Pembangunan pertama konkrit pratuang MGB di LBS Alam Perdana siap lebih awal daripada dijadualkan

MGB Berhad, sebuah anak syarikat LBS Bina Group Berhad, menyiapkan pembangunan sulung menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di LBS Alam Perdana dalam tempoh 12 bulan berbanding 18 bulan; enam bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Projek ini merangkumi 673 unit rumah teres dua tingkat yang dibina menggunakan komponen konkrit pratuang IBS. MGB membina sebuah kilang mudah alih khas yang telah beroperasi semenjak Mei 2018 bagi membekalkan komponen tersebut.

Kilang mudah alih IBS MGB berkeluasan 10 ekar dan mampu menghasilkan 2,000 unit hartanah setiap tahun.

Pengarah Urusan MGB Berhad, Tan Sri Lim Hock San, berkata, “LBS Alam Perdana adalah sebuah pembangunan konkrit pratuang IBS yang pertama oleh MGB. Kilang mudah alih IBS yang terletak di LBS Alam Perdana ini amat signifikan dari segi sumbangannya terhadap kecekapan, produktiviti dan kualitinya yang tinggi.

Keadaan ini membolehkan kami untuk menyesuaikan unit blok mengikut keperluan projek, di samping menjimatkan masa dan kualitinya yang dijamin. Ini sekaligus membawa kepada ketersediaan rumah lebih awal daripada jangkaan.”

Melalui IBS, MGB boleh mempercepatkan pembinaan rumah dan menjimatkan sehingga 33% masa pembinaan. Tambahan pula, kebergantungan terhadap kos buruh manual dikurangkan sebanyak 31% dan mencapai 49% pengurangan dalam kos buruh di tapak pembinaan.

MGB yakin bahawa IBS akan menjadi pemangkin kepada pembinaan yang mampan di Malaysia, selaras dengan mempromosikan pembangunan hijau seperti yang di senaraikan pada Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2016-2020). Berbanding dengan kaedah pembinaan sebelum ini, pembinaan menggunakan IBS lebih kos efektif, pengunaan tenaga buruh yang kurang, jangka masa pembinaan yang lebih pendek dan paling penting adalah mesra alam.

‘‘IBS memainkan peranan penting dalam membantu pemaju dan pembina seperti LBS dalam mencapai matlamat mampan dan membina komuniti yang berkembang maju. Walaupun faedah kualiti dan kos IBS yang ketara, masih banyak pemaju belum menerokai sepenuhnya kebaikan terhadap alam sekitar, termasuk pengurangkan sisa, mempromosikan pengunaan bahan hijau yang cekap, pengurangan bunyi di tapak pembinaan serta meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan,” katanya.

Lim memberi contoh, IBS dibuat dalam kawasan yang terkawal, dapat mengurangkan pencemaran bunyi daripada tapak pembinaan dan perangkap haba, pengunaan bahan yang optimum, mengurangkan penggunaan bahan toksik, serta mengurangkan impak cuaca terhadap proses pembinaan.

MGB telah menggunakan IBS lebih daripada 10 tahun. Sebelum ini tumpuan hanyalah kepada kerja-kerja yang membabitkan acuan keluli dan aluminium (steel aluminum formworks), dan baru-baru ini telah menambah konkrit pratuang dalam portfolio mereka.

Sejajar dengan seruan Kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti melalui implementasi IBS, MGB terus meningkatkan penggunaan IBS tersebut menerusi usahasamanya dengan SANY Group pada tahun 2017.

Usahasama ini dilihat dapat membantu dalam memanfaatkan kepakaran reka bentuk, pembuatan, serta jentera konkrit pratuang yang dimiliki oleh SANY. Kerjasama ini dapat mengukuhkan kedudukan syarikat dalam usaha untuk memberikan yang terbaik melalui inovasi.

Pada bulan Mac tahun ini, MGB melabur sebanyak RM40 juta untuk membuka kilang konkrit pratuang IBS kekal dengan keluasan 119,017 kaki persegi di Nilai. Kilang baru tersebut diharapkan dapat membantu MGB untuk meningkatkan keupayaan syarikatnya dalam mengusahakan komponen IBS yang berkualiti tinggi dan mengukuhkan kedudukan yang kompetitif dalam pasaran IBS tempatan.

Kilang kekal ini adalah usaha sama di antara MGB dan Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd dan mampu menghasilkan sehingga 2,000 unit hartanah untuk pembangunan di Kita @ Cybersouth. Sany Construction Industry Development adalah anak syarikat Sany Group, yang merupakan pengeluar peralatan berat keenam terbesar di dunia.