Nissan X-Trail generasi ketiga dengan gaya rekabentuk yang lebih aerodinamik mula diperkenalkan pada 2015. Kini selepas empat tahun model ini tampil dengan versi facelift baharu dengan beberapa ciri tambahan.

KENAPA agaknya Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tiba-tiba memberi fokus kepada pengenalan kenderaan dalam segmen SUV berbanding kereta sedan. Pada pandangan penulis ini mungkin disebabkan perkembangan semasa industri automotif dunia yang menyaksikan permintaan kepada kereta sedan semakin menurun.

Sebagaimana kita ketahui, senario itu juga berlaku di Malaysia apabila kenderaan SUV kini semakin mendapat permintaan malah kita boleh melihat sendiri jumlah kenderaan SUV Honda seperti CR-V, HR-V mahupun kereta buatan nasional seperti Proton X70 dan Perodua Aruz semakin banyak dilihat dijalan raya.

Jadi, keputusan ETCM selaku pengedar kenderaan Nissan di negara ini membuat keputusan adalah tepat dan tidak hairanlah jika dilihat dalam laman web rasmi Nissan, www.nissan.com.my mendapati hanya model Nissan Almera yang tinggal dalam kategori sedan manakala selebihnya model MPV Serena S-Hybrid, SUV X-Trail, trak pikap Navara dan terbaru kereta elektrik sepenuhnya, Nissan LEAF.

Untuk makluman pembaca setia Prebiu.com, Nissan X-Trail 2019 ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan yang paling asas 2.0L 2WD pada harga RM133,888; 2.0L 2WD Mid pada RM145,888; 2.5L 4WD pada RM153,888 dan yang paling tinggi, 2.0L Hybrid 2WD pada harga RM159,888.

Kesemua varian yang dipasang sepenuhnya di negara ini, menerima pengiktirafan kenderaan jimat tenaga (EEV) dan berkongsi sistem transmisi yang sama iaitu Xtronic CVT dengan mod manual yang turut dipertingkatkan.

Jika pada awal pengenalan model X-Trail pada 2015, hanya dua varian ditawarkan dan kini bertambah kepada empat varian dengan varian paling ditunggu-tunggukan ialah model 2.0L 2WD Hybrid yang pertama dalam segmennya di Malaysia.

Bagaimanapun, untuk sesi pandu uji kali ini, penulis diberikan model Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid yang turut dilengkapi ciri keselamatan terkini iaitu Nissan Intelligent Mobility.

Nak tahu apa itu Nissan Intelligent Mobility yang hanya dipasang pada tiga varian iaitu 2.0 Hybrid, 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD MID. Ini merangkumi:

Intelligent Forward Collision Warning (FCW) *
Intelligent Forward Emergency Braking (FEB) *
Intelligent Cruise Control (ICC) *
High Beam Assist (HBA)*
Lane Departure Warning (LDW)
Blind Spot Warning (BSW)
Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD)
Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
Motion Activated Power Tailgate (yang diaktifkan dengan pergerakan mudah di bawah pintu belakang untuk membuka dan menutupnya)

*Untuk 2.5L 4WD & 2.0L Hybrid sahaja

Rekabentuk luaran

Jika dilihat pada perbezaan ketara berbanding model terdahulu ialah rekaan baru gril hadapan ‘V-Motion’ yang lebih besar, Lampu Nyalaan Siang LED dan Lampu Hadapan berbentuk Boomerang baru, Lampu Belakang LED Boomerang dalam perumah berwarna gelap.

X-Trail 2019 kali ini juga tampil dengan antena jenis ‘sirip jerung’ yang lebih pendek dan nampak sporty manakala hiasan krom lebih ditonjolkan berbanding model terdahulu.

Bahagian bampar hadapan juga baru sepenuhnya, dengan lampu kabus kini tampil lebih tirus manakala bukaan pintu belakang boleh dilakukan dengan gerakan kaki secara automatik bagi semua varian kecuali yang paling asas.

Suis untuk membuka pintu belakang juga boleh ditekan dari dalam atau menggunakan kunci kawalan jauh. Untuk menutup pula hanya tekan butang dibelakang. Cukup mudah bukan!

Model ini masih menggunakan rim bersaiz 17-inci, tetapi bagi model 2019, tampil dengan rekaan jejari yang baru.

Ruang dalaman

Paling ketara ialah rekaan stereng rata pada bahagian bawah serba baharu yang turut digunakan pada model Nissan Serena S-Hybrid terbaharu.

Selain itu, paparan digital Advanced Drive Assist pada panel instrumen disediakan, kemasan hitam pada corong penyaman udara, kemasan kulit pada sebahagian panel yang ada serta tuil gear baru.

Sistem infotainmen pula dipertingkatkan dengan kini menyokong ciri Android Auto dan Apple CarPlay.

