Majoriti masyarakat Malaysia (93%) mahu Kerajaan hentikan penjualan rokok seludup murah.
Peratusan besar ibu bapa (93%), guru (98%), profesional bidang kesihatan (97%), malah perokok (88%) dalam satu tinjauan menyatakan mereka akan menyokong Kerajaan untuk mengambil tindakan lebih keras bagi menghentikan bekalan rokok seludup murah oleh dalang sindiket di negara ini.
Penemuan ini adalah hasil Kajian Tanggapan Rakyat Malaysia Mengenai Merokok dan Vape (Malaysian Perception of Smoking and Vaping Survey), satu tinjauan pendapat yang dijalankan baru-baru ini oleh syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia, Green Zebras.
Tinjauan pendapat rakyat Malaysia tentang impak rokok seludup murah di negara ini menunjukkan bahawa lebih separuh (61%) responden mengatakan Kerajaan setakat ini tidak mengambil tindakan secukupnya untuk membendung gelaja serius ini.
Malah, 89% responden percaya bahawa kerugian cukai daripada rokok seludup murah berjumlah lebih RM5 bilion pada 2018 (dan kemungkinan meningkat setiap tahun) boleh menjejaskan ekonomi negara.
Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Green Zebras Sdn Bhd, Steve Murphy berkata, “Tinjauan kami menunjukkan rakyat Malaysia sedar akan lambakan rokok seludup murah di negara ini dan menganggap Kerajaan bertanggungjawab menghentikan gejala yang memudaratkan seluruh negara ini.”
“Malangnya, ramai merasakan Kerajaan setakat ini tidak melakukan secukupnya untuk menangani masalah ini. Tindakan tidak tegas Kerajaan sehingga kini membuat rakyat percaya gejala ini hanya akan terus bertambah teruk di masa-masa akan datang,” katanya.
Kajian Tanggapan Rakyat Malaysia Mengenai Merokok dan Vape (Malaysian Perception on Smoking and Vaping Survey) oleh Green Zebras membabitkan saiz sampel 1,010 responden dewasa di Malaysia dan mencerminkan persepsi semua orang dewasa di seluruh Semenanjung Malaysia.