Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Penasihat NGO-NGO Malaysia, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, rakyat perlu terus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha menangani wabak COVID-19.
Menurutnya, ketika ini ramai anggota pihak berkuasa atau mereka yang berada dibarisan hadapan seperti doktor, jururawat, anggota polis, tentera serta mereka yang terbabit dalam sektor ini berhadapan dengan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya tidak mengikut SOP yang ditetapkan.
“Walaubagaimanapun, kita semua jangan ambil mudah dengan perkara ini. Kita sepatutnya bersyukur kerana pihak berkuasa masih membenarkan kita pergi ke pasar dan pasaraya bagi membeli barang keperluan.
“Oleh itu sewajarnya waktu ini kita membeli barang keperluan untuk tempoh secukupnya supaya kita tidak kerap berada di luar rumah. Jadi jangan ambil mudah perkara ini.
“Kita harus mengambil iktibar dengan beberapa kes penularan wabak ini yang berlaku di luar negara yang mana wabak itu merebak begitu cepat disebabkan rakyat negara terbabit gagal mematuhi pematuhan yang dikeluarkan kerajaan.
“Cegah rangkaian COVID-19 dan putuskan rangkaiannya…..jadi mereka yang berada di kampung sewajarnya kekal berada di kampung. Begitu juga yang tinggal di bandar dan saya berasa sedih melihat masih ada rakyat yang ingkar serta tidak mematuhi larangan,” katanya.
Dr Mustapha turut menyeru agar semua rakyat Malaysia terus bersama-sama mendoakan Malaysia agar cepat terhindar daripada wabak COVID-19 secepat mungkin.
Beliau juga menyarankan lebih ramai tokoh-tokoh korporat tampil membantu kerajaan meringankan beban kewangan negara menerusi tabung yang diwujudkan ketika ini.
“Menteri-menteri kabinet juga turut berkorban tenaga setiap hari bermesyuarat mencari jalan bagi mengatasi COVID-19 malah mereka turut memotong gaji demi Negara.
“Saya selaku Pengerusi menyeru kepada semua pihak agar terus mematuhi arahan pihak kerajaan dan kepada mereka yang mampu inilah masa kita menghulurkan sumbangan kepada Tabung Negara. Jadilah rakyat yang prihatin dan ikut arahan demi kesejahteraan Ummah,” katanya.