KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti AlMarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mencemar duli berangkat ke Majlis Anugerah Keusahawanan Hokkien Malaysia 2019 anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia.

Seri Paduka berdua tiba di Wisma Huazong kira-kira jam 8.20 malam dan majlis sambutan itu turut disertai lebih 1,000 warga hokkien serta kepimpinan masyarakat.

Turut hadir pada majlis Anugerah Kusahawanan Hokkien Malaysia 2019 ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San, Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San berkata, Majlis Anugerah Keusahawanan Hokkien Malaysia julung kalinya diadakan adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada warga hokkien Malaysia dimana pencapaian cemerlang mereka di dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia berasa amat bertuah di atas keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua ke Majlis pada malam ini. Patik berharap keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua akan memberikan suntikan semangat kepada warga Hokkien Malaysia.

Tan Sri Lim Hock San berkata, Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia ditubuhkan pada 1957 dan ia merupakan etnik hokkien yang terbesar iaitu 50 peratus dari 7 juta dalam kalangan masyarakat cina Malaysia dan ia kini mempunyai 211 buah cawangan dan mempunyai keahlian seramai 500,000 secara tidak langsung di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Objektif utama bagi persatuan ini adalah untuk menyatu-padukan etnik hokkien dan seterusnya menyemai semangat mewariskan budaya hokkien kepada generasi yang akan datang.

Beliau berkata, Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia merupakan sebuah NGO dan akan sentiasanya memberikan sokongan kepada Kerajaan di atas dasar-dasar yang memanfaatkan rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia, patik-patik sekalian menerima dan menjunjung titah dan nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa “berpecah beberapa kalipun kita akan tetap tinggal dalam negara kita, negara Malaysia yang tercinta ini.

“Kita berada dalam sebuah kapal yang sama. Kita tidak boleh mempunyai rakyat bercelaru dan berpecah dalam satu kapal yang sedang menuju ke arah kejayaan. Kita mesti bersatu padu.”

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan kepada baginda pada majlis tersebut.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, meskipun Malaysia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, namun prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2019 telah mencatatkan pertumbuhan yang meyakinkan pada kadar 4.9% berbanding dengan prestasi ekonomi serantau.

Beliau berkata, Malaysia sedang menuju ke arah economic complexity. Lanskap ekonomi Malaysia telah berubah dari ekonomi pertanian berasaskan komoditi kepada ekonomi yang pelbagai dan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, dan kini telah memasuki industri berteknologi tinggi dan berimpak
tinggi.

Dalam konteks ini, kita tidak boleh meremehkan peranan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) dan sumbangannya kepada ekonomi negara.

Katanya, lebih 900,000 SMEs yang beroperasi pada 2015 adalah mewakili 98.5% daripada semua syarikat yang beroperasi di Malaysia. SMEs telah menyumbang kepada peluang pekerjaan yang terus meningkat dari 65.3% dalam tahun 2016 kepada 66% dalam tahun 2017.

Pada tahun 2018, KDNK SMEs mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 6.2% mengatasi kadar pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.7%. Prestasi ini menyumbang sebanyak 38.3% kepada ekonomi negara atau RM521.7 bilion.

Dengan itu, Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu SMEs dalam proses peralihan kepada penggunaan teknologi baru seperti digital automation, robotic, Big Data dan Internet of Things demi memenuhi cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR 4.0).