Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang telah diklasifikasikan sebagai menjalankan fungsi perkhidmatan penting (essential services) yang perlu diteruskan.

Sehubungan itu, premis LHDNM (kecuali Pusat Khidmat Hasil dan UTC) akan beroperasi semula mulai 23 April 2020 dengan menawarkan perkhidmatan yang terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 tamat bagi melaksanakan fungsi perkhidmatan penting tersebut.

Namun demikian, dengan mengambilkira usaha berterusan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19, perkhidmatan yang ditawarkan dalam tempoh PKP ini adalah terhad, di mana perkhidmatan secara dalam talian dengan pelanggan akan diberikan keutamaan.

Kaunter perkhidmatan e-Filing dan kaunter Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak dibuka. Sebarang pengisian e-Filing dan permohonan baharu serta rayuan BPN boleh dilakukan sendiri secara dalam talian melalui sistem yang disediakan.

Taklimat percukaian dan pembukaan kaunter perkhidmatan di luar pejabat LHDNM turut ditangguhkan sementara sehingga dimaklumkan kelak.

Pemeriksaan saringan suhu badan dan gejala COVID-19 akan diteruskan terhadap semua pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat yang hadir ke premis LHDNM.

Selain itu, proses saringan ini turut akan diperketatkan kepada pelawat dan pelanggan yang hadir untuk janji temu dengan pegawai, di mana mereka perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan (BPK) yang disediakan sebelum kebenaran untuk berurusan dengan pegawai LHDNM diberikan.

Pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat juga diwajibkan untuk sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mematuhi arahan penjarakan sosial sepanjang berada di premis LHDNM.

Sungguhpun begitu, sekiranya tiada keperluan yang benar-benar mendesak, pelanggan dan pelawat adalah dinasihatkan untuk menangguhkan kehadiran ke premis LHDNM buat masa ini dan boleh meneruskan sebarang urusan percukaian mereka melalui telefon, e-mel dan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan.

Sebagai memberikan kemudahan kepada orang ramai, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan percukaian dan perkhidmatan LHDNM juga boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:

a) Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara);

b) HASiL Live Chat;

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan

d) Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu:

·  Facebook – https://www.facebook.com/LHDNM
·  Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial