MINI Clubman terbaharu menggabungkan ciri-ciri pemanduan MINI yang mengujakan dengan keupayaan pemanduan harian serta perjalanan berjarak jauh.
MINI, jenama automotif premium memperkenalkan MINI Clubman terbaharu yang hadir dengan sentuhan terkini pada elemen eksterior serta interiornya untuk membekalkan sebuah pengalaman pemilikan luar biasa yang sinonim dengan MINI.
“Ekoran daripada pengenalan MINI Clubman pada tahun 2016 di Malaysia, MINI Clubman terbaharu bakal menerajui keupayaan model terdahulu ke aras yang lebih tinggi dengan inovasi dan pencapaiannya yang tersendiri.
Menampilkan enam pintu yang ikonik, sistem transmisi baharu serta pelbagai penambahbaikan digital bertaraf tinggi, kami berbesar hati untuk mempersembahkan kenderaan peneraju segmen ini yang hadir bersama keseronokan pemanduan yang sinonim dengan karakteristik kenderaan MINI kami.
MINI Clubman terbaharu akan menjadi sebuah simbol keterujaan pemanduan yang luar biasa di Malaysia,” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
Hoelzl berkata, sehingga ke hari ini, kami telah mencatat penyerahan berjumlah lebih daripada 900 unit kenderaan MINI. Ia melambangkan permintaan yang semakin berkembang terhadap kenderaan MINI di seluruh negara, dan kami berbesar hati untuk memperkenalkan satu lagi model MINI untuk membekalkan pengalaman pemanduan yang penuh dengan keseronokan kepada warga MINIacs.”
MINI Clubman ini didatangkan dengan rupa paras baharu yang meliputi penawaran eksterior berwarna merah (Indian Summer Red), penyerlahan interior yang elegan serta keupayaan keterhubungan yang tiada bandingannya dalam segmen kompak premium.
Perkembangan terkini dalam rangkaian perkhidmatan digital MINI Connected menonjolkan perwatakan progresif dan orientasi gaya hidup yang dibawakan oleh MINI Clubman.
MINI Connected generasi terbaharu juga menampilkan teknologi SIM 4G terintegrasi yang memaksimumkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan di atas jalan raya.
MINI Clubman ini turut hadir dengan gril radiator yang diperbaharui – untuk menzahirkan sebuah penampilan yang tampak khusus dan lebih ‘sporty’, termasuk lampu hadapan LED baharu dan lampu kabus, serta Transmisi Automatik “Dual Clutch Sports” Tujuh Kelajuan yang menawarkan kemudahan penukaran gear yang pantas, menyelesakan dan berbekalkan efisiensi teroptimum.
MINI Clubman terbaharu juga didatangkan dalam warna merah menyala (Indian Summer Red) yang eksklusif.
MINI Clubman terbaharu menampilkan elemen-elemen signatur jenama tersebut, contohnya bonet kubah, lampu hadapan yang membulat dengan garis bentuk berwarna “Piano Black” dan kontur heksagon pada komponen gril radiator yang diperbaharui, panjangnya kini meliputi keseluruhan komponen bampar.
Lampu hadapan yang diubah suai juga memberikan MINI Clubman terbaharu penampilan karakteristik dari sudut hadapan. Lampu hadapan LED dan ciri-ciri lampu kabus yang baharu menampilkan modul-modul LED untuk meningkatkan tahap kecerahan dalam mod pencahayaan lampu isyarat rendah dan tinggi.
Lingkaran cahaya putih pada lampu hadapan ini juga berfungsi sebagai lampu pemanduan waktu siang serta indikator membelok. Kontur dan struktur baharu pada rongga udara kini memberikan jentera tersebut rupa paras yang tersendiri, ia turut diserlahkan melalui garis bumbung yang memanjang serta tubuh belakang yang lebih curam untuk menzahirkan sebuah penampilan yang kompak dan serba sporty.
Dua sayap pembukaan lateral di bahagian belakang menjadikan MINI Clubman baharu ini satu-satunya model dalam segmen kompak untuk menampilkan enam pintu, berserta versatiliti yang luar biasa ditawarkan oleh kompartmen muatan yang boleh ditingkatkan daripada muatan berkapasiti 360 liter kepada 1,250 liter.
Dengan penawaran MINI Yours, MINI Clubman terbaharu boleh dipasangkan dengan set roda aloi ringan 18 inci dalam penggayaan dua tona British MINI Yours.
