Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), ahli Kumpulan MMC meraikan pencapaian terbaharu mengendalikan empat juta penumpang dalam masa satu tahun buat pertama kali sejak pembukaannya pada 1974.
Penumpang ke-empat juta, Lim Seoh Boey yang terbang bersama tiga anaknya, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada jam 10:50 pagi menerusi penerbangan AirAsia AK 6051 dari Kuala Lumpur disambut dengan upacara khas yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Wanita & Pembangunan Negeri Johor, Liow Cai Tung dan Ketua Pegawai Eksekutif SATSSB, Md Derick Basir.
Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi SATSSB berkata, “Ia merupakan tahun yang menggalakkan bagi LTAS. Pencapaian ini terhasil daripada gabungan peningkatan terhadap permintaan penerbangan dan komitmen oleh rakan kongsi syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penumpang.
Sejak mengambil alih LTAS pada 2003, SATSSB telah berjaya mengendalikan sejumlah lebih daripada 33 juta penumpang dengan pertumbuhan konsisten dua angka sejak 2013.”
“Pencapaian ini tidak akan berhasil tanpa sokongan rakan kongsi syarikat – syarikat penerbangan, agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, para pelanggan dan penduduk di negeri Johor.”
Dalam ucapannya, Muhammad Bakhtiar berkata, “Secara keseluruhannya, kerajaan negeri Johor telah menetapkan sasaran 8.4 juta pengunjung bermalam dan sejumlah RM18.4 juta pelawat pada 2020 bersempena dengan kempen Visit Malaysia 2020 dan Visit Johor 2020 dengan jangkaan limpahan ekonomi sebanyak RM29.4 bilion.”
“Dengan pengumuman sebanyak RM15 juta menerusi Bajet Johor 2020 iaitu yang tertinggi pernah diberikan kepada sektor pelancongan di negeri ini, kami berharap agar dapat mencapai pulangan yang cemerlang pada tahun akan datang.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATSSB Md Derick Basir berkongsi jumlah penumpang bagi tahun penuh 2019 akan mencapai 4.2 juta, peningkatan ketara sebanyak 20% berbanding 3.5 juta penumpang yang dikendalikan pada tahun 2018.
Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan kapasiti yang dicipta oleh pengenalan laluan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan ke laluan sedia ada seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Seoul.
LTAS kini beroperasi pada kapasiti maksimum 4.0 juta penumpang setahun. Mengulas isu kapasiti terminal, Md Derick juga mengumumkan bahawa SATSSB sedang menjalankan projek pembesaran terminalnya untuk menambah ruang kapasiti bagi menampung jumlah penumpang.
Projek bernilai RM20 juta itu bakal menyaksikan penambahan keluasan balai ketibaan dan perlepasan di bahagian selatan bangunan terminal sedia ada. Antara elemen utama projek termasuklah pembinaan empat pintu perlepasan baharu siap dengan tambahan tempat duduk, laluan pejalan kaki yang berhubung dengan ruang parkir pesawat, pemasangan sistem pengendalian bagasi tambahan dan pemasangan eskalator serta lif bagi menghubungkan bangunan terminal sedia ada ke kawasan baharu.
SATSSB mengendalikan purata lebih 11,500 penumpang dan 110 pergerakan penerbangan setiap hari dengan 80% daripada operasi dan penumpangnya disumbangkan oleh AirAsia. Terkini, LTAS dihubungkan ke tujuh destinasi antarabangsa dan 11 destinasi domestik yang dioperasikan oleh lima syarikat penerbangan – AirAsia, Malaysia Airlines, Firefly, Malindo Air dan Jin Air.