Tiga perkara ini tentu sekali bermain difikiran mereka yang pernah membesar dengan model ikonik, Volkswagen Beetle yang terkenal dengan pelbagai gelaran diberikan seperti ‘Bug’ atau kumbang, kereta ‘kodok’ dan sebagainya.
Semua ini sudah berakhir apabila unit pengeluaran terakhir bagi Beetle generasi ketiga di kilang pemasangannya di Puebla, Mexico telah disempurnakan pada Julai lalu.
Unit terakhir sebuah coupe dalam warna Stonewashed Blue itu dipamerkan di muzium Volkswagen di bandar berkenaan.
Mengapa penulis mengaitkan perasaan sedih kerana unit Beetle sudah tidak lagi dihasilkan selepas pertama kali model itu dipasang di Shah Alam pada tahun 1968. Sudah tentu banyak kenangan manis dan pahit kepada mereka yang pernah memandu, memiliki atau menaiki kereta dua pintu ini suatu ketika dahulu.
Perasaan kecewa pula ialah tidak semua orang mampu memiliki model ikonik ini kerana difahamkan Beetle adalah model paling laris keluaran Volkswagen di Malaysia kerana setiap kali model itu dikeluarkan ia pasti sudah habis ditempah dan menjadi koleksi ‘garaj’ bagi mereka yang mampu memilikinya.
Bagaimanapun, bagi mereka yang menjadi salah satu pemiliknya, tentu sekali perkataan ‘seronok’ jelas tergambar dalam fikiran kerana tentu bangga menyimpannya. Manalah tahu satu hari nanti harga kereta ini tiba-tiba ‘melonjak’ disebabkan permintaan daripada mereka yang memang mahu membelinya.
Jadi, nasihat penulis simpan dan jaga baik-baik Beetle anda ini yang sudah menjadi salah satu koleksi ‘penting’ dalam sejarah automotif dunia.
Prebiu.com yang diberi peluang memandu sebuah Beetle berwarna merah Tornado ini cukup teruja apabila dipelawa dan merakam gambar kereta ini yang menjadi kenangan manis kepada penulis.
Memetik kata-kata Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter berkata, “Semua benda yang baik akan berakhir, dan sama juga dengan model global yang laris ini.
“Beetle mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia, ia merujuk kembali pada waktu ia dipasang di Shah Alam pada tahun 1968. Malah, kebanyakan warga Malaysia membesar dengan cerita tersendiri bersama kereta ini,” katanya.
Mengikut sejarah pengeluaran Beetle, model generasi kedua dan ketiga Beetle dikeluarkan dari kilang Puebla, Mexico. Bagi versi generasi kedua pula, ia mula dipasang dan dikeluarkan pada 1998 dan mencatatkan angka jualan 1.2 juta unit sehingga diakhir tempoh pengeluarannya pada 2010.
Generasi ketiga pula mula diperkenalkan pada 2011 dengan lebih 500,000 unit dikeluarkan sejak itu.
Model asal Beetle atau lebih dikenali dengan Type 1 di Amerika Syarikat terjual sebanyak 21.5 juta unit sepanjang hayatnya, dengan pengeluaran terakhir turut dijalankan di Puebla pada 2003.
Keseluruhannya, dua generasi terakhir Beetle yang dikeluarkan itu terdiri daripada 23 warna luaran, 32 kemasan dalaman, 13 padanan sistem jana kuasa yang berbeza serta 19 edisi istimewa termasuk Dune, Denim, Coast dan #PinkBeetle terjual di 91 pasaran seluruh dunia.
Seperti anda sedia maklum, Volkswagen telah memutuskan tahun ini adalah tahun terakhir untuk pengeluaran model ikonik, Beetle.
Memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group Amerika, Scott Keogh berkata, penamatan pengeluaran Beetle ini akan memberi ruang kepada pengeluaran SUV kompak terbaru syarikat itu untuk dikeluarkan dari kilang Puebla berkenaan.
SUV kecil di bawah Tiguan itu akan turut disertai oleh Atlas, sebuah SUV untuk pasaran Amerika Utara.
Bagi pasaran Malaysia, VCPM turut memperkenalkan model keluaran istimewa ini Beetle Collector’s Edition yang hanya dikeluarkan sebanyak 75 unit dan ditawarkan dalam warna Blue Silk, Pure White, Hanabero Orange dan Tornado Red.
Dijual pada harga RM164,390, setiap pembelian akan menerima sijil pemilikan khas, jaminan lima tahun tanpa had batuan, bantuan tepi jalan lima tahun dan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.
Keistimewaan kereta ini adalah ia didatangkan dengan aksesori yang bernilai RM12,000, yang termasuk spoiler belakang, pelekat hiasan, muncung ekzos krom, pedal sports aluminium, scuff plate, penapis haba cermin Volkswagen serta lencana tanda nombor pengeluaran.
Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan pada Beetle Collector’s Edition ini, dan ia masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol 1.2 liter TSI yang mampu menghasilkan 103 hp pada 5,000 rpm dan 175 Nm tork pada 1,550 rpm serta transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Untuk pembaca Prebiu.com, penulis sertakan gambar-gambar menarik varian VW Beetle Sport untuk tatapan anda semua.
Apa yang menarik ialah warna merah ini seakan disimbah dari luar hingga ke dalam kereta ini cuma bernasib baik kerusi saduran kulitnya tidak merah.
Warna ini cukup menarik perhatian sesiapa sahaja yang melintasi kereta ini kerana kita sedia maklum model ini adalah satu simbol ikonik kebanggaan Volkswagen di seluruh dunia.
Beetle Sport
Spesifikasi Beetle 1.2 TSI
- Enjin: 1,197 cc, empat silinder petrol, turbo cas
- Kuasa maksimum: 77 kW (105 PS) | 5,000-5,500 rpm
- Tork maksimum: 175 Nm | 1,400-4,000 rpm
- Transmisi: DSG 7-kelajuan direct shift gearbox (DSG)
- Ciri keselamatan: 4 beg udara, ABS, EDS, MSR, ESC dan ASR
- Tayar : 215/55 R17
- Tangki minyak : 55 Liter
- Harga: RM152,390 (tidak termasuk insurans)