Pengeluar kenderaan premium memperkukuhkan komitmennya di Malaysia menerusi pengenalan model jentera baharu dalam barisan kenderaan BMW yang dipasang secara domestik.
BMW Malaysia merungkaikan BMW 330i M Sport yang terbaharu yang merupakan penambahan terkini dalam portfolio milik BMW yang dipasang di Malaysia.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia juga telah mengambil peluang untuk berkata, “Kami telah memperkenalkan sedan sport premium generasi ketujuh yang terlaris di dunia pada awal tahun ini, lalu memahat tanda aras yang baharu dalam segmen kenderaan berkenaan.
Sementara jentera varian import menyaksikan penyerahan berjumlah 350 unit hanya dalam masa enam bulan, varian BMW 330i M Sport yang dipasang di dalam negara ini bakal meneruskan kisah kejayaan yang dilakar oleh sedan sport terunggul ini.”
Hoelzl berkata, “Model baharu ini akan dipasang di kilang pemasangan BMW di Kulim, Kedah yang turut memasang sembilan model BMW lain dengan jumlah 10 model BMW.
Selain menawarkan pelbagai produk serta model kenderaan yang diimport, kami juga berbesar hati untuk menunaikan janji kami kepada Malaysia dengan meningkatkan suntikan pelaburan di dalam negara sementara Malaysia terus melebarkan sayapnya sebagai hab BMW Group di rantau Asia Tenggara.”
BMW 330i M Sport yang dipasang di dalam negara membawakan tahap inovasi teknologi yang sama serta perwatakan yang mengagumkan seperti varian jentera yang diimport, ia termasuk reka bentuk atletik yang menawan serta prestasi dinamik yang sinonim dengan sedan sport yang ikonik ini.
BMW 330i M Sport baharu menawarkan set roda aloi ringan 18 inci dalam penggayaan dua ruji 790 M dan dwiwarna ‘Orbit Grey’ dengan tayar bercampur, angkup berwarna biru yang memaparkan logo ‘M’ pada brek M Sport, serta lampu hadapan LED adaptif yang hadir dengan teknologi ‘Bi-LED’.
Antara ciri utama BMW 330i M Sport ialah gril ‘kidney’ yang lebih besar, serta set lampu belakang tiga dimensi dipasang dalam bentuk L dan penggunaan kaca berkabus. Bibir spoiler berciri aerodinamik yang dipasang di belakang berserta dua paip ekzos bersaiz 90 milimeter memberikan jentera ini kelebihan berdaya lasak.
Dikuasakan oleh enjin petrol TwinPower Turbo berkapasiti 2.0 liter, BMW 330i M Sport terbaharu mampu menjana kelajuan tertinggi berjumlah 250 km/j dan output setinggi 190 kW/258 kk (kuasa kuda) serta puncak tork berjumlah 400 Nm dari bacaan rpm 1,550 hingga 4,400. Ia juga berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 5.8 saat.
Dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan yang dikemas kini, jentera tersebut hanya mengguna pakai bahan api berjumlah 6.4 liter bagi setiap 100 km. Emisi karbon rendah yang berjumlah 147 g/km juga dioptimumkan melalui penapis zarahan yang dirangkumkan ke dalam sistem rawatan ekzos jentera ini.
Para pemilik boleh mengharapkan sebuah jentera yang lebih ringan dan tegar kerana jumlah beratnya telah dikurangkan sebanyak 25 kilogram (berat tanpa muatan berjumlah 1,545 kg) Dengan pekali seretan (drag coefficient) berjumlah 0.23, kenderaan ini mempamerkan ciri aerodinamik yang cemerlang dalam kelas seumpamanya.
BMW 330i M Sport terbaharu membawakan stereng sport berkulit M Sport dengan ciri multifungsi dan padel penukar gear serta pencahayaan interior. Antara tarikan utama BMW 330i M Sport terbaharu ialah BMW Intelligent Personal Assistant dan Kunci Digital serta inovasi keselamatan yang ditawarkan dalam bentuk Park Assist dan Reverse Assist, yang diberikan oleh sistem Parking Assistant.
BMW Live Cockpit Professional yang terbaharu turut dirangkumkan, ia menggabungkan paparan boleh suai dan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci serta Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sentuh.
Kesemuanya ditawarkan menerusi Sistem Operasi BMW 7.0 (BMW Operating System
7.0). Penawaran warna bagi jentera BMW 330i M Sport ini merangkumi warna putih (Alpine
White), hitam (Black Sapphire), dan kelabu (Mineral Grey).
Tawaran warna biru ‘Portimao Blue’ boleh didapati bermula Januari 2020 sementara warna jingga ‘Sunset Orange’ akan ditawarkan bermula Mac 2020. Bagi ruang interior pula, para pemilik boleh memilih upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna hitam atau upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna ‘cognac’.
Pemilik jentera BMW 330i M Sport terbaharu ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia yang meliputi:
- Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis
- Berjadual Percuma
- Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
- Servis Dalam Talian BMW
- Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW 330i M Sport yang terbaharu ialah:
BMW 330i M Sport Terbaharu RM288,000