Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan satu lagi penggunaan Kod Respon Pantas atau ‘Quick Response Code’ (QR Code) iaitu e-Qurban untuk semua umat Islam sempena sambutan Aidiladha melalui DuitNow QR.
Ia adalah inisiatif pertama menerusi Program Qurban4Syria 8.0 oleh Syria Care Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat merupakan bank Islam pertama yang melancarkan inisiatif pembayaran e-Qurban melalui kod QR untuk memudahkan umat Islam menunaikan tuntutan agama.
Inisiatif ini juga dilaksanakan selaras dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperluaskan penggunaan DuitNow QR ke seluruh negara.
“Inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam tidak kira latar belakang mahupun tahap ekonomi seseorang kerana mereka mempunyai peluang yang sama untuk melakukan ibadah korban.
Selain itu, kaedah ini juga dapat mewujudkan situasi di mana semua hasil korban akan diagihkan secara adil kepada golongan yang memerlukan”, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, program Qurban4Syria merupakan satu platform yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia melaksanakan ibadah korban di Syria melalui Syria Care.
Malah, pelaksanaan projek Qurban4Syria pada tahun ini adalah penganjuran buat kali ke lapan (8).
“Bagi penyertaan ibadah korban, Syria Care menyediakan dua kategori haiwan iaitu korban kambing dan lembu. Harga yang ditawarkan bagi seekor kambing ialah sebanyak RM1,100.00 dan seekor lembu RM5,950.00 manakala satu bahagian lembu, RM850.00.
Oleh yang demikian, Syria Care amat menghargai inisiatif oleh Bank Muamalat dan amat mengharap ia turut mendapat perhatian orang ramai serta menjadikan kod DuitNow QR Bank Muamalat sebagai platform untuk menyumbang dengan mudah”, katanya.
Siti berkata, sedekah sembelihan pula merupakan satu lagi inisiatif yang dijalankan oleh Syria Care untuk memberi peluang rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan di sana menikmati hidangan daging pada Hari Raya.
Berbeza dengan ibadah korban, sedekah sembelihan tiada had minimum atau maksimum; sebaliknya wang akan dikumpul dan apabila jumlahnya mencukupi, sembelihan akan dilakukan.
Oleh yang demikian, pada tahun ini, Syria Care menyasarkan sebanyak 400 ekor kambing dan 10 ekor lembu untuk projek ini.
Bagi tujuan pembayaran e-Qurban, peserta korban hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada kod DuitNow QR Bank Muamalat di laman sesawang Syria Care di https://www.syriacare.org.my atau layari https://www.muamalat.com.my.
Sehingga kini, Bank Muamalat bukan hanya sekadar menyediakan pembayaran melalui kod QR bagi ibadah korban di luar negara menerusi Syria Care, malah turut memperluaskan inisiatif ini melalui beberapa buah masjid di seluruh negara.
Pada masa ini, terdapat lebih daripada 20 buah masjid yang telah menyertai Program e-Qurban. Para pelanggan Bank Muamalat dan bukan pelanggan yang berdaftar dengan DuitNow QR boleh membuat transaksi bagi tujuan perlaksanaan ibadah korban dalam kawasan komuniti mereka dengan mudah dan cepat.
Bank Muamalat telah melancarkan inisiatif pembayaran melalui kod QR sejak tahun 2018 untuk program e-Derma, e-Wakaf, e-Zakat dan seterusnya telah mengembangkan perkhidmatan pembayaran melalui imbasan kod QR kepada hampir 4,000 peniaga dan pengusaha runcit yang terlibat, termasuk di masjid seluruh negara.