Kajian baharu untuk terus mendapatkan maklumat lanjut dalam usaha menangani kekurangan zat makanan di rantau ini
Penyelidik utama bagi Kajian Nutrisi Asia Tenggara I (SEANUTS I) di Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon dari Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya bahawa kanak-kanak di rantau ini, terutama kanak-kanak Malaysia, masih terkesan dengan tabiat pemakanan yang kurang nutrisi.
Walaupun kajian SEANUTS I telah selesai pada 2011, Profesor Poh ketika berucap di majlis tandatangan kerjasama antara syarikat induk Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) FrieslandCampina dan UKM bagi merasmikan permulaan SEANUTS II berkata, bahawa kanak-kanak tempatan dan di rantau ini masih belum mendapat nutrisi yang cukup dalam diet mereka.
Menurutnya, tinjauan di Malaysia menunjukkan satu daripada lima orang kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obes, 1 hampir satu daripada 10 kanak-kanak terbantut untuk usia mereka, 2 dan satu dalam 20 kanak-kanak mempunyai masalah kurang berat badan, 3 hampir separuh daripada kanak-kanak tidak mendapat Vitamin D dan kalsium yang mencukupi, 4 dan sebahagian besar kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun adalah tidak aktif secara fizikal.
Bagi SEANUTS II, maklumat yang akan dikumpulkan adalah berkaitan dengan status nutrisi, pertumbuhan, pengambilan makanan, aktiviti fizikal dan parameter biokimia kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun.
Oleh kerana masalah kekurangan zat makanan yang teruk di rantau ini, kaji selidik tersebut akan memberi tumpuan tambahan untuk mendapatkan pemahaman mengenai penggunaan protein dan khasiat, kerana protein adalah zat asas yang kritikal untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
Keputusan dijangka diperoleh pada 2021 dan akan digunakan untuk membangunkan kaedah campur tangan khusus sesebuah negara, memperkukuhkan pengetahuan saintifik dan menyokong dasar kerajaan.