Generasi kedua MINI Countryman hadir dalam warna hitam yang menawan menerusi edisi keluaran yang terhad!

MINI, jenama automotif premium di Malaysia telah memperkenalkan MINI Countryman Blackheath Edition – keluaran edisi terhad yang hadir dalam warna hitam menawan, ia memetik ilham daripada rimba gelap Blackheath yang terletak di Tenggara London, United Kingdom.

“Pada tahun lalu, lebih 50% daripada jumlah keseluruhan kenderaan jenama MINI yang
diserahkan kepada pemilik baharu di Malaysia terdiri daripada jentera MINI Countryman,
yang dapat diterjemahkan kepada 600 lebih unit kenderaan.

Kecemerlangan ini membuktikan kejayaan jenama MINI di Malaysia dan kami berasa teruja untuk memperkenalkan edisi jentera yang terbaharu dalam famili MINI Countryman, ia merupakan perungkaian sulung yang dibuat di rantau Asia Tenggara – MINI Countryman Blackheath Edition terbaharu!” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

MINI Countryman Blackheath Edition, iaitu edisi khas yang pertama bagi generasinya, hadir dengan rekaan bertemakan warna hitam – sensasi gaya yang menyerlahkan keelegenan abadi.

Model itu merupakan MINI Countryman yang pertama dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo, digandingkan dengan Transmisi Dwi-Klac Sport 7 Kelajuan. MINI edisi terhad ini juga lengkap dengan MINI Connected App yang terkini untuk membekalkan pengalaman kepenggunaan yang lancar dan unik.

MINI Countryman Blackheath Edition turut membariskan lampu kabus LED yang baharu serta Pelitup Cermin Aerodinamik yang buat julung kalinya dapat dilihat pada MINI John Cooper Works Countryman 306HP yang telah diperkenalkan tahun lalu.

Selain itu, MINI Countryman Blackheath Edition hadir dengan set roda John Cooper Works Circuit Spoke 19 inci dengan tayar “run-flat” untuk melengkapi keelegenan warna eksterior jentera ini, berserta kit John Cooper Works Aerodynamic.

MINI Countryman Blackheath Edition hadir dalam varian Cooper S dan diberi nafas oleh enjin MINI TwinPower Turbo yang mampu menjana 192 kk (kuasa kuda) dan nilai tork berjumlah 280 Nm.

Enjin jentera ini digandingkan dengan Transmisi Automatik “Sports” Dwi-Klac Tujuh Kelajuan yang membekalkan keupayaan penukaran gear yang pantas, menyelesakan dan berbekalkan tahap efisiensi yang teroptimum.

Di samping itu, sistem kawalan elektroniknya menawarkan pelbagai ciri-ciri kefungsian yang progresif untuk meningkatkan tahap efisiensi jentera ini, termasuk penggunaan fungsi mula/henti enjin untuk mengelakkan penggunaan bahan api yang tidak perlu ketika berhenti di persimpangan.

Fungsi luncur juga ditawarkan dalam kedua-dua mod “MID” dan “GREEN”, di mana rangkaian pemacu (drivetrain) dibebaskan sebaik sahaja pemandu berhenti menekan pedal pemecut.

Harga jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah: RM 253,888.00
Maklumat lanjut mengenai MINI Countryman Blackheath Edition boleh didapati di www.mini.my.