Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mencatat rekod tersendiri apabila berjaya melahirkan seramai 59 world class winners bagi program pensijilan perakaunan profesional dalam tempoh 7 tahun.

KESEMUA pelajar tersebut yang menerima pembiayaan Yayasan Peneraju dan berjaya memperoleh kedudukan teratas dunia dalam bidang pensijilan perakaunan merangkumi ACCA, ICAEW, MICPA dan CPA Australia.

Muhammad Hafiz bin Samsuddin

Daripada jumlah tersebut, seramai 29 pelajar telah berjaya memperoleh kedudukan pertama dunia menerusi anugerah CAT/ACCA World Prize Winner.

Antara bakat berkelas dunia yang dilahirkan Yayasan Peneraju termasuk Muhammad Hafiz Samsuddin, 20 tahun, yang berjaya mendapat tempat pertama di dunia sebanyak tiga kali di bawah progam Certified Accounting Technician (CAT) menerusi subjek Management Information, Management Cost dan Finance, dan Financial Accounting 2.

Di samping itu, beliau juga mendapat tempat ketiga di dunia menerusi subjek Financial Management pada bulan Jun lalu.

Selain Muhammad Hafiz, pelajar lain yang diiktiraf nombor satu di dunia termasuk adik Abdurrahman Apandi, Muhammad Afiq Ahmad Zamurin, Nur Farisya Noor Mazli, Muhammad Faiz Muhammad Shahril, Azlyn Alisha Sarah Amirah Azizan, Syarah Syahirah Sugianto, Siti Nur Afini Roslan, dan ramai lagi turut menempa nama sebagai pelajar terbaik di bawah program CAT menerusi pencapaian tertinggi dalam subjek masing-masing.

Nur Farisya Noor Mazli

Di bawah program ACCA pula, antara pelajar yang diiktiraf nombor satu di dunia termasuk adik Wan Nor Mafudah dan Ahmad Fauzee menerusi pencapaian tertinggi dalam subjek Financial Reporting.

Pencapaian cemerlang ini jelas membuktikan Malaysia juga mampu melahirkan bakat-bakat tempatan berkualiti dan kompetitif. Bagi Yayasan Peneraju, kejayaan ini adalah manifestasi kerja keras warga kerjanya dan hasil kerjasama dengan firma perakaunan terkemuka termasuk BDO, Deloitte, EY, KPMG dan PwC, dan badan perakaunan profesional seperti ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA.

Program Perakaunan Profesional Yayasan Peneraju turut mendapat sokongan daripada pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Yayasan Pahang dari segi penajaan di mana PNB merupakan penaja terbesar bagi program tersebut.

Dalam bajet 2019, sebanyak RM210 juta telah diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju untuk meneruskan usaha memperkasa bidang akademik, TVET dan pensijilan profesional menerusi program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Yayasan Peneraju berharap pihak kerajaan akan terus memberikan mandat dan kepada Yayasan Peneraju untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu menceburi bidang kerjaya berpendapatan tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Ahmad Fauzee Mohd Hassan

Suntikan dana daripada pelbagai syarikat-syarikat juga dialu-alukan agar Yayasan Peneraju dapat meneruskan momentum kejayaan melahirkan bakat tempatan berkelas dunia sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara contoh yang melahirkan tenaga kerja profesional yang menepati keperluan ekonomi dan pasaran kerja masa kini dan akan datang.

Sehingga hari ini, Yayasan Peneraju telah membiayai 3,000 akauntan profesional untuk mengikuti pengajian pensijilan profesional seperti  CAT, CBA, CFAB, ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ.

Yayasan Peneraju ditubuhkan pada 2012 dan kini diletakkan di bawah urus tadbir Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Peranan Yayasan Peneraju adalah menyediakan peluang pendidikan berkualiti dan latihan kepada Bumiputera serta memupuk dan membangun bakat Bumiputera ke potensi tertinggi.

Setakat ini, Yayasan Peneraju sudah membiayai lebih 26,000 penerima faedah dan menawarkan lebih 200 program melibatkan pembangunan kemahiran dan profesional.