Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) hari ini menganjurkan Program Pembangunan Rakan Usahasama (PDP 2020) bertemakan “Integriti Bermula dari Anda” dan dihadiri oleh 44 rakan usahasama Yayasan Peneraju dari seluruh negara.
Matlamat PDP 2020 adalah untuk berkongsi perkembangan terkini dan pandangan
berkaitan tadbir urus dan integriti.
“Program ini memberi peluang kepada rakan usahasama dan pembekal kami dari pelbagai
industri untuk mendapat maklumat dan pandangan bertujuan mengukuhkan kerjasama dan menambah nilai ke arah pertumbuhan organisasi yang mapan,” kata Mohd Ariff Ithnin,
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju.
Di Yayasan Peneraju, kita terlibat dalam ‘perniagaan’ pelaburan yang memberi tumpuan
kepada pembangunan bakat di Malaysia khususnya bakat tempatan dan dengan cara itu
kita dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Kami melabur supaya Malaysia
mempunyai bakat berkualiti yang mencukupi untuk membina negara yang kita cintai ini,” katanya.
“Integriti Bermula dari Anda” dipilih sebagai tema tahun ini kerana tadbir urus dan etika
penting dalam amalan kerja dan di tempat kerja.
Antara acara yang menjadi tumpuan pada program tahun ini adalah sesi percambahan
pemikiran dan pandangan oleh wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Md Yusrin Md Yusuf serta sesi perkongsian oleh pesalah yang pernah disabitkan dengan tuduhan rasuah, Firdaus Ramlan dengan perkongsiannya bertajuk “Tumbuk Rusuk, Duit Panadol dan Pengkisahan Dari Tirai Besi”.
Sesi perkongsian ini diharapkan dapat membuka mata para peserta mengenai akibat dan kesan amalan rasuah.
Sementara itu, Md Yusrin pula membincangkan tentang pemahaman mengenai peruntukan liabiliti korporat di bawah seksyen 17A Akta SPRM.
Peruntukan liabiliti korporat baru ini akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 di mana organisasi komersil dan pengarahnya boleh didapati bertanggungjawab atas perbuatan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana orang yang mempunyai kaitan dengan organisasi termasuk pekerjanya.
Yayasan Peneraju meraikan ulang tahun ke-lapan baru-baru ini. Dalam tempoh kurang
daripada lapan tahun, ia telah memberi manfaat kepada lebih 29,900 penerima faedah melalui 264 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima daripada kerajaan dan pelbagai organisasi.