Kehadiran model trak pikap terbaharu Triton (2019) keluaran Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), benar-benar dilihat pesaing hebat kepada trak pikap sedia ada di pasaran. Baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com bersama model ini.

SEKILAS pandang, rekaan luaran khususnya bamper hadapan Mitsubishi Triton ini seakan mengambil sedikit DNA rekaan Mitsubishi Outlander dan Pajero Sport namun kelihatan sedikit tirus dan lebih sporty sekali gus menjadikannya trak pikap ini dilihat lebih ‘kacak’ atau ‘macho’.

Itu pandangan peribadi penulis namun anda boleh memberikan pelbagai persepsi mengenai model terbaharu ini yang menjalani transformasi sepenuhnya sejak pertama kali diperkenalkan pada 1948 bermula daripada rekaan berbentuk kotak kepada rekaan lebih aerodinamik.

Rekaan yang cukup menyerlah ialah lampu depan LED yang tirus disatukan dengan gril krom dan padanan bamper yang lebih garang serta besar.

Rekaan lampu belakang LEDnya juga lebih menarik pada waktu malam dan memberikan gaya rupa cukup ‘macho’.

Berbanding versi terdahulu, trak pikap ini yang dihasilkan dari kilang Mitsubishi Motors (Thailand) Co Ltd (MMTh), bukan saja berimej baharu tetapi juga dilengkapkan pelbagai ciri terkini khususnya aspek keselamatan.

Antara aspek keselamatan yang penulis anggap ‘terbaik’ ialah amaran titik buta (blind spot) pada cermin sisi yang bertindak memberi amaran dalam bentuk bunyi dan kelipan cahaya kepada pemandu apabila mahu bertukar laluan. Ciri ini jarang ada pada semua trak pikap kerana kebanyakannya dipadankan pada kereta sedan mewah.

Selain ciri blind spot, Triton baharu ini turut dipadankan dengan sistem kamera sisi yang memaparkan imej kenderaan di sisi kiri atau kanan sebaik sahaja isyarat membelok dilakukan. Hebat bukan!

Selain itu, Mitigasi Perlanggaran Depan (FCM) iaitu sistem ini bertindak mengesan kenderaan dan pejalan kaki di depan. Sistem brek secara automatik akan berfungsi sebaik sahaja situasi ini berlaku. Anda juga boleh mengubah tetapan jarak sistem amaran ini sama ada rapat, sederhana atau jauh.

Kesemua ciri keselamatan termaju ini memberikan ketenangan minda kepada pemilik dan ini membuktikan Mitsubishi Triton (2019) bukan sekadar sebuah trak pikap tetapi menawarkan ciri yang lebih baik berbanding pesaingnya.

Antara ciri keselamatan

  • Mitigasi Perlanggaran Depan (FCM) – Mengesan kenderaan dan pejalan kaki di depan
  • Amaran Titik Buta (BSW dengan LCA) – Membantu mengesan kelibat kenderaan lain ketika menukar lorong dengan amaran bunyi audibel dan kelipan lampu pada cermin sisi.
  • Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) – Mengelak perlanggaran ketika mengundur
  • Sistem Mitigasi Nyahpecutan Ultrasonik (UMS) – Mengurangkan kemalangan disebabkan kesilapan menggunakan pedal minyak ketika mengundur di parkir atau ruang tertentu
  • 7 beg udara SRS
  • Agihan Tekanan Brek Elektronik, Bantuan Brek (BA)
  • Stabiliti Aktif dengan Kawalan Traksi (ASTC)
  • Bantuan Daki Bukit (HSA)
  • Kawalan Turun Bukit (HDC)
  • Bantuan Stabiliti Trailer (TSA)
  • Sistem Brek Override dan fungsi amaran rehat (ikut varian)
  • Lampu Suluh Tinggi Auto (AHB)

Enjin

Meskipun didatangkan dalam lima pilihan varian, model ini hanya ditawarkan satu varian enjin sahaja iaitu MIVEC turbodiesel 2.4 Liter VVT dengan teknologi Variable Geometri Turbo (VGT) yang mampu menghamburkan kuasa 179hp pada 3,500 rpm dan tork maksimum 430Nm pada 2,500 rpm.

Hantaran kuasa lancar ke roda disalurkan menerusi transmisi automatik 6-kelajuan dengan mod sport yang dipadankan bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II pada model sebelumnya.

Walaupun ketika enjin dihidupkan, bunyi ‘ketukan diesel’ masih boleh didengari namun selepas ia bergerak dengan kelajuan malar, bunyi berkenaan boleh dikatakan hilang dan anda boleh terlupa bahawa Triton ini dijana oleh enjin diesel.

Hamburan kuasa enjinnya tidak mempunyai masalah bagi membolehkan trak pikap dengan berat hampir 2 tan ini memecut seperti kereta sedan biasa malah pengendalian sterengnya cukup responsif tidak kira apa jua bentuk permukaan jalan raya.

Mitsubishi juga berjaya menghasilkan kabin yang lebih senyap berbanding model terdahulu kerana kita sudah sedia maklum bahawa enjin diesel biasanya mengeluarkan bunyi enjin agak kasar namun berbeza pada Triton 2019 apatah lagi dipandu dalam kelajuan lebih 100 km/j.

