Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan indahnya sewaktu melihat ribuan kawanan burung terbang pulang ke sarang tatkala senja menjengah sebelum hinggap pada pucuk ranting.

Panorama cukup mempersonakan ini bukan di luar negara, sebaliknya di Sungai Perak dekat Teluk Intan yang boleh dilihat dengan menaiki bot menyusuri sungai berkenaan.

Ribuan burung-burung pelbagai spesies termasuk burung hijrah sejak beberapa tahun lalu menjadikan sebidang tanah beting di sini sebagai ‘sarang’ tetapi  dilihat bak syurga bagi pencinta alam.

Ia dikenali penduduk tempatan sebagai Pulau Bangau kerana populasi burung bangau yang banyak di situ serta spesies burung lain seperti helang, enggang,  purple herald, grey herald, little egret dan cattle egret.

Satu lagi santuari burung di negeri Perak ialah di Kuala Gula dekat Kuala Kurau yang merupakan tempat persinggahan bagi burung-burung dari seluruh dunia. Cuma bezanya, di Kuala Gula kawasannya lebih luas dan ‘sukar’ untuk melihat kawanan burung-burung.

Berbanding di Pulau Bangau, lokasinya hanya di kelompok yang sama jadi jumlah kawanan burung yang berkumpul boleh dilihat di depan mata.

Setiap hari tatkala matahari terbenam kira-kira 50,000 ekor burung-burung ini terbang pulang ke sarang berkawanan setelah seharian keluar mencari makan.

Ada juga kawanan burung-burung ini terbang rendah merentang lebar sungai yang seolah-olah kelihatan seperti kapal terbang Jepun hendak melakukan aksi menyerang kapal musuh semasa Perang Dunia Kedua. Sungguh hebat dan mengasyikkan!

Maka tidak hairanlah keindahan melihat panorama memukau ini  mula menjadi percakapan lantas memikat sebagai salah satu destinasi pelancongan baharu di Teluk Intan.

Peluang untuk menyaksikan pemandangan tersebut kini disediakan syarikat pengendali bot bagi membawa pengunjung merasai sendiri pengalaman yang mengasyikan ini.

Antaranya oleh Shahril Pekan Enterprise yang terletak di jeti bot penambamg Teluk Intan.

Menurut pengusahanya, Mohd Shahril Mustafa, masa yang sesuai untuk melihat burung-burung ini ialah ketika petang selain dapat menyaksikan matahari terbenam.

Kebiasaannya burung-burung ini akan keluar pada jam 5.30 pagi untuk mencari makan sehingga ke kawasan bendang di seberang Perak sebelum pulang ke sarang pada jam 6.30 petang.

Lokasi Pulau Bangau seluas 14.3 hektar ini menjadi pilihan burung-burung ini kerana kedudukannya yang strategik iaitu di tengah-tengah sungai disebabkan sukar diceroboh manusia,” ujarnya.

Mohd Shahril berkata, river cruise Sungai Teluk Intan ini mengambil masa antara 45 minit hingga 90 minit dengan kadar tambang serendah RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 dewasa mengikut pakej yang disediakan.

Lebih elok jika pengunjung membawa bersama teropong kerana dapat melihat secara lebih dekat ungas-ungas ini yang bersarang pada dahan pokok atau mengepak-ngepakkan sayapnya.

Bagi pencinta foto, rakaman momen-momen indah ini pasti lebih hebat menerusi jika menggunakan kamera lensa tunggal (DSLR), lebih bagus jika bawa bersama lensa zum jauh. Pasti berasa lebih puas hati berbanding merakam gambar menggunakan kamera telefon bimbit.

Selain river cruise ke Pulau Burung, Mohd Shahril juga membawa pengunjung melihat 18 lokasi menarik yang terdapat sepanjang menyusuri sungai di sini antaranya serombong kapal stim tenggelam, kilang kapal kayu nelayan laut, ternakan sangkar ikan, tokong besar Buddha dan feri Pulau Rawa.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Megat Amerudin Megat Danian berkata, keindahan panorama unggas di Pulau Bangau wajar dilawati selain berkunjung ke lokasi-lokasi lain di daerah itu.

Katanya, kunjungan ini melengkapkan kedatangan pengunjung selain ke Menara Jam Condong Teluk Intan yang terletak tidak jauh dari situ.

“Kerajaan negeri ketika ini dalam proses untuk mewartakan Pulau Bangau sebagai salah satu destinasi pelancongan di Teluk Intan berikutan semakin mendapat perhatian pelancong.

“Ini juga dapat mengelak pulau tersebut  diganggu pihak tidak bertanggungjawab  dan perlu dipelihara,” katanya.

Info Shahril Pekan Enterprise
HP: 012-5966375/ 013-5966301
FB: River Cruise Teluk Intan Perak

Laporan rencana dan gambar adalah sumbangan Zaki Salleh bekas wartawan Kosmo