MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar gula bertapis terkemuka negara, ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua produk MSM, termasuk di bawah jenama “Gula Prai”, diperakui Halal dan mematuhi peringkat tertinggi piawaian keselamatan makanan.

Pensijilan Halal secara komprehensif tersebut meliputi keseluruhan proses termasuk bahan-bahan dari sumber utama, penghasilan serta pengedaran.

Dato Khairil Anuar Aziz – MSM Group Chief Executive Officer

MSM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekalkan perakuan seperti Pensijilan Halal Malaysia, MS1500:2009, Pensijilan Kosher daripada London Beth Din Kashrut Division, Pensijilan Sistem Keselamatan Makanan (FSSC 22000 – Pengeluaran), Pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan lain-lain pematuhan berkaitan keselamatan makanan.

“Terdapat pelbagai ciri pematuhan Halal yang bukan sahaja melibatkan penggunaan bahan-bahan Halal, tetapi turut mengambil kira sumber dan proses pengeluaran untuk menepati piawaian selari dengan hukum pemakanan Islam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dato’ Khairil Anuar Aziz.

“Pemerhatian terhadap segala protokol dan prosedur perlu diberikan secara konsisten dalam memastikan segala proses mematuhi piawaian dan ciri-ciri penghasilan makanan yang diperlukan.”

Di dalam proses penapisan gula, proses penyahwarnaan secara khusus melibatkan kaedah Resin Penukar Ion (IER) dan Karbon Teraktif Bergranul (GAC).

Karbon teraktif boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan berkarbon seperti tempurung kelapa, arang dan serbuk tulang haiwan, atau campuran bahan-bahan tersebut. Penggunaan serbuk tulang yang dihasilkan daripada tulang haiwan yang dibakar adalah murah berbanding karbon teraktif komersial yang lain.

Walaubagaimanapun, ia berkemungkinan dihasilkan daripada sumber haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut Syariah. Isu ini menjadi perhatian utama dalam industri gula global, bukan sahaja dari aspek perakuan Halal, tetapi turut menarik perhatian pengguna-pengguna vegetarian.

“MSM mampu untuk memberi jaminan bahawa keseluruhan proses penapisan gula adalah mematuhi perundangan Islam memandangkan proses penyahwarnaan yang dijalankan melalui kaedah IER dan GAC, adalah bebas daripada kaedah-kaedah yang tidak halal seperti yang sering digunakan oleh kilang penapisan gula lain. Karbon teraktif yang digunakan untuk penghilangan warna tersebut adalah diperakui halal dan dihasilkan daripada arang,’ katanya lagi.

Operasi MSM melibatkan tiga buah kilang penapisan yang terletak di Prai, Pulau Pinang; Chuping, Perlis and Tanjung Langsat, Johor dengan keseluruhan kapisiti pengeluaran sebanyak 2.25 juta tan gula bertapis setahun.

Lambakan gula di beberapa buah negara pengeluar berikutan lebihan bekalan, telah menyebabkan gula bertapis murah yang diproses di luar Malaysia dibawa masuk ke pasaran domestik. Situasi tersebut telah dieksploitasi oleh orang tengah yang mengambil keuntungan daripada harga semasa gula mentah dunia.

Walaubagaimanapun, gula-gula tersebut kini berada dalam pasaran Malaysia, tanpa sebarang pengesahan kualiti produk dan piawaian Halal.

“Para pengguna yang mengutamakan pensijilan Halal dan makanan berasaskan sayuran adalah dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli atau menggunakan gula bertapis dan produk-produk bergula yang dihasilkan menggunakan gula-gula import tersebut,” kata Khairil Anuar.

“MSM memberi jaminan kepada semua pelanggan kami, semua produk gula kami adalah 100% dijamin Halal dengan mengambil kira proses penapisan dan pengeluaran dijalankan dalam negara serta diperakui oleh pihak-pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Walaupun gula bertapis import dibawa masuk ke negara kita pada harga yang murah, akan tetapi, gula tersebut berkemungkinan tidak mempunyai sijil Halal yang sah dan sumber bahan mentah yang digunakan serta proses penghasilan tidak diperakui Halal,’ tambahnya.

Sebagai pemimpin industri, kilang-kilang penapisan MSM sentiasa diaudit bagi memastikan setiap proses yang dijalankan adalah mematuhi syarat dalam menghasilkan produk gula berkualiti tinggi secara konsisten.

Selain itu, semua pembekal MSM telah diperakui, menggunakan serta menghasilkan bahan-bahan berkualiti, sebahagian daripada proses pematuhan piawaian yang ketat. Semua pensijilan turut dipaparkan pada pembungkusan gula serta melalui laman web MSM untuk tujuan pengenalpastian dan rujukan.

MSM merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad (dahulu dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Berhad), menawarkan variasi produk yang dijual dan dipasarkan dalam pelbagai jenis bungkusan di bawah jenama – Gula Prai.

Produk-produk termasuk gula bertapis pelbagai gred seperti gula pasir kasar, gula pasir halus, gula kastor, gula icing dan gula merah lembut.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini