Berikutan pengumuman daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) baru-baru ini, Perodua menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memastikan kemampanan industri automotif Malaysia di sebalik situasi COVID-19 yang masih berlangsung.

“Perodua menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan untuk memperkukuh industri automotif Malaysia pada masa yang sukar ini, dan pelbagai inisiatif yang dikemukakan untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami rela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekalkan kemampanan industri dalam masa yang sukar ini,” katanya.

Menurut laporan, MARii menganggarkan penurunan jualan kenderaan baharu sebanyak 28% tahun ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan jumlah keseluruhan industri (TIV) minimum 500,000 unit diperlukan pada 2020 untuk menjamin kelangsungan perniagaan-perniagaan automotif.

Insentif-insentif yang disebutkan MARii untuk merangsang jualan kenderaan termasuk pengecualian sementara bayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pengeluar kenderaan dan kerajaan bagi cukai jalan dan insurans untuk jangka masa terhad.

“Sesungguhnya ini masa yang mencabar bagi semua. Namun Perodua yakin bahawa dengan kerjasama kerajaan, industri automotif bersama dengan ekosistem pembekal dan pengedar akan berjaya mengharungi masa sukar ini bersama,” katanya lagi.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD).

Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

“Perodua juga memainkan peranannya untuk menyokong ekosistem pembekal dan pengedarnya. Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, jangka masa kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi dan program pembangunan,” katanya.