Model kenderaan segmen-D selalu dikaitkan dengan barisan kereta untuk golongan eksekutif yang biasanya dikuasai kereta keluaran Jepun yang menawarkan keselesaan daripada segi ruang dan prestasi enjin.

Kehadiran model Volkswagen Passat B8 iaitu generasi kelapan yang dipasang di Pekan, Pahang boleh dikatakan pilihan kepada pengemar kereta dalam segmen ini yang mahu beralih angin kepada kenderaan buatan Jerman yang dianggap lebih berprestij setanding dengan jenamanya.

Passat yang diedarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM), jika dilihat pada pandangan mata kasar, reka bentuknya tidak jauh berbeza dengan model Passat B7 yang sudah dijual di Malaysia sejak 2011.

Jika diimbas sejarah kehadiran model Passat ini, ia pernah menawarkan varian Passat CC dan kemudiannya berakhir kepada dua varian iaitu Passat dan CC.

Pembahagian segmen ini menterjemahkan arah tuju sebenar model ini di pasaran tempatan dan kehadiran generasi terbaharu Passat B8 ini membuktikan bahawa syarikat automotif dari Jerman ini begitu serius untuk menembusi pasaran segmen D.

Penulis yang berpeluang memandu uji model ini membabitkan perjalanan lebih 1,000 kilometer dengan laluan berbukit di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini dapat merasai sendiri kehebatan jentera empat roda ini.

Ketika dipandu meredah laluan selekoh tajam dan mendaki, sistem kawalan stereng dan enjinnya bertindak cukup responsif walaupun dalam keadaan kecemasan termasuk melakukan brek mengejut ataupun mahu mengelak sesuatu ketika jentera dipandu laju.

Ketika kereta ini dikerah mendaki laluan berbukit ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai, penulis memilih mod pemanduan Sport dan hasilnya, laluan selekoh tajam mudah ‘diratah’ manakala penukaran gearnya cukup pantas mengikut tahap kelajuan.

Segalanya dibantu oleh beberapa sistem elektronik terkini termasuk XDS electronic differential lock yang bertindak membrek roda sebelah dalam apabila mengambil selekoh dan melawan understeer seperti model GTI.

Selain itu, model ini turut dipadankan dengan sistem Kawalan Kerangka Dinamik (DCC) yang memberikan penyerapan aktif selain mempunyai pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Custom).

Ciri pilihan mod pemanduan ini mengingatkan penulis kepada model Golf R namun bagi Passat, ciri ini hanya terdapat pada varian 2.0 TSI Highline manakala varian 1.8 TSI Trendline dan Comfortline dipadankan dengan dua mod pemanduan iaitu Sport dan Normal.

Berbalik kepada perbezaan antara Passat terdahulu dan Passat B8 ini ialah model baharu ini dibangun menggunakan platform MQB dan memiliki berat yang berkurangan sehingga 90 kilogram hasil daripada penggunaan bahan serba ringan seperti aluminium yang diperkuat pada badan dan enjinnya.

Berdasarkan kepada aspek luarannya, model Passat B7 memiliki kerangka bersaiz 4,769mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,470mm (tinggi) serta jarak roda 2,712mm.

Bagaimanapun, model B8 ini berukuran 4,767mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456mm tinggi. Ini bersamaan dengan 2mm lebih pendek, 12mm lebih lebar dan 14mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7.

Walaupun badan lebih pendek, jarak roda Passat B8 dipanjangkan sebanyak 79mm, menjadi 2,791mm dan ini menghasilkan bahagian dalaman yang lebih luas sekali gus bahagian simpanan barangnya meningkat sebanyak 21 liter kepada 586 liter.

Maka tidak hairanlah dengan penampilan lebih maskulin dan bergaya khususnya reka bentuk hadapan serta belakangnya, model terbaharu ini telah memenangi Anugerah Kereta Terbaik Eropah 2015.

Model Passat dengan warna Reflex Silver ini adalah varian paling tinggi iaitu 2.0 TSI Highline, yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter TSI berkuasa 220PS dan 350Nm tork. Transmisi pula menggunakan unit automatik klac berkembar DSG enam kelajuan.

Varian 2.0 TSI Highline pula memiliki pakej paling lengkap dan hadir dengan brek tangan elektrik dengan Auto-Hold, sistem pengesan kecergasan Driver Alert System dan lampu/pengelap cermin automatik. Penyaman udara pula adalah sistem Climatronic tiga zon bersama corong tersendiri di belakang.

