Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai LHDNM yang kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Antara modus operandi sindiket tersebut adalah seperti berikut:
i. Mangsa menerima panggilan daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai dengan membuat pindahan ke akaun bank bukan milik LHDNM;
ii. Mangsa menerima panggilan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa. Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan baki akaun ke akaun pihak ketiga;
iii. Segelintir mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan;
iv. Mangsa menerima panggilan daripada ‘pegawai’ LHDNM menggunakan nombor telefon mirip nombor telefon LHDNM dengan menggunakan teknik ‘spoofing’ dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak daripada syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.
Mangsa diarahkan untuk menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat bayaran kepada akaun pihak ketiga selain daripada akaun LHDNM.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, mesej, e-mel mahupun surat yang diterima daripada LHDNM yang meragukan dengan mengambil langkah-langkah berikut:
i. Semak dengan LHDNM melalui panggilan ke Hasil Care Line, Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan;
ii. Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan;
iii. Jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan;
iv. Pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDNM;
v. Jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali; dan
vi. Jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon LHDNM di portal rasmi LHDNM.
LHDNM ingin menegaskan bahawa setiap pegawai LHDNM adalah terikat dengan peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana setiap maklumat peribadi pembayar cukai tidak akan dihebahkan kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDNM melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara),
b) HASiL Live Chat;
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan
d) Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu:
· Facebook – https://www.facebook.com/LHDNM
· Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial



































