AirAsia telah memperluaskan penawaran atas talian dengan menawarkan penerbangan daripada syarikat lain selari dengan transformasi airasia.com ke arah menjadi peneraju platform perjalanan dan gaya hidup terkemuka Asia Pasifik.

Diumumkan dengan kerjasama syarikat teknologi perjalanan terkemuka Kiwi.com, destinasi-destinasi seperti London, Dubai, Madrid dan Auckland kini tersedia kepada lebih daripada 50 juta pelawat yang memilih untuk membuat tempahan penerbangan, hotel, aktiviti dan banyak lagi di airasia.com.

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com Oliver Dlouhý, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pengedaran Penerbangan airasia.com Rajiv Kumar melancarkan tambang promosi ke Madrid di pelancaran penawaran penerbangan daripada syarikat lain AirAsia di airasia.com

Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Saya amat teruja kerana apabila kami memulakan AirAsia sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah pada 2001, saya tidak pernah terfikir untuk menjual tiket penerbangan daripada pesaing-pesaing kami.

“Tetapi seperti yang selalu saya katakan, jangan pernah katakan tidak. Hari ini, melalui kerjasama dengan Kiwi.com, kami melalui fasa transformasi untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan, dengan merealisasikan visi airasia.com sebagai sebuah platform pelancongan sehenti di rantau ini.”

Ketua Pengedaran Penerbangan airasia.com, Rajiv Kumar berkata, “Selain perkongsian strategik dengan Kiwi.com, yang memfokuskan kepada perkongsian kandungan dan teknologi, kami juga meneroka peluang untuk menjadi rakan kongsi langsung dengan syarikat penerbangan lain dan syarikat yang melengkapi perkhidmatan rangkaian dan pelancongan sedia ada melangkaui Asia Pasifik.

Dikuasakan oleh Kiwi.com, pengguna laman web AirAsia boleh menempah perjalanan ke lebih daripada 100 buah syarikat penerbangan ke destinasi-destinasi yang tidak dikendalikan oleh AirAsia, termasuk Eropah, Australia, New Zealand, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com Oliver Dlouhý berkata, “Saya amat berbangga apabila Kiwi.com dipilih untuk memacu transformasi AirAsia dan aspirasinya dalam menjadikan airasia.com sebuah platform perjalanan dan gaya hidup terkemuka.

“Kami mempunyai banyak rangkaian syarikat penerbangan dan perkhidmatan lapangan terbang dan kami bangga kerana dapat membuka platform mereka ke seluruh dunia melalui AirAsia dan para pelanggannya.”

Untuk meraikan pengumuman ini dan sebagai rakan rasmi Piala Davis oleh Rakuten, yang berlangsung pada 18-24 November 2019 di Madrid, Sepanyol, AirAsia melancarkan kempen pemasaran global yang menampilkan kakitangan Allstar Sepanyol, Ketua Produk airasia.com Pablo Sanz Salcedo.

Kempen tersebut dilancarkan di ibu pejabat global AirAsia RedQ di Kuala Lumpur hari ini dan sempena pelancaran ini, tambang promosi termasuk semua ditawarkan ke Madrid dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney dari hanya RM99/THB999/IDR333,000/AUD199* (USD25).

Tambang promosi seterusnya ditawarkan pada RM499/THB4,999/IDR1,699,000/AUD399* (USD125) akan tersedia untuk tetamu yang terlepas tawaran terdahulu.

Tempah tambang promosi ke Madrid, Sepanyol di airasia.com pada 16 November 2019 bermula jam 9.00 pagi (GMT+8) untuk perjalanan segera sehingga 31 Mac 2020.

Kempen ini diwujudkan di sebalik penstrukturan semula syarikat, yang memisahkan operasi syarikat penerbangan AirAsia daripada perkhidmatan perjalanan dan gaya hidupnya, airasia.com.

Sejak penyusunan semula itu diumumkan pada Ogos tahun ini, lebih daripada 700 kakitangan Allstar telah direkrut di seluruh Asia Pasifik. Sebuah pejabat airasia.com baharu juga akan dibuka di pusat bandar Kuala Lumpur pada awal tahun depan.

*Maksimum 2 penumpang untuk setiap transaksi. Penerbangan dikendalikan oleh syarikat penerbangan pihak ketiga dan tersedia untuk tempahan dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney pada 16 November 2019. Tertakluk pada terma dan syarat Kiwi.com. Tersedia untuk tempahan di web sahaja.

Mengenai AirAsia

AirAsia adalah syarikat platform perjalanan dan kewangan terkemuka di Asia Pasifik, menawarkan perkhidmatan pengangkutan udara, perjalanan dan gaya hidup.

AirAsia bermula sebagai syarikat penerbangan tambang rendah yang beroperasi di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan Jepun dan telah membawa lebih 600 juta penumpang ke lebih 150 destinasi dalam rangkaian yang merangkumi Asia, Australia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Terkenal dengan perkhidmatan bertaraf dunia, AirAsia telah dianugerahkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam tinjauan tahunan syarikat penerbangan dunia oleh Skytrax selama sebelas tahun berturut-turut dari 2009 sehingga 2019.

AirAsia juga telah dianugerahkan peneraju Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Dunia bagi tujuh tahun berturut-turut dari 2013 hingga 2019 di World Travel Awards. AirAsia telah memulakan langkah transformasi untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan, dengan memuatkan hotel, percutian, aktiviti dan membeli-belah dalam talian dalam platform perjalanan dan gaya hidupnya airasia.com, mengintegrasikan logistik melalui Teleport dan perkhidmatan kewangan digial melalui BigPay.

Mengenai Kiwi.com

Diasaskan oleh Oliver Dlouhý dan Jozef Képesi pada 2012, Kiwi.com adalah enjin carian dalam talian yang membolehkan pengguna menggabungkan pengangkutan daripada syarikat pembawa tidak berhubung kait.

Ia dikuasakan oleh algoritma proprietari (Virtual Interlining) yang membolehkan pengguna menggabungkan penerbangan dan pengangkutan darat dari lebih 750 syarikat penerbangan, termasuk mereka yang kebiasaannya tidak bekerjasama, disertai dengan Jaminan terkemuka industri Kiwi.com.

Hari ini, syarikat itu melihat lebih daripada 100 juta carian setiap hari dan menggaji lebih daripada 2,800 orang di seluruh dunia. Kiwi.com menduduki tangga ketujuh dalam senarai Deloitte Technology Fast 500 EAMA, menjadikannya syarikat Czech dengan nilai tertinggi. Berikutan kejayaan sebelumnya, Kiwi.com menduduki tempat kelima dalam program yang sama pada 2018.