Untuk keselesaan pemandu, terdapat pedal penukar gear di stereng, but berkuasa elektrik yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah kereta atau hanya menekan butang pada alat kawalan jauh.

Selain itu, model ini dipadankan dengan rim aloi ‘Dartford’ 18 inci, kemasan muncung ekzos trapezoid krom dan lencana ‘380 TSI’.

Ciri paling menarik perhatian penulis ialah paparan meter skrin digital sepenuhnya bagi varian 2.0 TSI Highline, kemasan kayu ‘Carolina’, Lane Assist dan sistem media yang lebih canggih meliputi skrin sesentuh 6.5 inci dengan MirrorLink dan navigasi.

Sistem navigasinya juga boleh dipancarkan terus pada panel skrin digital di hadapan pemandu dan mempunyai pilihan juga untuk dipaparkan ditengah-tengah seperti yang biasa digunakan.

Menjenguk bahagian kabinnya, keluasan ruang yang ditampilkan memberikan kelebihan buat Passat. Cukup selesa, itulah yang sesuai digambarkan tak kiralah sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang. Tempat duduk balutan kulit menjadi pilihan, menambahkan lagi elemen kemewahannya. Bukan itu sahaja, papan pemukanya juga tampil ringkas tetapi nampak eksklusif dan moden.

Untuk memberi lebih kemudahan, varian Highline ditawarkan dengan ciri Park Assist yang membolehkan kenderaan diparkir sendiri di mana-mana ruang parkir selari atau menegak.

Passat serba baharu didatangkan dalam lima warna iaitu putih (Pure White), hitam (Deep Black), perak (Reflex Silver), kelabu (Manganese Grey) dan biru (Atlantic Blue).

Kesimpulan

Model Passat varian Highline ini adalah model yang cukup bergaya dan menjimatkan bahan api. Dengan kapasiti penuh 66 liter, model ini mampu bergerak sejauh lebih 700 kilometer bergantung kepada tahap kelajuan dan corak pemanduan.

Meskipun saiznya kelihatan agak lebar namun ciri memiliki ciri kemewahan dan enjinnya cukup berkuasa meredah apa jua bentuk rupa bumi jalan raya kerana enjin 2.0TSI pengecas turbo suntikan terus petrol mampu bertindak responsif setiap kali pedal minyak ditekan.

Ruang dalaman yang dibaluti kerusi saduran kulit Vienna dan kerusi pemandu serta penumpang hadapan yang boleh dilaras menggunakan 12 pelarasan elektronik dengan sokongan Lumbar dan tetapan memori serta fungsi urutan kepada pemandu menjadikan perjalanan jauh cukup selesa.

Ketika dipandu dilaluan lebuh raya, kestabilan kenderaan ini dapat dirasai dan tanpa disedari meter kelajuan kadang kala mencecah 180 kilometer sejam sekali gus membuktikan kenderaan buatan Jerman sememangnya memiliki ‘aura’ tersendiri berbanding kenderaan buatan Jepun lain.

Kemasan dalaman berkualiti tinggi diserlahkan dengan hiasan elemen kayu ‘Brilliant Pine’ pada papan pemuka dan panel pintu dengan gabungan warna hitam piano pada konsol tengah.

Bagi menyerlahkan lagi ciri premium, jam analog diletak pada kedudukan antara bilah corong penyaman udara.

SPESIFIKASI

  • Enjin: 2.0L TSI Highline
  • Kuasa maksimum: 220PS pada 4,500 hingga 6,200rpm
  • Tork maksimum: 350Nm pada 1,500 hingga 4,400rpm
  • Transmisi: DSG 6-kelajuan
  • Kapasiti tangki bahan api: 66 liter
  • Pilihan warna: Pure White, Deep Black, Reflex Silver, Manganese Grey dan Atlantic Blue
  • Ciri Keselamatan: Kawalan Casis Adaptive (DCC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA), Pengatur Anti-Kegelinciran (ASR), Sistem Brek Pasca Perlanggaran Automatik, ISOFIX, 6 beg udara, indikasi penggunaan pelapik brek, Sistem Amaran Pemandu (Bantu Rehat), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kunci Perbezaan Elektronik (XDS), Sistem Respon Pelanggaran Pintar (ICRS) dan Kawalan Tork Seretan Enjin (EDTC).
  • Harga atas jalan: RM195,390 (tanpa insurans)