Hype Motorsports Hotel, Port Dickson, Negeri Sembilan – hotel butik resort pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran hari ini dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Hotel ini yang mula beroperasi pada 15 Disember lalu dan dirasmikan pada tarikh istimewa 20.02.2020 dan sempena menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 terletak dilokasi cukup strategik berhampiran pantai popular, Pantai Teluk Kemang serta bersebelahan Dataran Teluk Kemang.

Hype Motorsports Hotel (Hype PD) ini adalah butik resort pantai pertama di Malaysia berkonsepkan permotoran dan seumpamanya di dunia diuruskan oleh Hotel Pro Sdn Bhddan dimiliki sepenuhnya oleh Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad.

Hotel ini menawarkan 64 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran sepenuhnya menerusi susun atur kerusi, katil, paparan grafik serta dekorasi menarik yang cukup teliti.

Konsep permotoran turut jelas dapat dilihat menerusi bilik bertemakan legenda permotoran dunia seperti pelumba pasukan Ferrari Formula Satu (F1) terkenal, Michael Schumacher selain pelumba motosikal terkemuka, Marc Marquez, Valentino Rossi, pelumba motocross Tony Cairoli, pemandu rali, Sebastian Loeb dan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

Jenis bilik disediakan iaitu bilik Standard Twin atau Standard Queen, Superior Twin atau Superior King, Deluxe Twin atau Deluxe King dan Premier Triple (pilihan 2 bilik bersambungan) yang ditawarkan pada harga dari RM180 ke atas termasuk sarapan pagi.

Apa yang menarik ialah di setiap 20 bilik kategori Deluxe, Premier dan Premier Triple dilengkapi kerusi urut yang mana anda boleh menggunakan kerusi urut itu tanpa had selain kemudahan WiFi disediakan secara percuma.

Kemudahan lain seperti seterika, saluran sukan Astro Sports dan 10 saluran tempatan, peti simpanan keselamatan, peti sejuk mini, kerusi ala perlumbaan atau bucket seat, kad kunci sentuh serta 2 buah bilik bagi tetamu Orang Kurang Upaya (OKU) membuatkan resort ini sebagai resort pertama di Malaysia yang memberi keselesaan seperti ini kepada pelanggan.

Antara kelebihan yang lain adalah tetamu akan menerima servis “mencuci kereta atau motosikal” secara Percuma termasuk terma dan syarat yang akan bermula pada 15 Mac 2020 nanti.

Untuk menginap ke hotel ini, ia dihubungkan hanya sejauh 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira satu jam 30 minit perjalanan dari ibu kota Kuala Lumpur.

Kemudahan menarik

Selain dua kolam renang disediakan iaitu kolam dewasa dan kanak-kanak yang lengkap dengan gelungsur, permainan simulator kereta lumba, mini sirkit bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, meja snuker dan foosball turut disediakan.

Bagi mana-mana syarikat korporat, persatuan, kelab atau individu yang ingin menganjurkan sebarang bengkel atau mesyuarat, kemudahan bilik mesyuarat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan disediakan ditingkat atas.

Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Pro Sdn Bhd, Johari Mohd Yusof berkata, pembinaan hotel ini diilhamkan sendiri setelah lebih 34 tahun terbabit dalam bidang perhotelan dan pelancongan.

“Sebagai bekas pelumba motosikal negara di era tahun 80 dan 90-an, hotel berkonsepkan permotoran ini dihasilkan oleh minat yang mendalam terhadap arena permotoran, perhotelan dan pelancongan.

“Pembukaan hotel ini membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi manfaat kepada pengusaha barangan tempatan di kawasan Pantai Teluk Kemang untuk bekerjasama membangunkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan dan berkemungkinan sebagai “Bandar Motorsports” di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengunjung juga boleh menikmati kopi Richiamo sambil menyaksikan suasana matahari terbenam dengan melepak bersama rakan di Richiamo Coffee By The Sea di Sunset Cafe yang terletak berhampiran kolam renang.

Sempena pelancaran hotel ini, Hype turut memperkenalkan jenama minuman bertenaga dibawah jenama HYPE iaitu HYPE Energy Drinks.

Johari berkata, pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk melakukan pengubahsuaian kesemua bilik termasuk membina kolam kanak-kanak yang menjadi tarikan utama.

Katanya, Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad mengambil alih hotel ini yang asalnya ialah resort milik Telekom Malaysia (TM) dan melabur lebih RM10 juta untuk melengkapkan Hype Motorsports Hotel PD dengan pengurusan diletakkan dibawah Hotel Pro Sdn Bhd.

“Belum ada lagi mana-mana hotel resort di Malaysia malah di dunia yang menampilkan konsep dunia permotoran dan ini peluang terbaik kepada kami untuk memperkenalkan konsep ini julung-julung kalinya kepada rakyat Malaysia dan Asia.

“Orang ramai tidak kira peminat kereta atau motosikal boleh menjadikan hotel ini sebagai lokasi pilihan sama ada untuk mengadakan hari keluarga, mesyuarat, seminar atau majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan sambutan majlis perayaan seperti Tahun Baru Cina atau Hari Raya.

“Bagi geng-geng kelab bikers atau kelab kereta boleh menjadikan hotel ini sebagai lokasi pertemuan kerana kawasan hotel ini cukup luas untuk menganjurkan pelbagai acara yang dirancang malah Pantai Teluk Kemang hanya terletak di belakang hotel ini,” katanya.

Selain itu, pihak resort juga ada menyediakan beberapa pakej seperti Pakej Mesyuarat dan Seminar, dan pakej di bahagian Food & Beverage yang sedia ada seperti BBQ dan Steamboat Buffet, Set Lunch dan Dinner, Pakej Berbuka Puasa dan lain-lain pakej yang menarik seperti “HYPE Durian Fest” di mana resort ini menyediakan buah durian di dalam pakej penginapan.

Pakej Durian ini akan bermula pada 1 Jun 2020 hingga 15 Ogos 2020. Sempena majlis pelancaran hotel ini, Hype Hotel PD menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal berkuasa tinggi BMW G310 GS dan hadiah lain bermula dari 20.02.2020 hingga 30.12.2020.