Usahasama ini berhasrat untuk menghapuskan jurang antara para usahawan bandar dan desa menerusi perdagangan.

Commerce.Asia mengumumkan pelaburan strategiknya dalam BizApp, platform e-dagang sosial luar bandar terbesar Malaysia yang disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

BizApp mula mengorak langkah dalam arena keusahawanan pada 2017 apabila dua orang pengasasnya, Hasnol Mizam Hashim dan Mohd Taib Pardi menyedari keperluan untuk mencipta penyelesaian teknologi yang sistematik bagi memenuhi permintaan perniagaan berasaskan agen di Malaysia.

Dengan majoriti Bumiputera terutamanya dalam kalangan penduduk desa menjual menerusi model perniagaan agen, BizApp kini mempunyai lebih daripada 200,000 agen dengan jumlah dagangan kasar (GMV) melangkaui RM600 juta pada tahun 2019.

Dengan sokongan ekosistem Commerce.Asia, platform e-dagang sosial ini dijangka akan merapatkan jurang antara para usahawan bandar dan desa di Malaysia.

Mohd Redzuan berkata, “Acara hari ini adalah satu acara yang amat saya hargai dan berminat kerana di dalam era digitalisasi masa kini, penggunaan teknologi dan penggunaan ekonomi digital (digital economy adoption) yang disertai dengan perkembangan e-dagang sosial (social commerce) akan mewujudkan sistem pengurusan perniagaan yang lebih terkini dan efektif.

“Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti produk serta mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga kerja buruh”

Pelbagai jenama dan perniagaan tempatan telah menggunakan BizApp untuk menguruskan operasi harian perniagaan mereka termasuklah dalam penunaian pesanan (order fulfillment).

Ia membolehkan usahawan sub-bandar dan desa terlibat dalam e-dagang. Pada masa sama, media sosial kini dengan pantas menjadi tarikan utama untuk membeli-belah. Ia melonjakkan populariti sistem agen sebagai satu model perniagaan di Malaysia sekaligus menyumbang kepada bercambahnya kewujudan stokis-stokis, agen permulaan, dan agen-agen pesan hantar (dropship).

E-dagang sosial, atau beli-belah sosial, menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform untuk urusniaga dagangan. Model baharu pembekal-syarikat-pelanggan (S2B2C) membuka akses yang meluas kepada mereka yang mahir dengan media sosial, meningkatkan kecekapan iklan untuk perniagaan dan melancarkan proses jual beli buat pelanggan. 

Dengan BizApp, ekosistem Commerce.Asia akan mempunyai pangkalan data lebih daripada 8 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi 7 negara dengan 61,000 penjual aktif yang telah berurus niaga dengan jumlah dagangan kasar (GMV) sebanyak RM1.5 bilion pada 2019.

Menurut laporan Google Temasek e-Conomy SEA 2019, industri e-dagang Malaysia dijangka berkembang daripada US$3.3 bilion pada 2019 kepada US$11 bilion pada 2025. Laporan sama juga mengunjurkan industri e-dagang rantau Asia Tenggara akan tumbuh daripada US$38 bilion pada 2019 kepada US$153 bilion pada 2025.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Commerce.Asia Ventures Sdn Bhd, Ganesh Kumar Bangah, berkata, “Kami yakin menerusi pelaburan strategik ini, Commerce.Asia dan BizApp boleh membantu antara satu sama lain menerusi platform masing-masing bagi menggalakkan komuniti desa untuk terlibat dalam e-dagang sosial.

Kami juga percaya usahasama ini akan mengangkat Dasar Keusahawanan Nasional dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk menggalakkan pembangunan ekonomi negara dan menghapuskan jurang pendapatan dalam masyarakat.

Dengan pengalaman kami, kami akan meluaskan model perniagaan BizApp merentasi Asia Tenggara yang akan memanfaatkan industri e-dagang Asia Tenggara yang sedang berkembang pesat.”

Sementara itu, Pengasas BizApp Ventures Sdn Bhd, Hasnol Mizam Hashim, berkata, “Sebahagian besar pengguna kami sekarang adalah daripada kawasan pinggir bandar dan desa yang berjaya membangunkan perniagaan mereka secara dalam talian.

Sejumlah besar rakyat Malaysia berjual beli secara dalam talian menerusi saluran media sosial dan kadar pertumbuhannya adalah pesat.

Alat perniagaan berasaskan teknologi yang kini menjadi tulang belakang sistem kami akan ditambah baik dengan ekosistem meluas Commerce.Asia bagi membolehkan pengguna-pengguna berkembang di peringkat serantau.”

Commerce.Asia dan BizApp secara bersama berhasrat untuk memacu industri e-dagang sosial di Malaysia. Industri ini yang dijangka menjadi sebahagian daripada anjakan digital pada 2020 akan mengupayakan usahawan-usahawan daripada komuniti pinggir bandar dan desa untuk menyumbang kepada WKB 2030 dan ekonomi digital bersama usahawan-usahawan di kawasan bandar.

Penggunaan media sosial yang sentiasa berkembang luas akan memainkan peranan yang lebih besar dalam e-dagang pada tahun ini dan merubah cara tradisional berniaga dan mengembangkan perniagaan.

Dengan jangkaan lebih tinggi daripada pelanggan mereka, perniagaan dalam talian ini akan terpanggil untuk menginovasi penyelesaian perniagaan mereka.

Sempena pelaburan strategik dengan Commerce.Asia, BizApp kini menawarkan potongan sebanyak RM100 bagi Ultimate Package yang sekarang berharga RM499 setahun. Promosi ini sah sehingga 29 Februari 2020. Maklumat lanjut tentang BizApp dan platformnya boleh didapati menerusi bizapp.com.my.