Pengeluar kenderaan premium kompak memperkenalkan generasi MINI John Cooper Works Countryman dan Clubman terbaharu.

Jentera itu kini memiliki keupayaan enjin mencecah 306 kuasa kuda untuk membekalkan sebuah pengalaman pemanduan yang benar-benar memuaskan.

MINI John Cooper Works Countryman 306HP dan MINI John Cooper Works Clubman 306HP, kedua-duanya dilengkapi dengan enjin baharu berkuasa tinggi yang membawakan 306 kuasa kuda serta tork maksimum 450 Nm.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP baharu merupakan antara model yang paling berkuasa tinggi pernah dikeluarkan dalam sejarah MINI yang berusia 60 tahun.

“Sebagai sumber kuasa bagi pemanduan yang menyeronokkan, enjin empat silinder yang direka semula secara komprehensif melengkapi model-model baharu kami dan ia berorientasikan prestasi maksimum, lantas memastikan jentera sport tersebut menerajui segmen kompak premium,” katanya.

Pasangan varian MINI John Cooper Works 306HP kini menggunakan iterasi enjin terkini dengan brek sport, sistem penyejukan dan ekzos sport baharu untuk memastikan kuasa berjumlah 306 hp dapat dikecapi.

Jentera-jentera baharu ini juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda “ALL4” sebagai standard untuk membekalkan keupayaan pemanduan yang versatil dalam apa jua cuaca serta permukaan jalan.

Aspek keterhubungan yang pintar dan kemudahan bertaraf premium juga melengkapi varian MINI John Cooper Works 306HP. Ia merangkumi kad SIM 4G terintegrasi yang baharu, dan aplikasi MINI Connected yang dikemas kini bersama ciri-ciri kefungsian yang meliputi “Teleservices”, Panggilan Kecemasan Pintar, Servis Jarak Jauh (Remote Services), Apple CarPlay, Servis Rencam (Concierge Services) dan MINI Dalam Talian (MINI Online).

MINI Find Mate juga disediakan untuk memudahkan pengguna mengesan lokasi kunci kereta serta peranti-peranti penting yang lain.

MINI John Cooper Works Countryman 306HP kini menampilkan panel trim bampar baharu dengan salur masuk udara terbuka di kedua-dua sisi bagi mewujudkan efek penyejukan pada enjin dengan lebih berkesan.

Model baharu ini juga didatangkan dengan paip ekzos yang lebih besar, ia berukuran 85 mm dalam diameter untuk memberi akomodasi kepada profil bunyi JCW yang berkuasa tinggi.

MINI John Cooper Works Clubman 306HP terbaharu pula didatangkan dengan rupa paras yang diubah sepenuhnya berbanding model terdahulu. Model ini membawakan bampar hadapan yang diubah suai, ia menyumbang kepada penampilan sudut hadapan yang tampak lebih lebar, lantas memberikan MINI John Cooper Works Clubman 306HP terbaharu sebuah sentuhan yang serba ‘sporty’.

Spoiler hadapan hadir dengan pembahagi bersaiz lebih besar dan sisipan di seksyen gril bawah, sementara panel trim bampar yang baharu dilengkapi dengan salur masuk udara penyejuk di kedua-dua sisi bersama dua radiator penyejuk eksternal untuk memenuhi keperluan kuasa enjin baharu kenderaan ini.

Reka bentuk gril hadapan yang baharu pada MINI John Cooper Works Clubman 306HP menampilkan permukaan gril yang lebih besar dan berbeza, ia turut mengenakan corak reka bentuk indung madu (honeycomb) yang sinonim dengan John Cooper Works.

Komponen penghadang impak (crash beam) masih dikekalkan, namun kini ia diletakkan di belakang gril ‘honeycomb’ untuk mewujudkan penampilan yang lebih kemas. Jejaring terbuka (open mesh) disisip di bahagian atas dan bawah gril hadapan dengan penyejuk eksternal tambahan, bersama rongga udara yang lebih besar di hadapan, tengah dan sisi.

