Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar,  semalam menerima kunjungan hormat daripada Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican di pejabat Ketua Pengarah, Aras 7, JKSM.

Pertemuan yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan kerjasama yang boleh dijalankan antara NGO yang diterajui oleh beliau dengan JKSM khususnya dalam isu memperkasakan institusi kekeluargaan di Malaysia.

Mustapha (kiri) mengadakan perbincangan dengan Dr Na’im Mokhtar di Putrajaya, semalam

Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan isu perkahwinan antara pelarian warga asing dengan warganegara Malaysia yang perlu diberi perhatian lebih mendalam kerana banyak masalah lain yang timbul hasil perkahwinan tersebut dilaporkan kepada NGO beliau.

Dr Mohd Na’im turut berpeluang memberi sedikit pencerahan berkaitan perundangan syariah termasuk prosedur pendaftaran pernikahan melibatkan perkahwinan warga asing termasuk pelarian Rohingya dengan warganegara Malaysia.

Mustapha berkata, Input-input yang diberikan oleh beliau akan digunakan oleh NGO tersebut bagi memudahkan gerak kerja mereka khususnya dalam memberi penerangan dan khidmat kaunseling kepada pihak yang memerlukan.

Untuk rekod, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican yang berasal dari Kuala Terengganu, memulakan program kebajikan dibawah nama NGO Antarabangsa di Kemboja sejak 1999.

Beliau memperolehi pelbagai anugerah dari Kemboja dan yang tertinggi apabila dianugerahi pingat tertinggi negara tersebut yang disampaikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada dua tahun lalu.

Antara kejayaan sepanjang tempoh beliau berbakti di negara berkenaan ialah membina 6 buah masjid, 10 buah surau, membina 3 buah sekolah agama, membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan mualaf dan membina 4,001 buah perigi.

Kejayaan terbesar Dato Dr Mustapha ialah terbabit dalam perundingan pembebasan 47 rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada tahun lalu. Ini sejarah hebat beliau dalam membuat perundingan dengan pihak kerajaan di sana.

Beliau juga terkenal di negara Asean sebagai seorang perunding diplomasi yang rendah diri dan berkarisma dengan pandangan yang bermakna bagi menyelesaikan krisis.

Mustapha dalam perbincangan dengan Na’im berkata, apa yang boleh kita kaji dan teliti mengenai perkahwinan rakyat Malaysia dengan warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI) ialah menekankan soal undang-undang.

“Sekiranya mereka PATI, tindakan di bawah keselamatan perlu diambil dibawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen manakala bagi pekerja yang sah perlu juga kajian mendalam khususnya kebajikan kepada rakyat tempatan yang perkahwinan mereka bukan dijalankan oleh sindiket atau pihak pihak tertentu.

Mustapha juga mengingatkan rakyat tempatan khususnya wanita tempatan perlu melihat kepada banyak faktor seperti budaya yang berbeza, tingkah laku dan kadangkala mazhab berbeza.

“Jangan hanya ingat cinta itu adalah segala-galanya, fikir masa depan diri dan anak-anak yang bakal lahir. Anda perlu fikir perkara ini dengan mendalam dan melihat segala faktor sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dengan warga asing,” katanya.