Dalam usaha berterusan bagi memperhebat dan menyediakan pengalaman pelanggan bertaraf dunia, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) membawakan inovasi terbaharu kami iaitu Pos Laju SendParcel – sebuah platform dalam talian yang memberi kemudahan kepada pelanggan.
Proses menguruskan penghantaran barangan biasanya memakan masa terutamanya bagi pengusaha perniagaan eDagang kerana perlu mengisi nota konsainan secara manual, mengharungi kesulitan untuk menghantar bungkusan dan lebih mencabar apabila ianya untuk penghantaran pukal.

“Dengan SendParcel, para pelanggan kini akan dapat menikmati tawaran harga terbaik, perkhidmatan kutipan barangan percuma dan tidak perlu lagi mengisi label penghantaran atau nota konsainan secara manual kerana ia akan dijana secara automatik oleh sistem dalam talian tersebut.
Selain itu, platform ini juga membolehkan pelanggan menguruskan penghantaran pukal dan alamat secara dalam talian, mendapatkan kadar penghantaran serta-merta dengan sebut harga segera, kemudahan laporan dan penjejakan barangan serta kredit bonus untuk pelanggan setia kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.
“Platform baharu ini pasti memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan usahawan mikro serta pemain perniagaan sektor eDagang, selain menawarkan para pelanggan dengan lebih banyak pilihan produk bagi memenuhi keperluan eDagang mereka yang semakin meningkat.

“Ini merupakan salah satu pelaburan penting Pos Malaysia dalam memastikan perkhidmatan kami lebih mantap bagi menyokong aspirasi kami untuk memanfaatkan peluang eDagang di dalam dan luar Malaysia,” katanya.
Untuk menggunakan SendParcel, pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan Pos Laju dan menambah kredit di www.poslaju.com.my. Terdapat 8 pakej bernilai tambah yang menawarkan kadar dan faedah yang menarik.
SendParcel pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja!






