Sensor Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control atau “PDC”) untuk keselamatan tambahan terletak di gril hiasan, termasuk bilah John Cooper Works dalam warna merah, lencana JCW dan elemen trim eksterior berwarna “Piano Black” mengelilingi gril tersebut.

MINI John Cooper Works Clubman 306HP kini didatangkan dengan Lampu Hadapan LED baharu dengan “Matrix Light Functionality”, julung kali diperkenalkan untuk kenderaan MINI.

Lampu hadapan yang serba inovatif memberikan keupayaan yang terbaik dari segi pencahayaan untuk meningkatkan tahap kebolehlihatan dan keselamatan pengguna, sementara elemen gangguan dikurangkan bagi pengguna jalan raya yang lain dengan mengawal jumlah segmen cahaya yang diaktifkan apabila jentera ini mendekati kenderaan lain.

Lampu hadapan yang baharu juga menampilkan eksterior dalam warna Piano Black, ia menzahirkan sebuah penampilan yang kelihatan lebih berkilat di sekelilingnya, sementara lampu membelok dilengkapi sebagai penawaran standard.

Lampu belakang LED penuh dalam corak rekaan Union Jack pula menghiasi bahagian belakang jentera ini, ia memberikan sentuhan keelegenan. Lampu brek juga diintegrasikan dengan corak Union Jack tersebut. Di bampar belakang yang dikemas kini, terdapat sistem ekzos JCW baharu yang mengguna pakai reka bentuk ‘double-board’.

Paip ekzos yang kini lebih besar dengan diameter berukuran 95 mm membolehkan profil bunyi JCW yang mengagumkan dapat ditampung dengan sebaiknya.

Di samping itu, kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP dilengkapi dengan set roda ruji dua tona JCW Circuit 19 inci yang eksklusif, direka semula dengan penampilan yang lebih lasak.

Jantung yang menguasakan kedua-dua model ini ialah enjin empat silinder yang diperbaharui secara komprehensif berasaskan pacuan dua liter dalam MINI Cooper S Clubman dan MINI Cooper S Countryman.

Enjin baharu tersebut membawakan modifikasi pada pacuan aci engkol (crankshaft) serta teknologi MINI TwinPower Turbo generasi terkini. Dengan kapasiti 1,998 cc, enjin dalam pasangan varian MINI John Cooper Works 306HP ini mampu menjana 306 HP pada paras 5000-6250 rpm, dan puncak tork berjumlah 450 Nm pada paras 1750-4500 rpm.

Kedua-dua model mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j. MINI John Cooper Works Clubman 306HP terbaharu mampu membuat pecutan abad dalam masa 4.9 saat, sementara MINI John Cooper Works Countryman 306HP mencatat 5.1 saat.

Teknologi MINI TwinPower Turbo juga digandingkan dengan kawalan injap pembolehubah VALVETRONIC dan pemasaan aci sesondol pembolehubah “Double-VANOS”.

Enjin tersebut dipadankan dengan Transmisi Automatik Steptronic Sport Lapan Kelajuan yang membolehkan jentera berkenaan berfungsi dengan lebih lasak, efisien dan menyelesakan rentetan daripada kewujudan langkah kelajuan enjin yang lebih kecil.

Gear jentera ini dapat ditukar secara manual menggunakan padel penukar gear. Dengan memilih “GREEN” dalam “MINI Driving Mode”, fungsi luncur boleh diaktifkan sebaik sahaja pedal pemecut dibebaskan pada tahap kelajuan di antara 50–160 km/j.

Dari segi penyejukan, suhu operasi yang optimum bagi enjin tersebut dijamin pada setiap masa – walaupun dalam kondisi ekstrem di litar lumba – dengan dua radiator eksternal, tangki pengembangan khusus dengan isi padu lebih tinggi, cagakan modul penyejukan yang tersendiri, ventilator elektrik dengan peningkatan output, serta tahap penyejukan ketiga menggunakan kondenser.

