Maxis adalah peneraju dalam memperkenalkan teknologi baru ke Malaysia. Maxis adalah yang pertama membawa 4G ke Malaysia dan kini teruja menjadi yang pertama membawa 5G pula.

MAXIS Berhad (Maxis) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) mengambil langkah signifikan ke arah menyediakan kesalinghubungan yang terunggul untuk Malaysia dengan memeterai perjanjian bagi peruntukan rangkaian 5G di negara ini.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis, manakala Huawei diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Yuan.

Turut sama Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Uda dan Ryan Ding, Pengarah Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif untuk Kumpulan Perniagaan Pengangkut, Huawei.

Perjanjian itu adalah pencapaian penting dalam perjalanan 5G Maxis dalam menyediakan inovasi 5G terunggul untuk memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia. 5G akan menjadi rangkaian terpantas dan jauh lebih maju dari segi kekukuhan, latensi, kelajuan puncak dan kebolehpercayaan dengan kelajuan mempunyai potensi untuk mencapai 10Gbps.

Dengan perjanjian ini, Maxis komited bekerjasama dengan rakan kongsi rangkaian jangka panjangnya, Huawei, untuk melancarkan 5G di Malaysia. Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Huawei akan membekalkan peralatan dan perkhidmatan radio 4G/LTE dan 5G.

Selain mendapat akses kepada teknologi 5G, Maxis dapat memodenkan rangkaian LTEnya untuk menjadi sedia 5G. Dengan memanfaatkan pelaburan dan jejak rangkaian yang sedia ada, Maxis dapat mempercepatkan pelancaran perkhidmatan 5G apabila spektrum diagihkan kelak.

Di samping itu, Maxis akan mempunyai akses kepada pemahaman, piawaian, produk dan penyelesaian yang menjadikan 5G lebih mudah untuk dilaksanakan dan beroperasi, serta memperkenalkan kes-kes penggunaan baru di Malaysia.

Huawei juga akan membentuk sebuah kumpulan pakar untuk menyokong Maxis dalam siri program latihan teknikal mengenai perancangan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian 5G.

Tun Dr Mahathir berkata, impak dari teknologi canggih dalam melonjak kemajuan negara adalah nyata dan kita tidak mahu ketinggalan, terutama sekali dengan era Industri 4.0 sekarang.

“Tidak ada keraguan bahawa 5G akan menjadi pemacu utama untuk menghubungkan semua rakyat di Malaysia dan mengubah industri utama seperti pembuatan, pertanian dan penjagaan kesihatan supaya kita dapat terus berdaya saing di peringkat global.

“Berikutan itu, kerjasama antara pemain global dan vendor tempatan adalah penting untuk membina ekosistem teknologi yang berkembang maju di Malaysia. Saya gembira Maxis dan Huawei memanfaatkan persekitaran ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini