Langkah keselamatan baharu digunakan dalam usaha membendung penularan COVID-19

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei 2020, Proton kembali membuka semula semua pusat jualan dan servis serta pejabat korporat secara berperingkat pada hari berikutnya.

Dengan lebih daripada 9,000 kakitangan termasuk yang bekerja di syarikat pengedar, syarikat telah mengambil beberapa langkah pencegahan yang diperlukan untuk membendung penyebaran virus COVID-19 dalam kalangan kakitangan.

Langkah-langkah yang diambil ini bertujuan untuk menjamin keselamatan pelanggan Proton dan ini penting kerana setelah hampir dua bulan tidak beroperasi, syarikat menjangka menerima sejumlah besar pelanggan yang ingin melakukan servis pada kereta mereka.

Oleh itu, Proton telah menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pusat-pusat servis yang akan digunapakai selagi jangkitan tidak dibendung sepenuhnya.

Antara langkah baharu yang dilaksanakan oleh Proton di setiap Pusat Servis termasuklah:

1. Pelanggan perlu melakukan temu janji dan hadir ke pusat servis 20 minit lebih awal setelah waktu temu janji mereka disahkan. Syarikat tidak menerima pelanggan yang tidak membuat sebarang temu janji.
2. Tanda jarak sosial telah diletakkan di setiap kaunter pendaftaran, meja penasihat servis, kaunter pembayaran serta tempat menunggu pelanggan.
3. Semua pelanggan akan diminta untuk menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis dan perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan.
4. Pembersih tangan akan disediakan di kaunter pendaftaran serta poster keselamatan juga telah ditampal di semua pusat servis.
5. Setiap kereta pelanggan akan disanitasi setelah diservis dan sebelum diserahkan kembali kepada pemiliknya.

Selain itu, Proton turut mengehadkan jumlah temu janji yang diterima setiap hari bagi mengelakkan jumlah pelanggan yang ramai dalam satu-satu masa.

“Bagi mengawal jumlah kakitangan dan pelanggan berada di dalam satu tempat pada waktu yang sama, kami telah mengatur strategi untuk mempercepat setiap proses, dari pendaftaran sehinggalah ke penyerahan kereta kepada pelanggan.

“Setiap penasihat servis dan juruteknik telah dimaklumkan dengan baik mengenai prosedur dan protokol yang harus mereka patuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak,” kata Tan Kang Leng, Pengurus Besar Selepas Jualan, Proton.

Pelanggan yang ingin membuat janji temu boleh menghubungi pusat servis Proton terdekat atau melalui talian khidmat pelanggan di 1-800-88-8398.