Komponen brek diperkasakan dengan sistem pembrekan sport yang diperbaharui, ia kini mengandungi empat piston, brek cakera angkup yang tetap di roda belakang. Cakera brek besar bersaiz 360×30 mm di hadapan dan 330×20 mm di belakang yang digabungkan dengan geometri saluran penyejuk teroptimum juga memainkan peranannya untuk mengecapi tahap stabiliti yang tinggi.

Angkup brek bersadur warna merah di hadapan mempamerkan logo JCW. Suspensi ditawarkan menerusi komponen suspensi sport JCW yang berukuran 10 mm lebih rendah berbanding yang standard, ia membekalkan sebuah pengalaman pemanduan dinamik serta tahap stabiliti yang cemerlang.

Walau bagaimanapun, MINI John Cooper Works Countryman 306HP terbaharu, khususnya dilengkapi dengan Suspensi Adaptif (Adaptive Suspension) – sebuah sistem pintar yang membolehkan proses pemampatan dan pemulihan dilaraskan untuk memberikan keupayaan suspensi yang terbaik bagi kondisi pemanduan tertentu.

Sistem pacuan semua roda ALL4 merupakan satu lagi ciri menarik yang melengkapi varian MINI John Cooper Works 306HP, ia menawarkan cengkaman dinamik untuk memelihara tahap maklum balas yang tiada bandingannya di setiap permukaan jalan – bersama cengkaman, stabiliti dan kawalan tambahan dibekalkan oleh pengunci diferensial mekanikal di hadapan.

Pasangan varian MINI John Cooper Works 306HP terbaharu menampilkan kerusi lumba bermaterialkan kulit “Carbon Black Dinamica”, serta hadir dengan stereng kulit JCW, kluster instrumen JCW, trim paparan sentral JCW, skrin mula JCW dan ambang pintu JCW.

Ia juga menampilkan pedal keluli tahan karat yang elegan, selain permukaan kokpit interior MINI Yours dalam warna Piano Black yang mencahayakan 12 jenis warna pada waktu malam berdasarkan ambien pilihan pemandu. Pengguna juga boleh mengamati pemandangan langit dengan Bumbung Matahari Panoramik didatangkan sebagai standard untuk kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP.

Para pemilik juga boleh menikmati fungsi MINI Find Mate dengan tag Bluetooth yang boleh dipasang pada beg serta kunci kereta untuk memudahkan barangan tersebut dikesan.

Lagi satu ciri menarik ialah Projeksi Logo MINI Yours yang mengalukan pemandu dengan memancarkan logo MINI di lantai kenderaan berdekatan dengan pintu setiap kali jentera tersebut dibuka atau dikunci.

Penawaran warna eksterior untuk MINI John Cooper Works Clubman 306HP merangkumi hijau (Rebel Green), putih (White Silver), hitam (Midnight Black) dan merah (Chili Red), sementara warna MINI John Cooper Works Countryman 306HP meliputi hijau (Rebel Green), putih (Light White), hitam (Midnight Black) dan merah (Chili Red).

Kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP akan tersedia di wakil pengedar MINI yang bertauliah Auto Bavaria Glenmarie, Auto Bavaria Kuala Lumpur, Ingress Auto Bangsar dan Wheelcorp Premium mulai 7 November 2019.

Dengan “Balloon Financing” daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI John Cooper Works Clubman 306HP terbaharu bermula daripada RM4,098 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun), sementara MINI John Cooper Works Countryman 306HP terbaharu bermula daripada RM4,328 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP ditawarkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma.

Harga jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) varian MINI John Cooper Works 306HP ialah:

MINI John Cooper Works Clubman 306HP Terbaharu: RM358,888
MINI John Cooper Works Countryman 306HP Terbaharu: RM378,888