AirAsia dinobatkan sebagai Jabatan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan di Anugerah Penerbangan Asia Pasifik 100.

Anugerah Majalah Airline Economics Magazine 100 mengiktiraf syarikat-syarikat dalam industri perjalanan udara yang paling cemerlang, serta syarikat yang paling inovatif dalam strategi pembiayaan dan pajakan pesawat dalam 12 bulan yang lalu.

(Dari kiri) Pengarang Urusan Airline Economics Philip Tozer-Pennington, Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul dan Penasihat Kanan Asia Aviation Capital Aaron Gomez di majlis anugerah Airline Economics Asia Pacific Aviation 100

AirAsia meraih anugerah tersebut berdasarkan prestasi kewangan dan pendapatan syarikat bagi setiap prestasi penumpang, pesanan pesawat, serta rangkaian dan pengembangan jumlah pesawat.

Pada tahun 2018-2019, AirAsia telah memeterai dua portfolio pesawat utama bersama BBAM dan Castlelake LP yang bernilai AS$3.6 bilion.

Kedua-dua transaksi tersebut melibatkan lebih daripada 100 buah pesawat dan membuktikan bahawa pasukan itu bukan sahaja cekap di dalam usaha pengutipan dana, tetapi juga mampu merangka struktur pembiayaan pesawat yang tidak lazim di dalam urus niaga pembiayaan pesawat.

Pada tahun ini, AirAsia juga telah menjadi bualan global apabila ia mengumumkan bahawa ia akan menaik taraf pesawat Airbus jenis lorong tunggal pada masa akan datang, dengan menukar 253 tempahan untuk pesawat A320neo kepada Airbus A321neo yang lebih besar di Pertunjukan Udara Paris 2019.

Pada bulan Ogos 2019, syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X telah mengembangkan tempahannya bersama Airbus dengan menandatangani perjanjian bernilai AS$5 bilion untuk 12 buah pesawat Airbus A330-900 dan 30 A321XLR.

Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul dan Penasihat Kanan Asia Aviation Capital Aaron Gomez menerima anugerah tersebut pada majlis gala yang diadakan di sini pada malam tadi di Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Penjualan operasi pajakan pesawat kami adalah strategi jangka panjang untuk melupuskan aset fizikal kami dan strategi ini membolehkan kami meletakkan nilai yang lebih tinggi pada pesawat kami dan mengelakkan sebarang risiko berbaki.

“Strategi ini membolehkan kami melabur dalam program pengembangan jumlah pesawat dan dalam pelbagai usaha digital kami. Pada masa yang sama, kami dapat memberikan pulangan kepada para pemegang saham dan memacu visi kami untuk menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan utama di Asia Pasifik.

“Ini tidak mungkin boleh dilakukan tanpa pasukan kewangan pesawat kami yang sangat komited, dan tiada siapa yang lebih layak untuk memenangi gelaran Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan selain daripada mereka.”

Pemenang Anugerah Penerbangan 100 ditentukan oleh tinjauan keseluruhan industri, proses penyelidikan yang rapi dan pertimbangan daripada para pengarang.