Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Radio IKIM), akan terus menyiarkan rancangan Khas Ramadan, dengan tema ‘Tarbiah Ramadan’ melalui pengisian rancangan-rancangan menarik, walaupun tahun ini umat Islam akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan suasana berbeza, dalam menghadapi ujian Wabak COVID-19.

Pengurus Besar Radio IKIM, Mahathir Shaharuddin berkata, perubahan ketara dalam Rancangan Khas Ramadan tahun ini adalah apabila tiadanya Siaran Langsung Solat Sunat Terawih seperti kebiasaannya.

Walaubagaimanapun, pendengar akan disajikan dengan Tadarus al-Quran yang disiarkan pada jam 9.00 hingga 10.30 malam. Justeru, pendengar akan dapat mendengar dan menghayati alunan ayat-ayat suci al-Quran saban malam, yang akan disampaikan oleh Qari yang terpilih.

Drama Khas yang seringkali dinantikan pada setiap Ramadan juga, akan kembali menemui pendengar secara mingguan melalui slot Drama Nurhikmah yang disiarkan pada setiap Jumaat, jam 2.30 petang.

Antara rancangan lain yang diterbitkan sepanjang Ramadan ini adalah Kapsul Fadhilat Ramadan (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) yang akan disiarkan pada jam 7.45 pagi dan 4.45 petang (Isnin – Jumaat) dan Tazkirah Ramadan pada jam 1.30 tengahari (Isnin – Jumaat).

Selain itu, untuk mengajak pendengar menghayati makna dan falsafah Ramadan dengan penuh rasa keinsafan dan  mentarbiah hati, Radio IKIM juga akan meneruskan penerbitan rancangan bual bicara harian bertemakan Ramadan seperti rancangan Motivasi Pagi ( Isnin – Jumaat, 7.30 pagi), Pesona D’Zahra (Isnin, 10.15 pagi), Sains dan Islam (Jumaat, 12.10 tengah hari), Ibrah (Isnin, 5.10 petang), Fas’aluna (Rabu, 5.10 petang ) dan lain-lain lagi.

Frekuensi Radio IKIM boleh diikuti melalui 91.5 FM (Lembah Klang), 102.7 FM (Ipoh), 89.6 FM (Kuantan), 102.7 FM (Negeri Sembilan), 102.7 FM (Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Langkawi), 89.8 FM (Johor Bahru), 89.5 FM (Melaka), 89.8 FM (Kota Bharu), 100.2 FM (Kuala Terengganu), 93.9 FM (Kota Kinabalu), 107.3 FM (Lahad Datu), 104.0 FM (Miri) dan 93.7 FM (Kuching) atau di dalam talian melalui www.ikim.my.