Pengeluar kenderaan premium menawarkan Insurans Motor Komprehensif BMW dan MINI bertempoh satu tahun secara percuma bagi pendaftaran awal yang dibuat untuk penyertaan acara BMW Premium Selection 2019.

BMW Group Malaysia akan menghoskan acara BMW Premium Selection ini selama tiga hari dari 13 hingga 15 September untuk membawakan ‘Sheer Driving Pleasure’ yang dijanjikan.

Ia merupakan acara kenderaan pramilik yang terbesar dianjurkan oleh BMW Group Malaysia setakat ini, dan barisan kenderaan seperti BMW X5, BMW 3 Series, BMW 7 Series dan model-model kenderaan MINI serta motosikal dalam portfolio BMW Motorrad bakal dipersembahkan untuk tatapan umum.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl mengulas, “Buat pemilik kenderaan BMW dan MINI baharu, mahupun yang diklasifikasikan pramilik, kami kekal komited untuk menyampaikan pengalaman pemilikan premium untuk para pelanggan kami, kerana mereka menunjangi komitmen BMW Group Malaysia.

Sementara permintaan terhadap kenderaan BMW dan MINI terus mencatat peningkatan, kami berikhtiar untuk membawakan Kenikmatan Pemanduan Sempurna yang dijulang oleh BMW serta resmi pemanduan ala go-kart yang diterajui oleh MINI menerusi acara BMW Premium Selection yang terbesar pada tahun ini.”

Para peserta yang ingin melayakkan diri untuk menerima liputan insurans bertempoh setahun ini harus membuat pendaftaran awal melalui laman web rasmi BMW Premium Selection bermula hari ini.

Kemudian, peserta akan menerima kod QR unik setelah pendaftaran dibuat yang akan melayakkan mereka untuk mendapatkan tawaran eksklusif acara tersebut.

BMW Premium Selection yang menawarkan pengalaman pemilikan yang tiada tolak bandingannya merupakan sebuah platform bereputasi yang memudahkan aktiviti berjual beli bagi pemilik BMW dan MINI.

BMW Premium Selection memfokuskan kenderaan yang tepat dengan rekod penjagaan yang baik. Jika sesebuah jentera BMW dan MINI tidak dijaga dengan teliti, ia tidak dapat mengecapi status BMW Premium Selection.

Menerusi laman web rasmi BMW Premium Selection, pemilik baharu kenderaan BMW atau MINI pramilik boleh mengharapkan kualiti yang terbaik, kerana pelbagai manfaat yang lain juga turut ditawarkan bersama, iaitu Waranti ‘BMW Premium Selection’ atau Waranti ‘MINI Used Car Next’ bertempoh 12 Bulan, Pemeriksaan Teknikal dan Optikal 360 Darjah, serta Rekod Servis yang Disahkan dan Rekod Kenderaan yang mendokumenkan kerja-kerja pemeriksaan serta penyenggaraan yang dijalankan oleh pakar-pakar bertauliah.

Para pemilik juga layak untuk mengakses solusi-solusi pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia serta Bantuan Tepi Jalan BMW (BMW Roadside Assistance).

Di samping itu, pemilik yang ingin menukar beli jentera BMW atau MINI mereka dapat menikmati pelbagai manfaat seperti penilaian khas, transaksi mudah serta penilaian kereta terpakai yang telus dari rumah mereka sendiri.

Lebih daripada 500 unit kenderaan BMW dan MINI pramilik kini tersedia untuk tatapan umum di laman web rasmi BMW Premium Selection. Sesi pandu uji bagi kesemua model yang disenaraikan di laman web berkenaan juga akan disediakan sewaktu acara tersebut.