Empat model telah mencatat jualan tertinggi dalam segmen masing-masing pada bulan Julai menunjukkan jualan keseluruhan meningkat 37.3% (13,216 vs 9,623) berbanding Jun 2020 dan 45.7% (13,216 vs 9,072) berbanding bulan yang sama pada tahun 2019.
Pegangan pasaran Proton sejak awal tahun (YTD) sehingga Julai 2020 diramalkan sebanyak 21.8%, pertumbuhan 6.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Melalui peningkatan ini, jurang jumlah jualan berbanding 2019 menurun menjadi hanya 4.2% (50,294 vs 52,499), dan penurunan ini adalah lebih rendah berbanding jurang jangkaan TIV keseluruhan pada tempoh yang sama, iaitu pada 33% (230,929 vs 347,177).
Empat model syarikat berjaya mendahului jenama lain di dalam segmen masing-masing dengan Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A.
Sebanyak 5,421 unit berjaya dijual pada bulan Julai, termasuk 1,100 unit Edisi Ulang Tahun Saga yang habis ditempah dalam hanya lima hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai yang lalu.
Jumlah ini juga merupakan tertinggi yang dicatatkan oleh model itu sejak April 2014. Selain itu, Proton X70 turut menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Dengan jualan sebanyak 3,087 unit, SUV segmen C premium itu bukan sahaja mencapai jualan bulanan terbaik, malah terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan peningkatan pegangan pasaran sebanyak 25.6% iaitu 4.3% lebih tinggi berbanding 2019.
Dua lagi model terlaris Proton adalah Persona dan Exora. Syarikat berjaya menjual sebanyak 3,043 unit Persona pada bulan Julai, mengukuhkan kedudukannya yang teratas bagi sedan segmen B.
Sementara itu, sebanyak 792 unit dijual bagi Exora, juga merupakan jumlah jualan terbaik sejak Ogos 2016, kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.
“Jualan PROTON pada bulan Julai 2020 menunjukkan prestasi terbaik kami dalam tempoh lebih lapan tahun. Kami berbangga dengan pencapaian model-model syarikat di dalam setiap segmen.
“Kami juga mendapati terdapat kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan. Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat yang mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100% berbanding bulan sebelumnya.
“Oleh itu, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan oleh semua rakyat Malaysia dan buat masa ini, kami tetap berasa optimis pada tahun 2020 ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
“Untuk bulan Ogos, Proton akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini.
“Bahagian pengeluaran, kualiti, jualan dan selepas jualan Syarikat sedang bekerja keras untuk memastikan agar kami dapat memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang bersesuaian seperti yang telah kami tetapkan,” katanya.