Pada model kali ini suis brek parkir elektrik-mekanikal diperkenalkan bagi menggantikan brek parkir kaki pada model lama dan ciri butang auto hold bagi memudahkan pemandu memberhentikan kenderaan ini ketika dilampu isyarat tanpa perlu menekan pedal brek.

Nissan X-Trail masih mengekalkan ciri tujuh tempat duduk (5+2) bagi model ini manakala varian hibrid kini hanya tinggal lima-tempat duduk untuk memberi ruang kepada tempat meletak bateri sistem berkenaan di bawah lantai ruang barangan belakang.

Satu-satunya SUV tujuh-tempat duduk sebenar yang ada ditawarkan dalam pasaran tempatan dan pesaing terdekat kepada X-Trail ketika ini ialah Mitsubishi Outlander.

Bagaimanapun, daripada semua ciri baharu yang ditawarkan ini, Nissan lebih ke hadapan dalam menawarkan teknologi canggih dan pintar.

Selain kerusi saduran kulit dengan ciri ‘Zero Graviti’ bagi kerusi hadapan, Papan Pemuka serta Pelindungan Lutut dengan kemasan Kulit dan Paparan Bantuan Pemanduan Termaju bersaiz 5-inci nyata memberi penampilan segar berteknologi tinggi dengan sentuhan lebih mewah.

Varian 2.0L Mid turut menerima ciri Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Motion Activated Power Tailgate dan Rear Cross Traffic Alert.

Hanya varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid dilengkapi Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).

Jumlah beg udara untuk tiga varian teratas juga dinaikkan kepada enam semuanya sebagai standard. Varian paling asas hanya menerima empat beg udara. Lain-lain ciri keselamatan yang ada termasuklah Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.

Enjin

Bagi varian 2.0L Mid, menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder petrol, dengan kuasa 144 PS dan 200 Nm tork.

Model Mid ini memberikan bacaan penggunaan bahan api yang lebih baik, dengan kadar 13.4 km/l dan dilengkapi 6 Beg Udara SRS manakala butang ECO bagi tujuan penjimatan bahan api turut disediakan pada model ini.

Bagi transmisi, semua varian menggunakan unit yang sama iaitu X-Tronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan dan kawalan stereng juga rasa lebih ringan berbanding model terdahulu.

Padanan sistem Intelligent 4X4 Mode membolehkan anda membuat pilihan corak pemanduan yang disediakan.

Kaedah terbaik untuk memanfaatkan sistem ini mungkin dengan meletakkan plihan tombolnya di “Auto”. Pilihan “Auto” akan membolehkan sistem komputer kenderaan ini akan menentukan bila sistem pacuan semua roda diperlukan dan akan mengaktifkannya tanpa pemandu perlu membuat keputusan dalam situasi mana sistem berkenaan harus digunakan.

Ciri ini cukup berguna sekiranya anda kerap membuat perjalanan jarak jauh, dengan keadaan permukaan tidak menentu seperti mengharungi jalan tidak rata ataupun permukaan basah.

Kesimpulan

Memandu X-Trail 2019 tentu sekali menyeronokkan kerana kawalan sterengnya cukup ringan dan memudahkan khususnya ketika mahu memarkir kenderaan ini. Ini juga memberi keselesaan kepada pemandu wanita yang rata-ratanya dilihat ramai yang memandu SUV ketika ini.

Selain dilengkapi ciri keselamatan terkini, model ini mempunyai kelebihan kerana jumlah kerusi tersedia ialah 5+2, dengan dua kerusi paling belakang yang boleh dilipat rata sebagai kerusi tambahan sekiranya perlu digunakan.

Kerusi baris belakang ini sesuai untuk membawa kanak-kanak bertubuh kecil untuk perjalanan jarak dekat namun juga perlukan ruang, tarik sahaja kerusi bahagian tengah ke hadapan.

Pengenalan model X-Trail 2019 adalah tepat pada masanya kerana ia memberi saingan kepada model SUV sedia ada dipasaran dan model Nissan juga sudah terbukti model yang menjimatkan bahan api selain memiliki karakter tersendiri diperingkat global yang menyakinkan.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih (Brilliant White), Perak (Tungsten Silver), Hijau (Titanium Olive), Hitam (Diamond Black) dan Imperial Umber (baharu).

SPESIFIKASI

Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid
Enjin: 1,997cc, empat silinder sebaris, 16 injap, DOHC dengan Twin CVTC
Kuasa maksimum: 144PS pada 6,000rpm
Tork maksimum: 200Nm pada 4,400rpm
Transmisi: Xtronic CVT tujuh kelajuan
Tangki minyak : 60 Liter
Tayar : 225/65 R17
Ciri keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, HSA, TCS dan ABLS
Harga: RM145,888 (tidak termasuk insurans dan SST)