Walaupun baru saja dilancarkan untuk pasaran tempatan, Isuzu D-Max 1.9 liter tidak gentar untuk menggalas cabaran dan ujian getir di dalam acara off-road antara yang paling mencabar di Asia; tidak lain, acara Borneo Safari di Sabah.

Sejak lebih sedekad lalu, Isuzu D-Max 2.5 liter dan 3.0 liter telah terbukti menjadi antara kenderaan terbaik dan berkeupayaan untuk mengangkut wakil media di sepanjang laluan berliku yang terlibat, walaupun sekadar diberikan modifikasi minimum.

“Tahun ini, kami akan menggunakan D-Max 1.9 liter pula untuk melihat keupayaannya di dalam keadaan dan permukaan ekstrem seperti itu,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Blue Monster terbaru ini menampilkan penggunaan enjin 1.9 liter yang paling kecil dan canggih dalam kelasnya, tetapi dengan janaan kuasa yang lebih besar berbanding unit 2.5 liter terdahulu, serta 56 kg lebih ringan kini. Melalui rekaan dan kejuruteraan inovatif, model baru berkenaan dijangka dapat memberikan prestasi off-road lebih baik sebagaimana prestasi yang telah ditunjukkannya di atas jalan biasa.

Selain penggunaan jenis tayar untuk permukaan berlumpur, ia juga menggunakan suspensi lain untuk menyesuaikan penggunaan roda yang lebih besar, perlindungan badan heavy duty, sebuah winch dan corong udara khusus (snorkel).

Selebihnya, Blue Monster kekal dengan spesifikasi standard sepertimana yang dilihat pada unit-unit yang dipamer di bilik pameran.

Blue Monster diserahkan kepada pasukan penganjur Borneo Safari di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada komitmen Isuzu selaku penaja utama acara itu yang menyediakan kenderaan untuk wakil media.

Tahun ini menyaksikan penganjuran kali ke-29 bagi Borneo Safari, dan merupakan tahun ke-13 Isuzu bertindak selaku penaja utama. Acara berkenaan dijangka bermula di Kota Kinabalu pada 27 Oktober dan menyusur laluan ke Beufort, Tenom, Keningau dan Tambunan sebelum kembali ke pusat bandar pada 3 November 2019 untuk majlis penutup.