Proton Iriz, Saga dan Persona versi terkini dipamerkan oleh PAD Motors di Brunei

Selepas pelancaran Proton X70 pada Julai tahun lalu, Pad Motors Sdn Bhd, pengedar Proton di Brunei mencatat satu lagi kejayaan melalui pelancaran Proton Iriz, Saga dan
Persona versi terkini pada 10 Januari lalu.

Majlis tersebut dihadiri oleh para pelanggan, penggiat sosial dan pihak-pihak berkaitan akan diikuti dengan program jelajah mulai 28 Januari.

Selepas peningkatan jualan yang cemerlang pada 2019 iaitu sebanyak 55.7% dan berjaya menamatkan 2019 di kedudukan kedua dalam jadual jualan, Proton akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi jualannya pada tahun ini termasuk jualan eksport.

Dengan matlamat jangka panjang syarikat untuk menjadi jenama paling laris di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027, penting bagi Proton untuk mengutamakan jualan eksport dalam perancangan jangka panjangnya itu.

“Pasaran eksport akan memainkan peranan penting dalam kenaikan jualan tahunan dan ketika ini syarikat menaik taraf model Iriz, Persona, Exora dan Saga tahun lepas, kami melakukannya dengan turut mengambil kira keperluan pasaran di luar negara.

“Ia adalah permulaan yang baik untuk 2020 tetapi dari semasa ke semasa, kami akan terus mencari peluang untuk mengeksport kereta kami ke lebih banyak negara,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Selain daripada model yang dikemas kini itu, syarikat akan berusaha untuk mengembangkan jualan Proton X70.

“Dengan memasarkan Proton X70 di pasaran luar adalah penting bagi pertumbuhan jualan pada masa akan datang, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan.

Ia akan menerajui pengenalan model Proton generasi akan datang yang kini sedang dibangunkan bersama Geely sekali gus akan mendekatkan jenama dengan pelanggan di pasaran-pasaran tersebut,” katanya.