Syarikat diiktiraf antara yang terbaik di majlis anugerah Laporan Korporat tahunan
Telekom Malaysia Berhad (TM) telah diiktiraf sebagai pemenang bagi Laporan Tahunan Terbaik (Perak) di Majlis Anugerah Laporan Tahunan Korporat Nasional (National Annual Corporate Report Awards – NACRA) 2019.
Syarikat sekali lagi dianugerahkan sebagai sebuah institusi korporat terkemuka di Malaysia apabila laporan tahunannya bagi tahun 2018 telah berjaya merangkul empat (4) anugerah kecemerlangan di dalam kategori-ketegori utama.
Anugerah-anugerah yang dimenangi adalah:
- Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Laporan Tahunan Terbaik (Perak)
- Laporan Tahunan Terbaik dalam Bahasa Malaysia (Emas)
- Laporan Kelestarian Tahunan Terbaik (Perak)
- Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Syarikat Papan Utama dalam kategori
Telekomunikasi dan Media selama 23 tahun berturut-turut
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Dato’ Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, berkata, “Kami amat teruja dan berbangga kerana sekali lagi kami berjaya merangkul beberapa anugerah di NACRA 2019.
Pengiktirafan-pengiktirafan ini bukan sahaja membuktikan kepatuhan kami terhadap keperluan senaraian seperti digariskan oleh Bursa Malaysia, namun apa yang lebih penting, pengiktirafan ini menjadi bukti kepada standard tinggi yang kami amalkan dalam komunikasi dengan para pemegang saham.
Ianya juga menunjukkan komitmen kami dalam pengamalan tadbir urus korporat, ketelusan, pendedahan maklumat yang tinggi kepada pihak berkepentingan serta pelaporan korporat bersepadu.
Ini adalah selaras dengan prinsip kami terhadap kepentingan tahap tadbir urus korporat tertinggi untuk membina kepercayaan dan kredibiliti dengan pihak berkepentingan utama kami.”
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh Warga TM di atas kerja keras dan usaha berterusan mereka dalam menerbitkan Laporan Tahunan 2018 ini. Saya secara peribadi berbangga dengan pencapaian ini dan berharap ini akan memberi dorongan untuk mereka terus memberikan yang terbaik.
“Kemenangan di NACRA sememangnya mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju institusi korporat di Malaysia,” katanya.
NACRA dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Berhad, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
Objektif utama NACRA adalah untuk mempromosikan kecemerlangan dalam laporan korporat, ketelusan dan kebertanggungjawaban terbaik oleh setiap pihak dalam laporan kewangan mereka dan anugerah-anugerah tersebut adalah untuk memberi penghargaan dan mengiktiraf laporan yang berkualiti tinggi.