Selepas setahun dilancarkan di Malaysia, Proton X70 menyambut ulang tahun pertama dengan berita gembira apabila mendapat sambutan hangat di Shopee.

Lebih 200 unit ditempah dalam tempoh beberapa hari selepas Jualan Hari Lahir 12.12 diadakan melalui platform e-dagang itu, membuktikan SUV premium segmen C Proton itu masih mengekalkan popularitinya dan penerimaan pelanggan dalam talian untuk membuat tempahan melalui Internet.

Terdapat insentif khas ditawarkan di mana pelanggan yang menggunakan Shopee boleh membuat tempahan dengan bayaran hanya RM99, berbanding bayaran tempahan seperti biasa iaitu sebanyak RM1,000.

Bagi 50 pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan kereta mereka sebelum 31 Disember 2019, mereka akan menerima baucar Shopee sebanyak RM2,000 dan tambahan promosi yang ditawarkan Proton bagi bulan ini.

Oleh kerana terdapat perubahan pada corak pembelian masa kini, Proton mengambil langkah untuk memastikan syarikat bergerak selari dengan perubahan tersebut untuk kekal relevan.

Sebagai contoh, corak pasaran runcit kini telah bertukar hanya dalam masa beberapa tahun yang singkat kerana pelanggan lebih memilih membeli barang-barang secara dalam talian berbanding berkunjung sendiri ke kedai.

Usaha sama dengan Shopee adalah salah satu langkah yang di ambil Proton dalam mencari jalan atau cara baharu untuk berhubung dengan pelanggan.

“Aktiviti perniagaan pada hari ini telah berubah secara drastik daripada apa yang diguna pakai dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang lalu. Proton perlu bergerak seiring dengan perubahan ini untuk kekal relevan dan dalam pada masa yang sama menyusun strategi untuk menambah tarikan pelanggan melalui peningkatan jumlah pusat 3S/4S.

“Syarikat juga perlu menggunakan teknologi yang ada bagi memacu mobiliti perniagaan. Kempen bersama Shopee ini adalah contoh yang baik kerana ia mudah dan senang untuk pengguna tetapi turut akan menghubungkan pelanggan dengan rangkaian kami untuk mendapatkan perkhidmatan selepas jualan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Ini bukan kali pertama Proton menggunakan platform tempahan dalam talian untuk pelanggan. Sebelum dilancarkan pada 12 Disember 2018, pelanggan boleh melakukan tempahan Proton X70 secara dalam talian bermula September tahun itu yang menjadikan tempahan pra-pelancaran diterima lebih 10,000 unit.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, “Kami amat berbesar hati menerima tawaran daripada pembuat kereta Malaysia pertama untuk melakukan projek besar ini.

“Ini merupakan pengalaman baharu dan mengujakan apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan sebuah jenama yang mempercayai kelebihan dalam industri e-dagang. Kami amat menantikan untuk bekerjasama dengan Proton bagi mengumpul dan berkongsi idea untuk memperkukuh lagi pengalaman pembelian pelanggan.

“Kami akan bersama-sama meneroka landskap e-dagang masa kini untuk melakukan lebih banyak perkara yang belum pernah dilakukan lagi, di samping turut mencipta gaya hidup baharu di kalangan pengguna automotif ,” katanya.