Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghulurkan sumbangan tambahan berjumlah RM150 juta bagi menyokong usaha terbaharu kerajaan membantu rakyat menerusi pemberian rebat elektrik berperingkat kepada mereka yang terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rebat elektrik berperingkat antara 15% hingga 50% untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.
Hampir 90% pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menerima rebat tersebut secara automatik bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan rebat tertinggi sebanyak 50% diterima kumpulan B40.
Rebat tersebut akan tertera pada bil elektrik mulai bulan Mei 2020.
Di bawah rebat berperingkat itu, tiga juta pengguna domestik (penggunaan bulanan bawah 200kWh) akan menerima rebat 50%; manakala 1.5 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 201 kWh dan 300kWh) menerima rebat 25%; dan 2.2 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 301kWh dan 600kWh) menerima rebat 15%.
Rebat elektrik ini akan disubsidi secara bersama oleh kerajaan, TNB serta dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Pelanjutan tempoh PKP dijangka melembapkan lagi aktiviti ekonomi dan seterusnya memberi impak mendalam kepada mereka yang sudah terkesan dengan keadaan semasa.
Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan rakyat, TNB menyokong penuh usaha kerajaan untuk meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan dan komited untuk menyalurkan dana dengan inisiatif memberi manfaat langsung kepada rakyat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Minggu lalu, TNB telah menyumbang RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan, terutamanya di institusi perubatan dan kesihatan negara yang menjadi barisan hadapan negara dalam menangani COVID-19.
“Sebagai penyedia perkhidmatan asas kepada negara, TNB amat menghargai pekerja barisan hadapan sektor perubatan dan kesihatan yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan kita kekal selamat daripada virus ini.
“Saya berbesar hati kerana sumbangan kami membolehkan bekalan perubatan disalurkan dengan segera ke beberapa hospital utama termasuk Hospital Sg. Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga Pengarah TNB juga telah meluluskan tambahan sumbangan sebanyak RM10 juta yang akan disalurkan ke beberapa hospital lain di seluruh negara.
“Tumpuan kami kini adalah membantu Kementerian Kesihatan untuk memerangi COVID-19 dan menolong rakyat daripada golongan yang mudah terkesan. Ia akan menjadi satu perjuangan yang panjang dan TNB akan terus bersama rakyat Malaysia untuk menghadapinya,” katanya.