Penggunaan bahan api yang efisien untuk keseronokan pemanduan MINI. Hadir dalam varian Cooper S yang membawakan enjin MINI TwinPower Turbo 2.0 liter yang mampu menjana 192 kk dan tork berjumlah 280 Nm, ia berupaya membuat pecutan abad hanya dalam masa 7.2 saat.
MINI Clubman terbaharu juga boleh mencatat kelajuan tertinggi mencecah 228 km/j sementara ia mengguna pakai 6.2 liter bahan api bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km, dan menjana output CO2 berjumlah 141 g/km.
Enjin jentera ini digandingkan dengan Transmisi Automatik “Dual Clutch Sports” Tujuh Kelajuan yang membekalkan keupayaan penukaran gear yang pantas, selesa dan efisiensi teroptimum.
Transmisi tersebut dioperasikan melalui tuil pemilih elektronik baharu yang akan kembali ke posisi asal selepas penukaran dibuat daripada mod pemanduan, posisi neutral dan mod mengundur.
Pengunci parkir diaktifkan dengan menekan butang P, dan program “SPORT” boleh diaktifkan dengan menggerakkan tuil pemilih ke kiri dalam mod pemanduan.
Di samping itu, sistem kawalan elektronik bagi komponen transmisi juga menawarkan tahap efisiensi yang dipertingkatkan melalui pelbagai fungsi progresif seperti fungsi Mula/Henti yang menggelakkan penggunaan bahan api yang tidak perlu ketika kenderaan berhenti di persimpangan.
Fungsi luncur juga ditawarkan dalam kedua-dua mod “MID” dan “GREEN”, di mana rangkaian pemacu (drivetrain) dibebaskan sebaik sahaja pemandu berhenti menekan pedal pemecut. Ia membolehkan jentera ini meluncur pada kelajuan melahu (idling speed) –bebas daripada sebarang efek pembrekan enjin dan pada tahap penggunaan bahan api yang minimum.
MINI Clubman terbaharu hadir dengan stereng kulit “MINI Yours Walknappa”, disinambungkan dengan upholsteri tempat duduk “MINI Yours Walknappa Leather Lounge Carbon Black”.
Tempat duduk berkenaan juga menampilkan corak Union Jack yang ikonik pada bahagian penyandar kepala, lantas memberikan sentuhan tambahan pada ruang interior yang sinonim dengan jentera MINI.
Turut memperkayakan elemen pencahayaan dan ambien MINI Clubman terbaharu ialah “MINI Yours Interior Styles” yang diterangi dalam warna biru “Frozen Blue”. Ia meliputi iluminasi pada bezel pintu, bezel sekeliling kokpit, trim kokpit dan elemen trim konsol sentral – dirumus untuk menggandingkan warna-warna yang sepadan.
Interior MINI Clubman terbaharu diserlahkan dengan cadar MINI Yours yang menampilkan corak dan sulaman berwarna aluminium dan hitam, berserta dengan rekaan label MINI Yours yang eksklusif pada tingkap sisi.
MINI Clubman terbaharu juga menawarkan hiburan muzik premium dengan Sistem 12 Pembesar Suara Harman Kardon, disuaikan secara eksklusif untuk MINI Clubman terbaharu, ia menawarkan bunyi bes yang jitu serta kualiti bunyi yang cemerlang.
Iterasi MINI Clubman terbaharu merangkumi Sistem Navigasi MINI 6.5” beresolusi tinggi dengan paparan skrin sesentuh, memberikan pemilik akses yang mudah ke atas pelbagai informasi navigasi yang berada dalam capaian pemandu.
MINI Clubman terbaharu lengkap dengan teknologi SIM 4G terintegrasi MINI Connected yang canggih, ia menawarkan ciri-ciri keselamatan maksimum dengan Panggilan Kecemasan Pintar dan MINI TeleServices.
Penawaran warna eksterior bagi MINI Clubman terbaharu meliputi warna merah (Indian Summer Red), hijau (British Racing Green), putih (Pepper White), kelabu (Thunder Grey), perak (Melting Silver) dan biru (Starlight Blue).
MINI Clubman terbaharu akan disediakan di semua premis wakil pengedar MINI yang bertauliah di seluruh negara mulai 7 November 2019.
Dengan “Balloon Financing” daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI Clubman terbaharu bermula daripada RM3,418.00 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).
MINI Clubman terbaharu ditawarkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma.
Harga jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah RM298,888