Ruang dalaman

Melangkah ke ruang kabin Triton ini cukup selesa dan buat pertama kalinya ia dipadankan dengan corong penyaman udara individu diatas bumbung dalaman untuk menyejukkan ruang penumpang lebih pantas.

Malah ciri slot USB yang lengkap dengan ruang untuk mengecas telefon menjadikan perjalanan semakin menyenangkan buat penumpang yang tidak lekang dengan gajet.

Bahan material berkualiti tinggi turut dipadankan menggunakan pad lembut dan sulaman pada konsol lantai, perehat lengan dan brek parkir.

Paparan pelbagai info di tengah kini diberikan skrin TFT berwarna yang bukan sahaja lebih nampak moden, malah ia turut berfungsi bagi memberikan lebih banyak informasi seperti penunjuk pemanduan ECO, paparan sistem 4WD yang menunjukkan status gandar serta perbezaan unit yang berfungsi dan juga mod pemanduan.

Varian tertinggi ini turut dipadankan tempat duduk balutan kulit, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang dan juga tempat duduk pemandu larasan berkuasa.

Bagi sistem infotaimen pula, varian Adventure X ini menerima skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem kawalan 4WD

Mitsubishi Triton (2019) ditawarkan dengan Super-Select 4WD II yang memberikan cengkaman optimum dan kawalan pengendalian untuk menangani sebarang cabaran rupa bumi.

Menerusi ciri tambahan mod Off Road, terdiri daripada mod Gravel (kerikil), Mud/ Snow (lumpur/salji), Sand (pasir) dan Rock (batu) yang mampu mengawal kuasa enjin.

Transmisi dan breknya bertindak responsif untuk mengatur jumlah gelincir roda dan memaksimumkan prestasi atas pelbagai permukaan bumi.

Sistem ini juga mempunyai empat mod pacuan iaitu 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc yang boleh dioperasikan hanya menggunakan suis putar yang diletakkan disebelah tuil brek tangan.

Untuk pemanduan biasa, sistem pacuan Triton ini akan beropersi dengan mod 2H, iaitu mod untuk pacuan belakang biasa bagi meminimakan penggunaan bahan api.

Dari pacuan roda belakang, ia boleh bertukar ke pada mod pacuan empat roda sepenuh masa dengan hanya memutarkan suis dari 2H ke 4H. Ini boleh dilakukan dalam keadaan Triton sedang bergerak pada kelajuan di bawah 100 km/j serta pedal pendikit tidak ditekan.

Mod ini akan memberikan anda cengkaman tambahan dengan pembahagian tork sekitar 33 peratus ke gandar hadapan dan 67 peratus ke gandar belakang.

Mod 4H ini sebenarnya bukan sahaja sesuai untuk anda gunakan ketika memandu pada permukaan off-road, malah sebenarnya sesuai juga digunakan ketika hujan pada jalan tar bagi memberikan cengkaman dan kawalan lebih baik.

Sistem Kawalan Menurun Bukit pula membolehkan anda menurun bukit yang ekstrem seperti permukaan tanah yang licin, terlalu curam atau berbatu dengan sangat mudah. Apa yang anda perlu lakukan hanya perlu mengawal roda stereng, manakala kaki tidak perlu memijak pedal brek atau pendikit di mana ia akan dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer.

Kesimpulan

Selepas memandu uji Mitsubishi Triton Adventure X 2019 ini pada hujung minggu, penulis berpendapat model ini bukan sahaja tampil lebih kacak dan boleh ‘dilanyak’ untuk memasuki laluan lasak tetapi menawarkan ciri keselamatan termaju.

Ciri yang ditawarkan pada Triton terbaharu ini seakan sebuah trak pikap yang lasak ‘dikahwin’ dengan sebuah kereta sedan menerusi ciri-ciri keselamatan yang dipadankan.

Triton edaran MMM bukan sahaja sesuai dipandu sebagai kenderaan harian tetapi pada masa sama turut menawarkan sebuah kenderaan dengan prestasi off-road antara yang terbaik dalam kelasnya.

Malah umum mengetahui bahawa Triton sering menjadi kenderaan pilihan bagi mereka yang berkeluarga kerana keselesaan kerusi penumpang belakang yang lebih condong dan tidak terlalu tegak seakan ciri sebuah kereta sedan.

Bagi mereka yang sudah bosan memandu kereta sedan atau kompak, boleh beralih kepada trak pikap serba baharu ini yang sudah tentunya mengubah corak pemanduan harian anda.

Empat warna ditawarkan iaitu White Diamond, Jet Black Mica (hanya untuk Adventure-X), Sterling Silver (hanya untuk versi asas AT dan MT) dan Graphite Grey Metallic (hanya untuk varian Premium AT dan MT).

Senarai harga 5 Varian

  • Mitsubishi Triton VGT Adventure X – RM135,200
  • Mitsubishi Triton AT Premium – RM118,600
  • Mitsubishi Triton MT Premium – RM112,500
  • Mitsubishi Triton AT – RM105,990
  • Mitsubishi Triton MT – RM100,200
    * Harga termasuk SST 10%, tanpa insurans

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini